Friday 3 June 2016

Senarai Burung Di Pulau Aur, Mersing Johor


Apa yang Menarik di Pulau Aur,  Mersing, Johor



Ketika zaman remaja fasa pertama, saya kerap berkunjung ke Pulau Tioman. Pantainya cantik, airnya biru dan suasana di situ aman tenteram jauh dari hiruk-pikuk pembangunan. Namun begitu zaman itu semua telah berlalu kerana pembangunan industri pelancongan terlalu meriah dengan kunjungan begitu ramai pelancong. Sungguh pun sangat baik untuk industri pelancongan tempatan tetapi ia telah menghilangkan minat peribadi saya untuk berkunjung ke Tioman.


Sejak 2014 lagi, saya telah merancang-rancang untuk ke Pulau Aur dengan dwi tujuan. Pertama untuk melancong melihat keindahan tanahair sendiri dan kedua untuk menyenaraikan spesies burung dan mamalia yang boleh dijumpai.


Pulau Aur merupakan pulau yang paling jauh daripada Tanah Besar Semenanjung Malaysia di sebelah Laut China Selatan. Untuk berkunjung ke sini,  saya mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit dari Jeti Mersing  dengan menggunakan bot laju yang mempunyai keupayaan 400 kuasa kuda.



Kepada sesiapa yang mempunyai sedikit kekhuatiran terhadap laut, haruslah membuat persediaan mental kerana bot bergerak dengan pantas menghentak-hentak permukaan laut ketika ia membelah ombak Laut China Selatan. Peluang pakaian dan bag kita kuyup dek simbahan air laut adalah sangat tinggi.

Rangka bahagian kepala ikan paus yang mati terdampar di pantai.


Rangka sepanjang 2 meter


Longgokkan tulang ikan paus.

Senarai Burung Yang Dijumpai 

Sepanjang berada di situ lebih kurang 47 jam dari mula menjejakkan kaki di Jeti Teluk Sebukang pada jam 2 petang hari Sabtu hingga saya meninggalkan pulau pada jam 11.00 pagi Hari isnin, tidak banyak spesies yang boleh dijumpai. Walaupun  puas mencari burung dimerata tempat, saya cuma berjaya menjumpai 14 spesies burung sahaja. 


1. Gagak Paruh-besar~Corvus macrorhynchos

2.Punai Dada-oren~Treron bicincta

3.Pergam Agong Hitam-putih~Ducula bicolar

4.Pergam Agong-Hijau~Ducula aenea *

5.Merpati Emas~Coloenas nicobarica *

6.Pekaka Cekak-putih~Todiramphus chloris

7.Perling Berkilat-Asia~Aplonis panayensis

8.Tiong Coklat~Acridotheres tristis

9.Tiong Emas~Gracula religiosa

10.Sualo Pasifik~Hirundo tahitica 

11.Lang Kawi~Haliastur indus

12.Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster

13.Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarinia jugularis

14.Belekok Karang Pasifik~Egretta sacra

15.Tern Tengkok-hitam~Sterna sumatrana

16.Camar Jager ( Tidak dapat dipasti spesiesnya )

Pekaka Cekak-putih~Todiramphus chloris
Untuk makluman saya tidak berjaya menjumpai dua spesies ini iaitu Pergam Agong Hitam-putih~Ducula bicolar dan Merpati Emas~Coloenas nicobarica kerana kesuntukkan masa. Namun begitu maklumat sahih yang mengesahkan bahawa  dua spesies ini memang berada didalam hutan di Pulau Aur . Ini telah disahkan oleh  penduduk tempatan yang telah melihat imej didalam Buku Criag Robson yang ditunjukkan kepadanya.

Gagak Paruh-besar~Corvus macrorhynchos

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarinia jugularis

Nama tempatan kepada burung ini di Pulau Aur adalah seperti berikut:-

1.Pergam Agong Hitam-putih~Ducula bicolar = Burung Rawa.

Penduduk kampong memburu burung ini dengan menggunakan senapang sebagai sumber makanan sampingan mereka. Kini burung ini jarang dijumpai kerana ia berada jauh didalam hutan dan pokok yang tinggi. Pembiakan burung ini sedikti terhalang kerana sarangnya sering mendapat gangguan daripada burung spesies Gagak Paruh-besar~Corvus macrorhynchos.

2.Merpati Emas~Coloenas nicobarica = Burung Dunai

Penduduk tempatan sering menjumpainya berjalan dilantai tanah hutan ketika mencari buah durian.


Helang Laut Perut-putih~Haliaeetus leucogaster

Tiong Coklat~Acridotheres tristis

Tiong Coklat~Acridotheres tristis



Tumbuhan.

Tumbuhan yang menarik perhatian saya ialah tumbuhan Kaktus yang tumbuh liar dengan subur dijumpai dikawasan bukit berbatu-batu. Melalui rujukan yang diperolehi, dinegara kita cuma ada 15 spesies tumbuhan Kaktus liar yang hidup di Malaysia. Saya tidak pasti samada tumbuhan Kaktus yang dinyatakan adalah spesies tumbuhan tempatan ataupun tumbuhan Kaktus yang telah diperkenalkan suatu ketika dahulu.
  


Daripada sudut logik akal tumbuhan Kaktus liar ini hidup subur diatas kemuncak bukit yang tiada penempatan manusia mahu pun kawasan pertanian. Hidup liar dicelah-celah lereng batu diatas bukit, dan bentuknya seperti spesies Nopal Cuctus yang banyak tumbuh di Negara Mexico. Tiada siapa yang rajin atau tiada sebab untuk manusia menanam tumbuhan ini melainkan ia hidup secara semulajadi sejak dulu lagi.




Saya tidak pasti samada pihak Pakar Botanis Kaktus Universiti Tempatan telah pun menyenaraikan spesies yang tumbuh liar di Pulau Aur ini. Itu tidak dapat saya pastikan. Ketika dijumpai pokok Kaktus telah mula mengeluarkan putik dan ada juga yang sudah mekar bunganya.


Taburan Tumbuhan Kaktus Liar ini berselerak dikawasan Pulau Aur yang berbatu dan berbukit.





Huruf " P " & "R" telah hilang ditiup ribut yang berlaku pada musim musim monsun yang lalu.


Pemandangan dari Jeti Teluk Sebukang

Pada suatu ketika dahulu kelapa merupakan tanaman utama untuk penduduk disini.

Selain tanaman kelapa, pokok-pokok hutan juga menjadi landskap Pulau Aur. Didalamnya juga terdapat pokok-pokok buah durian pelbagai jenis yang ditanam oleh penduduk tempatan pada satu ketika dahulu.
Penyair selalu mengaitkan pemandangan seperti ini sebagai lambang nostalgia kedamaian dan ketenteraman Semenanjung Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.


Mamalia.

Berdasarkan jenis tumbuhan yang ada disini saya dapati mudah untuk melihat spesies Tupai/Plantain Squirrel~Callosciurus notatus pada waktu siang. Pada waktu malam saya berjaya menjumpai 3 haiwan iaitu Keluang, tikus dan Kelawar. Maklumat daripada penduduk kampong mamalia seperti Musang, Kancil, Napuh mahupun Kijang memang tidak pernah kelihatan sepanjang beliau tinggal di Pulau Aur.

1.Tupai/Plantain Squirrel~Callosciurus notatus
2.Keluang/Large Flying Fox~Pteropus hypomelanus
3.Tikus
4.Kelawar.


Plantain Squirrel~Callosciurus notatus


Permandangan Indah Permai Pulau Aur Dan Disekitar Pulau.



Landskap permandangan dari kemuncak bukit Pulau Dayang.



Budaya Masyarakat Setempat Yang Telah Pupus

Pada hemat saya melancong  di sesuatu tempat, kita bukan hanya melihat keindahan tempat  sahaja, tetapi perlu mendalami sosio budaya dan kebiasaan adat tempatan. Pada kali ini kesempatan itu tidak dapat dilakukan. Walaupun pakej perlancongan ini menjanjikan masa selama 3 hari 2 malam tetapi pada hakikatnya saya cuma berada disini hanya 47 jam sahaja.


Masih banyak tempat lagi dan aktiviti menarik yang tidak dapat dilakukan kerana kesuntukkan masa. Perbualan dengan penduduk tempatan juga terhad dan ini mendukacitakan. Namun begitu sempat juga mencuri masa untuk berbual-bual dengan penduduk asal Pulau Aur.


Diceritakan kepada saya pengalaman senang dan susah meneruskan kehidupan di Pulau Aur oleh penduduk asal yang juga merupakan pemilik tanah. Penduduk di Pulau Aur telah wujud sejak zaman Portugis menakluki Melaka dahulu. Kebanyakan yang menetap disini adalah dikalangan pelaut-pelaut yang mahir berlayar.


Urusan mata pencarian mereka adalah sebagai nelayan dan pertanian menanam Kelapa. Kelapa yang dikeringkan itu akan dikumpul dan kemudian  perdagangkan di Singapura. Pada ketika itu mereka mengambil masa lebih kurang 7 hari untuk ke tanah besar Semenanjung untuk memperdagangkan hasil tanaman mereka. Menggunakan Kapal Layar merentasi Laut China Selatan  yang penuh dengan muatan pertanian adalah perkara biasa dimasa dahulu.



Namun begitu pengalaman itu berakhir sedikit demi sedikit apabila ramai penduduk berhijrah ke Tanah besar menyertai Felda dan ada yang telah meninggal dunia. Adat resam orang Melayu dari Kepulauan Makasar yang dibawa sejak dahulu lagi hanya kekal pada sekitar tahun 1980an sahaja. Antara Seni Budaya masyarakat Pulau Aur yang telah pupus ialah Upacara Menyambut Rombongan Pengantin, Zikir Maulud, Kerja-kerja Perkahwinan  dan  Ilmu Meringankan Tubuh.



Upacara Menyambut Rombongan Pengantin.

Masyarakat di Pulau Aur tidak menggunakan alatan muzik seperti Kompang atau Gebana ketika menyambut kunjungan rombongan pengantin. Paluan kompang yang biasa digunakan oleh masyarakat di Tanah Besar Semenanjung digantikan dengan bunyi tembakan laras Senapang. Mereka menggunakan laras Senapang yang ditembak ke angkasa sebagai tanda akan kehadiran rombongan pengantin lelaki dan perempuan. Maka kedua belah pihak dari jauh akan sahut menyahut berbalas-balas tembakan laras Senapang mereka di udara sebagai isyarat kedatangan rombongan. Suasana berdetum dentam bunyi tembakan ini adalah lambang kemeriahan di satu-satu majlis perkahwinan pada ketika itu.


Kerja-kerja Perkahwinan Dan Nyanyian Seni Kebudayaan Zikir Maulud.

Tuan rumah akan menjemput seluruh kampong untuk meraikan majlis perkahwinan anak mereka untuk tempoh 3 hari tiga malam. Makan dan minum disediakan oleh tuan rumah selama majlis itu berlangsung dengan kerjasama gotong-royong daripada hadiran.



Upacara ini diserikan pula dengan nyanyian Zikir Maulud yang disertai oleh Jaguh-jaguh Zikir Maulud dikalangan penduduk kampung. Mereka akan menyanyi beramai-ramai mengikut lenggok dan seloka secara spontan dan berbalas-balas seloka sehingga waktu subuh. Suara-suara tinggi beralunan yang dinyaringkan dinyanyikan secara berirama meminta jaguh-jaguh Zikir Maulud berbalas atau menyambung seloka.


Ramai tetamu tertunggu-tunggu akan kemuncak Zikir Maulud terjadi apabila peserta Zikir Maulud menyanyi dalam keadaan tidak sedarkan diri " Naik Syeh " . Malangnya suasana meriah dan adat budaya sebegini telah pupus setelah anak-anak muda tidak mahu belajar dan tidak berminat lagi untuk mengekalkan seni budaya Zikir Maulud daripada orang-orang tua yang mahir. Ianya hanya tinggal kenangan kepada penduduk asal yang masih hidup menetap di Pulau Aur. Adalah satu kerugian kepada Bangsa Johor sekiranya Zikir Maulad ini pupus ditelan zaman dan tidak didokumenkan secara ilmiah.  Pada hemat saya sementara masih seorang dua yang mengetahui Zikir Maulud eloklah Badan Warisan Seni Budaya mengambil pendekatan untuk  mendokumenkan Seni ini.



Ilmu Meringankan Badan Ketika Memetik Durian Renggas

Ketika musim durian budaya masyarakat di Pulau Aur  mereka akan memetik buah buah durian dari pokok  setelah 30 peratus daripada buah telah gugur ke tanah. Durian yang dipetik itu akan dikumpul dan dimuatkan ke dalam Kapal Layar untuk dijual ke Tanah Besar Semenanjung. Mereka terpaksa membuat begitu kerana tempoh berlayar  mengambil masa lebih kurang 1 minggu untuk sampai di Jeti pelabuhan Singapura. 


Kebiasaan Buah durian akan masak didalam perjalanan menuju di Jeti . Jikalau ribut taufan melanda atau tiada tiupan angin  maka mereka akan berpatah balik ke Pulau Aur dengan muatan yang tidak terjual. Untuk mengelakkan kerugian maka mereka membuat lempuk durian.   Menurut Pakcik Manaf Ilmu ini tidak munasabah mengikut akal fikiran manusia kerana sepemetik yang menggunakan ilmu tersebut akan memanjat pokok durian yang tinggi dan merayap dan meniti diatas dahan dahan pokok durian untuk memetik buah satu persatu. Sebelum ia memasukkan ke dalam guni sebelum diturunkan ke tanah menggunakan tali.



Siri Warna-warna Alam Semulajadi Di Lautan

Bukan selalu saya boleh  berada dikawasan Laut China Selatan, maka kesempatan ini tidak boleh dibazirkan begitu sahaja. Maka selagi apa yang boleh saya kecapai untuk dijadikan pengalaman hidup saya zahirkannya dalam bentuk rakaman minda dan rakaman imej.


Walaupun dilihat seperti langit dan lautan seperti bercantum, tetapi hakikatnya Garisan Alam yang lurus memisahkan antara keduanya.

Saya melihat permandangan lautan alam semulajadi mempunyai berbagai-bagai warna. Ibu warna kepada keadaan alam sekeliling adalah daripada sinar pancaran matahari. Warna-warna alam yang menarik dapat dikecap melalui pancaindra hati dan mata yang  berubah ubah mengikut masa dan harinya. Warna-warna alam semulajadi laut China Selatan ini telah selalu dilihat oleh pelaut dan penduduk di Pulau Aur sehinggakan sudah menjadi biasa dan tidak nampak istimewanya lagi.


Kepulan awan berarak mendung diwaktu pagi.

Pemandangan Pulau Lang yang dilihat dari Pulau Aur pada waktu pertengahan petang.









Bot Nelayan mencari rezeki laut terapung-apung

Lautan Gangsa






















Aktiviti Melihat Karang dan Hidupan Air

Saya tidak mahir dalam bidang hidupan dan tumbuhan acua, maka tidak pandai untuk menentukan kekayaan kepelbagaian hidupan laut disini. Tetapi berdasarkan riak kepuasan pengunjung melihat tumbuhan karang dan hidupan laut saya menjangkakan kawasan perairan disini masih tidak terganggu dan masih kaya dengan hidupan unik dan cantik setanding dengan perairan Pulau Tioman dan kepulauan di sekitarnya. 




















Siri Seni Karang

Imej tumbuhan karang yang dilihat dalam kejernihan air yang berkocak dipancar oleh cahaya matahari.









Cadangan Penambah Baikkan Melancong Ke Pulau Aur.

Sudah menjadi masalah kepada industri perlancongan untuk mengekalkan keindahan dan kebersihan sesebuah pulau. Perkara ini tidak terkecuali dengan Pulau Aur dan pulau yang berjiran dengannya.


Cadangan adalah seperti berikut:-

Setiap pengunjung harus membayar Deposit Sampah dan mengiystiharkan semua  barangan yang dibawa kepada penganjur perlancongan untuk disemak periksa satu persatu. Kejayaan ini telah terbukti  sepertimana syarat pengunjung yang mendaki Gunung Tahan, Taman Negara.



Setiap peserta wajib membuat bayaran Deposit Sampah untuk memastikan bekas barang yang dibawa dibawa pulang dan dibuang ke Tanah Besar Semenanjung. Deposit akan dikembalikan setelah menunjuk bukti sampah telah dibawa keluar dari Pulau , di Jeti Mersing. Tujuan begini ini adalah untuk mendidik pengunjung supaya menitik beratkan kebersihan sekitar Pulau.







Pulau Helang Pulau Dayang,
    Tiga Dengan Pulau Pinang,
Aku Pulang Terus Terbayang,
           Dalam Hati Sentiasa Terkenang.





                                               Pulau Dayang Nampaknya Lentik,
                                                  Nampak Dari Tanjung Pandan, 
                                              Pulaunya Punyalah Cantik,
                                                  Kekal hendaknya Sepanjang Zaman.


Wasalam.

No comments:

Post a Comment