Thursday 16 June 2016

Takur Leher-emas~Megalaima franklinii manor


Takur Leher-emas~Megalaima franklinii manor

Peluang menjumpai pokok berbuah yang boleh dimakan oleh burung-burung dikawasan hutan tanah tinggi jarang sangat dapat saya menjumpainya. Agak mendukacitakan kepada saya kerana tidak  dapat mengenal akan spesies tumbuhan tersebut. Sebagaimana kebiasaan burung dari keluarga Takur lah yang akan berlumba-lumba datang kepohon berbuah itu. Sepanjang berada dibawah pohon itu pada sesuatu masa telah didatangi sehingga  6 ekor burung Takur Leher-emas~Megalaima franklinii manor. 


Mereka gelojoh berebut-rebut mematuk-matuk buah masak untuk dicongkel keluar bijinya dari acuan selaput  sebelum buah itu ditelan. Berkejar-kejaran antara satu dengan lain, samada atas dasar tamak atau pun ia sedang gembira menjamu selera mereka. Ia akan mengulang-ulangi berkunjung ke pokok tersebut dan ada juga burung yang hanya bertenggek sahaja pada pokok itu. Setelah perutnya lapar kembali, diulanginya lagi memakan buah-buahan dari satu dahan ke satu dahan yang lain.



Berdasarkan lebatnya buah pada pokok ini, saya menjangkakan ia boleh menampung keperluan burung untuk tempoh lebih kurang 7 hari.   Burung Takur Jumbai-berapi~Psilopogon pyrolophus juga turut hadir menikmati tumbuhan yang tersebut. Entah dari mana ia mendapat tahu dipokok ini terdapat buah-buah yang sedang lebat masak. Tidak dapat saya memberikan jawapan. Setelah puas mengisi perutnya , ia pun beredar dan tidak kelihatan lagi untuk sesi pagi. Saya pasti ia akan datang mengunjungi ke pokok ini pada sebelah petang.


Takur Jumbai-berapi~Psilopogon pyrolophus



Menjadi persoalan peribadi sejak dulu lagi, bagaimanakah burung Takur Leher-emas~Megalaima franklinii manor boleh mengetahui pokok ini sudah berbuah masak dan sudah boleh dimakan. Apakah ia mengetahui berdasarkan secara terjumpa, atau dengan cara mencari, atau melalui deria rezeki burung atau burung mempunyai deria menghidu buah - buah yang sudah masak.



Bagaimana sekumpulan keluarga burung Takur boleh mengetahui sumber makanan ini yang terletak jauh dalam hutan dari tempat keliarannya.? Apakah mereka berhubung antara satu sama lain memberitahu akan buah-buah telah masak. Apakah ada satu bahasa atau isyarat umum yang difahami oleh semua burung tentang sumber makanan didalam hutan.


Sebagai contoh, bagaimana burung Takur Jumbai-berapi~Psilopogon pyrolophus yang entah dari mana boleh mengetahui lokasi tumbuhan yang banyak buah-buahnya. Apakah setiap individu burung yang berada disekitar kawasan pergunungan itu mempunyai kaedah yang sama. 




Senarai Spesies Burung Yang Mengunjungi Tumbuhan Untuk Memakan Buah Dan Serangga Yang terdapat Di Pokok Itu.

1.Takur Leher-emas~Megalaima franklinii manor.
2.Takur Jumbai-berapi~Psilopogon pyrolophus
3. Merbah Gunung~Hypsipetes mcclellandii
4.Cincilai Riang Kupiah-badam~ Garrulax mitratus
5.Cincilai Riang Melayu~Garrulax peninsulae 
6.Kekicau Leher Kelabu~Stachyris nigriceps 
7.Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus 
8.Sibia Ekor Panjang~Heterophasia picaoides
9.Kekicau Tirjup Kening putih~ Pteruthius flaviscapis
10.Kekicau Tirjup Telinga hitam~Pterusthius melanotis
11.Sambar Besar Niltava~Niltava grandis


Wasalam.

No comments:

Post a Comment