Wednesday 3 August 2016

Siri Bangunan Ibadat Bersejarah Yang Terbiar Dan Terabai


Tidak ada daya upaya yang boleh dilakukan, selain berharap hanya pada Allah sahaja. Moga-moga ada  orang yang berilmu dan berharta daripada kalangan kita sanggup bekorban mengusahakan sesuatu yang terpuji. Untuk tampil menyelamatkan, membaik pulih, menyelia dan mentadbir dengan baik bangunan Masjid Lama ini . Masjid Lama ini terletak disebuah daerah pedalaman di negeri Pahang yang jauh daripada kesebukkan arus kemodenan bandar.




Pemandangan Bangunan Masjid Lama dari hadapan. 

Anak tangga kayu untuk naik memasuki ke dalam Masjid telah hilang dan reput. Atap zingnya juga telah berlubang, berkarat dan salah satu atap zing telah hilang dipercayai telah diterbangkan oleh angin. Kedudukan arah kiblat sama dengan muka pintu masjid. Tumbuhan liar dari jenis rumput serta lalang hidup segar subur dihalaman Masjid Lama. Kelihatan  tidak ada penjaga dan terbiar begitu sahaja, walaupun seharian para Khariah Masjid dan penduduk Kampong  lalu lalang dihadapannya langsung tidak mempedulikannya.




Orang tempatan yang berjaya dan  berhijrah dari Kampong ini pun tidak menampakkan kesayangan mereka terhadap Masjid Lama ini. Agaknya mereka hanya leka dengan kesedapan hidup di bandar sahaja. Tidak langsung mahu berikhtiar untuk menawarkan jasa untuk menjaga atau membaik pulih Masjid Lama ini. Keadaan ini jelas membuktikan mereka adalah dikalangan  orang yang kurang berpendidikkan ilmu Tawarikh tempatan.



Jikalau atap-atap zing pada Bangunan Masjid Lama ini sudah terbuka dan mendedahkan ruang bilik Imam Masjid, alamatnya  bangunan ini sedang berlaku proses kemusnahan diperingkat pertengahan. Iaitu  sedang menjalani proses petukaran menjadi lapuk. Serangan cuaca panas hujan sejuk bersilih hari,  bakal meruntuhkan bangunan ini seterusnya akan menyembah bumi tanpa ada seorang pun yang akan perasan.


Sikap umat Islam Melayu ditempat ini sendiri memberi tanda jelas bahawa ada dikalangan mereka dipercayai daripada kalangan Jiwa Kosong. Perbuatan Vendalism pada sebahagian besar bahagian dinding Masjid Lama ini membuktikan  hati-hati mereka liar. Tafsiran dalam beribadat dikalangan mereka sangat sempit. Pada mereka memadai hanya dengan Sembahyang, Puasa, Zakat, Haji, Ceramah , Halal,  Haram sahaja. Mengekalkan sejarah penempatan awal orang Melayu Islam di daerah pedalaman Negeri Pahang serta sejarah senibina tidak termasuk dalam kamus hidup mereka.




Berdasarkan bukti yang boleh dilihat Masjid Lama ini dibina sekitar tahun 40 atau 50an, dan ia telah ditambah baik pada 11 Oktober 1964. Seni binaan bangunan orang Melayu Islam Pahang pada ketika itu menampakkan tiada unsur-unsur senibina Islam yang bercirikan dari benua India mahu pun dari benua Arab. Ia adalah rekaan senibina Bangunan Ibadat Melayu Islam Pahang yang dicipta oleh orang yang terdahulu yang tidak ditiru dari mana-mana tempat.



Ketekunan orang Melayu Islam Pahang ketika berusaha memperindahkan Masjid Lama mereka harus dipuji. Sikap ini telah mula pudar di kebanyakan masyarakat kita hari ini. Bukan sahaja tidak pandai lukisan pelan Senibina, pertukangan jauhlah sekali. Untuk mengekalkan senibina Melayu Islam Pahang yang unik ini langsung tiada sekelumit didalam hati kalangan mereka.



Sebagai salah satu contoh menyokong kenyataan saya ialah dari hasil kepingan Zing sebagai pemidang memperindah sekeliling Kubah Masjid. Kepingan Zing di lukis corak bunga dan dipahat sehingga menjadikan corak seragam yang menarik. Hasilnya dilekat tampal di sekeliling Kubah Masjid Lama, untuk memberi rasa megah dan kebanggaan kepada senibina Masjid. Setidak-tidaknya setanding dengan senibina dari masyarakat lain.


Kini segala usaha tukang kayu dan pengukir itu menjadi seperti sampah terbuang bersepah-sepah sedangkan ianya terhasil daripada seni pertukangan pahat yang memerlukan kepakaran dan ketekunan.



Pada sekeliling bangunan Masjid Lama , dibina juga ruang angin keluar masuk untuk tujuan memberi selesa para makmum ketika beribadat. Corak pahat yang menarik dilakukan dalam bentuk geomateri seragam yang juga bertujuan memberi cahaya masuk menerangkan ruang solat. Kerana pada ketika itu Masjid Lama ini tidak dibekalan oleh tenaga elektrik.



Seni pertukangan dan pahat yang membentuk corak asal Melayu Islam Pahang pada ketika itu banyak memikirkan kesejahteraan khalayak. Keseluruhan ruang siling Masjid Lama ditutup susun rapat dengan kayu-kayu bertujuan mengurangkan haba panas dan memperkemaskan senibina Masjid.




Terdapat Bilik Imam merangkap khutub khanah untuk menyimpan kitab-kitab, Al Quran, Rehal, Tikar dan Sejadah dibina kemas. Ruang ini dipisahkan dengan 2 daun pintu yang berbentuk  seperti bucu kon. Diruang  Mihrab Masjid masih terdapat rangka Mimbar kayu berwarna Hijau yang masih berkeadaan baik.


Ruang dinding didalam bilik ini nya dicat dengan warna yang terang, memberi kemudahan orang untuk mentelaah kitab dan mengaji didalam bilik ini.











Masjid Lama ini dibina oleh sekumpulan Mahir Tukang Kayu yang berkemahiran tinggi. Rangka bangunan Masjid lama didirikan dengan menggunakan kaedah tebuk, selak dan pasak dengan tidak menggunakan paku. Setiap tiang kayu di ukur dengan tepat dan sempurna. Andaikata ukuran dan tebukan tidak tepat  maka rangka bangunan tidak dapat didirikan.


Namun begitu semua seni pertukangan kayu berkemahiran tinggi itu langsung tidak dihargai oleh khariah dan penduduk Melayu Islam Pahang. Mungkin mereka hanya mengharapkan kerajaan atau pihak NGO untuk menyelamatkan binaan sejarah ini. Untuk mereka merasa megah mempertahankan seni bina Melayu Islam Pahang jauh panggang dari api.



Setakat bersimpati tanpa ada sebarang tindakan yang menggerakkan usaha memperbaiki dan mengekalkan Masjid Lama ini, sama sahaja seperti tidak melakukan apa-apa. Apakah akan berlaku jikalau ada orang perseorangan datang dengan lori dan membuka bangunan Masjid Lama ini untuk dipindahkan dilokasi lain ? Apakah ada orang atau kumpulan yang akan menghalang usaha tersebut.


Apakah tindakan menyelamatkan senibina itu akan dianggap seperti mencuri atau merampas hakmilik penduduk Kampong tersebut? Sedangkan pada hakikatnya bangunan itu hanya bertaraf sampah dimata mereka.


Andai kata ahli Khariah kawasan kampong ini menggerakan otaknya untuk memenafaatkan bangunan ini tentu Ahli Jawatan Kuasa Masjid Kampong ini boleh menambah jumlah simpanan wang Masjid. Mungkin melebihi kutipan derma pada setiap Sembahyang Jumaat. 


Salah satu cadangan yang boleh saya beri ialah, jadikan lah tempat ini sebagai rumah inap untuk pelancong dan pengembara tempatan dan luar negara. Apa yang perlu lakukan adalah cuma sediakan sahaja kemudahan asas seperti tenaga elektik, air dan tandas. Bersihkan halaman dan cantikkan tanaman landskap.








Apa yang menariknya ialah kedudukan lokasi bangunan ini letaknya diatas kawasan bukit, dimana arah pemandangan akan melihat dan menikmati warna-warni cahaya matahari terbit diwaktu menjelang pagi. Sambil bersarapan pagi dihalaman masjid lama dengan menu hidangan yang disediakan oleh penduduk kampong. Menu-menu tempatan boleh diperkenalkan kepada masyarakat luar dan secara tidak langsung menambah sumber pendapatan warga kampong.




Janganlah nanti merasa kesal yang tidak sudah atas kerugian khazanah sejarah penempatan awal penduduk Melayu Islam Pahang disini. Tidak berfaedah lagi untuk berkalau-kalau sekiranya Bangunan Ibadat Melayu Islam Pahang ini menyembah bumi. Wasalam.


No comments:

Post a Comment