Wednesday 4 January 2017

Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus Dari Fakta Imaginasi Saya.


Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus di Malaysia

Sebelum kedatangan  bangsa-bangsa lain ke Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Borneo,  Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus telah terlebih dulu mendiami  tanah ini dari bangsa-bangsa lain. Mereka juga adalah penduduk asal yang telah bermastautin lama di Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Borneo sejak berjuta tahun dahulu lagi.   Penemuan bukti arkologi menjelaskan sejarah kehadiran mereka dan  tidak boleh disangkal. Pada ketika itu mereka hidup aman, bebas merdeka didalam habitatnya tanpa sebarang kacau ganggu dan penindasan dari mana-mana pihak.



Tidak dapat diketahui punca kepupusan bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus di Semenanjung Tanah Melayu, namun begitu  mereka masih boleh ditemui di Pulau Borneo, tetapi dalam jumlah yang sangat membimbangkan.  Kerana  pada waktu ini Program Penindasan & Penghapusan Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dirancang dengan rapi dan tersusun. Rancangan itu dilakukan tanpa ada rasa kasihan belas terhadap Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus ini. Jikalau ada perasaan simpati pun, ia hanyalah sekadar pura-pura sahaja, demi  mendapatkan laba penajaan atau menampakkan mereka adalah dari kalangan insan yang mulia.


Maufakat Program Penghapusan Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dilaksanakan oleh Kumpulan Syarikat-syarikat Perladangan Gergasi. Kumpulan ini berebut-rebut merampas seluas-luas tanah kawasan Habitat semulajadi Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus. Kerakusan mencari keuntungan ekonomi dari hasil penebangan kayu balak sebelum dijadikan kawasan perladangan Kelapa Sawit. Luas tanah yang dirampas  untuk dimiliki oleh sesebuah Syarikat Perladangan adalah tersangat luas.


Sehinggakan keluasan tanah  itu seolah-olah melayakkan  Syarikat-syarikat ini  menubuhkan sebuah negara baharu yang berdaulat. Samada di Semenanjung Tanah Melayu atau pun di Sabah dan Sarawak. Pemilikan tanah ladang itu adalah lebih luas daripada negeri Melaka, Perlis dan Negara Brunei. Dengan kekayaan dan kuasa, mereka boleh sahaja melantik Ahli-ahli Lembaga Pengarah sebagai Waizuri untuk bertahta memerintah negara Kelapa Sawit itu. Sepertimana  pernah dilakukan oleh Syarikat India Timur yang pernah memerintah  dibenua India pada suatu ketika dahulu.



Cara pemilikan tanah yang luas itu tidak dilihat sebagai perbuatan jenayah Penghapusan Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus. Tetapi dilihat sebagai salah-satu usaha penjanaan ekonomi dalam sektor perladangan pertanian sahaja. Mengaburi minda masyarakat seolah-olah usaha ekonomi itu memberi banyak peluang pekerjaan kepada Bangsa Haiwan Manusia. Namun pada hakikatnya Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus  telah diusir serta dihambat keluar secara beramai-ramai dari tanahair mereka.


Pernah juga berlaku pengusiran Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dilaksanakan dengan kaedah tebang dan pembakaran hutan secara terbuka kerana ia mudah, cepat dan murah. Kaedah pengusiran sebegini cukup berkesan dan sangat berjaya. Siri pengusiran yang dilaksanakan ini jelas satu perbuatan Pencabulan Hak Asasi Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus. Perbuatan kejam ini jelas tidak memberi peluang Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus untuk mencari makanan dan beranak-pinak. Malangnya perbuatan kejam ini tidak dilihat sebagai satu Jenayah Keseksaan tetapi hanya sekadar Jenayah Alam Sekitar sahaja.



Walaupun sebilangan kecil dari Bangsa Haiwan Manusia sedih  dan menyedari akan kekejaman ini, namun mereka tidak mampu melakukan apa-apa tindakan. Kerana mereka tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang atau membantah. Sementelah Syarikat Perladangan telah dilindungi dengan kukuh oleh kuasa kekebalan undang-undang yang tertulis.



Setelah berpuluh-puloh tahun menzalimi Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus , kita sebagai bangsa Haiwan Manusia bertamadun yang telah diturunkan ugama dari langit, gunakanlah neraca keadilan pertimbangan akal untuk merasa insaf akan segala perlakuan kezaliman itu. Maka kenal dan selamilah jiwa perasaan mereka bersungguh-sungguh dengan pendekatan berbaik sangka serta jujur.


Orang Utan~Pongo pygmaeus itu adalah makhluk hidup yang mempunyai nyawa dan perasaan. Mereka  berasal dari satu kalangan bangsa haiwan seperti kita manusia juga. Tetapi mereka telah  dikecualikan oleh Allah untuk mengikuti dan menuruti segala macam perintah serta wahyu yang pernah diturunkan Allah kepada Nabi-nabi. Oleh sebab itu bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus tidak perlu bersusah payah menuntut ilmu dan menuruti segala macam Fardu , Sunat dan Haram sepertimana kita. Biarlah dikalangan mereka menentukan sendiri hala tuju kehidupannya. dengan bebas merdeka. Mereka juga berhak untuk bebas merdeka seperti kita untuk mencari kehidupan  beranak pinak secara aman.


Tidak ada sesuatu pun yang dijadikan oleh Allah dialam ini akan menjadi sia-sia sahaja. Kesempurnaan kejadian jasmani susuk tubuh Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus yang padat dan besar adalah bersesuaian dengan tempat habitatnya didalam hutan belentara. Mempunyai kudrat tenaga yang berlipat kali ganda dengan kekuatan Bangsa Haiwan Manusia. Kulit dan bulu pada tubuh mereka cukup tebal untuk menjadi  penebat kepada segala macam keadaan cuaca. Kulit mereka juga tidak mudah cedera akibat terkena ranting dan duri.


Sepasang tangan yang panjang dan kuat untuk mereka memanjat dan bergayut diatas pokok. Mempunyai sepasang kaki yang  berfungsi seperti tangan untuk memegang serta mencengkam selain berfungsi untuk berjalan . Rahang serta gigi yang kukuh memberi kelebihan kepada mereka mencari makan dan mempertahankan diri. Kerangka tulang empat kerat yang ada pada jasmani Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus sudah cukup untuk mereka tidak mati kelaparan didalam hutan belentara. Kerana disitu mereka berupaya mencari dan memilih sendiri rezeki mereka tanpa bantuan.


Dari sudut rohani, mereka mempunyai berbagai-bagai rasa perasaan serta hawa nafsu sepertimana Bangsa Haiwan Manusia. Dalam hati mereka mempunyai naluri rasa kesayangan, takut, gembira, marah dan sebagainya. Walaupun perhubungan antara mereka hanya menggunakan bahasa mimik muka , bahasa badan dan bunyi-bunyi yang hanya difahami oleh mereka. Mereka aman sentosa hidup didalam hutan belentara tanpa bersendikan ugama , adat, peraturan dan pelajaran. 


Oleh yang demikian, kita Bangsa Haiwan Manusia yang sangat bertamadun yang telah diberi segala ilmu fikiran serta ugama   melayakkan kita menzalimi makhluk yang lemah seperti bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus dan makhluk-makhluk lain. Tidakkah boleh ilmu pelajaran kurnian Tuhan  yang dimiliki itu digunakan untuk melindungi makhluk-makhluk yang lemah dan mudah terancam. Atau tidakkah cukup bermacam-macam ancaman pembalasan daripada  Allah. Maka jadilah MANUSIA, BUKAN HAIWAN MANUSIA.


Bangsa Orang Utan~Pongo pygmaeus akan sentiasa berdiamkan diri dalam derita sepanjang hayat atas semua perbuatan kezaliman terhadap mereka. Akhir kalam, anggaplah sahaja   kenyataan ini semua berdasarkan fakta-fakta imaginasi saya sahaja..  Wasalam.

1 comment:

  1. Satu imiginasi yg sangat menarik beserta gambar.semoga Tuan La terus maju berkarya.

    ReplyDelete