Monday 30 January 2017

Diet Makanan Semulajadi Spesies Burung



Diet Makanan Semulajadi Spesies Burung.



Saya telah lama tidak menjumpai spesies burung yang baharu untuk disenaraikan didalam jadual peribadi Burung-burung yang dijumpai di Semenanjung Malaysia. Walaupun setiap hari dan berulang-ulang kali berusaha untuk menemukan spesies burung yang baharu. Pada ketika ini, setiap kali pergi memburung pasti berakhir dengan kegagalan .Keadaan begini memberi tekanan kepada emosi sebagai pemburung tegar seperti saya.



Tidak sepertimana pada masa dahulu ketika pada awal penglibatan memburung ditahun 2006. Pada ketika itu setiap hari saya teruja dan gembira kerana ada sahaja spesies burung yang baharu saya temui. Mungkin sekarang senarai jumlah peribadi spesies burung saya, telah banyak maka untuk menjumpai spesies burung yang baharu adalah sangat terhad dan sukar.



Mengikut rekod peribadi lebih kurang 150 spesies burung yang masih belum ditemui daripada 678 spesies burung yang boleh ditemui di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan kajian dan bacaan saya spesies itu antaranya adalah burung-burung hijrah dan burung tempatan yang sangat sukar untuk ditemui. Ia mendiami jauh didalam hutan serta mempunyai tabiat yang suka menyendiri dan menyorok. Dan ada juga yang mendiami di kawasan pergunungan malah ada yang mendiami jauh di tengah-tengah lautan diperairan Semenanjung Malaysia.

 

Spesies burung yang menjadi cita-cita dan idaman pada ketika ini untuk menjumpainya adalah burung Merbah Hitam dan putih~Pycnonotus melanoleucos, Burung Penjejak Madu~Indicator archipelagius, Jay berjambul~Platylophus galericulatus, Cencala dada bintik~Rhpidura perlata, Pekaka Perang~Halcyon coromanda, dan Ungkau Sewah Kelawar~Macheiramphus alcinus. Namun begitu sehingga ke hari ini masih belum berjaya lagi menjumpai spesies yang dinyatakan itu.




Keadaan akan menjadi berlainan sekiranya saya memburung dengan kaedah memanggil dan mengumpan burung-burung dengan ulat-ulat ternak, dedak dan anak-anak ikan. Tetapi tentulah terlalu aneh dan janggal sekiranya saya melakukan seperti itu. Ia umpama kita menjumpai kumpulan Burung Kasumba Kepala-Merah~Harpectes erythrocephalus di kawasan lapang Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.


Prinsip mengumpan sepertimana itu bukanlah pegangan saya sejak dulu lagi. Memadailah hanya dengan berbekalkan keteguhan prinsip tersebut, dimana saya tidak akan teruja menggunakan kaedah seperti itu. Walaupun ia mendatangkan kegagalan sehingga membawa kepada tekanan emosi .


Namun begitu, secara tidak langsung, tekanan emosi itu telah membuka ruang serta peluang kepada saya untuk berfikir lebih jauh. Hasilnya saya berpeluang  mendalami ilmu bidang pemburungan ini dari sudut yang lain, iaitu dengan memerhati pula jenis-jenis diet makanan semulajadi burung. Mengenal akan serangga dan hidupan yang menjadi diet makanan burung, dengan merakam imej untuk menghasilkan imej hidupan yang dapat dilihat pada dari jarak dekat.




Tempoh mencari dan menunggu itu mendatangkan kebosanan serta tekanan yang langsung membawa kepada melakukan sia-sia, jikalau saya tidak dimanafatkan waktu terluang itu. Maka   dengan masa terluang itu saya gunakan untuk  mencari jenis-jenis makanan  spesies burung.






Haiwan-haiwan kecil ini terdiri  daripada berbagai bentuk serta corak warna-warna yang sungguh menarik. Ia  merupakan benda hidup yang bernyawa mendiami  habitat di pelbagai tempat, ada di dalam tanah, di bawah batu, di atas ranting , di celah-celah daun dan di dalam lubang pokok. Ada yang berbulu-bulu yang bergerak-gerak dengan cara merayap, mengesuit, melompat dan berterbangan.



Kebanyakan jenis serangga yang saya temui adalah menjadi diet makanan burung-burung yang tidak diketahui akan namanya. Cuma mengenal akan jenis umumnya sahaja, seperti Siput, Ulat, Lalat, Lebah dan Spider sahaja. Untuk saya  mengetahui akan namanya  secara ilmiah dan saintifik memerlukan masa yang lama. Inilah kesannya  saya sudah terlewat untuk sedar akan kepentingan nama jenis-jenis makanan burung. Terlewat untuk berfikir akan kepentingan masa pada masa dahulu.










Rata-rata jenis hidupan serangga diet makanan burung jikalau dibesarkan imejnya, kita  berupaya melihat kebesaran dan kekayaan penciptanya secara jelas. Pada bentuk seekor serangga yang bersaiz kecil itu, penciptanya masih berupaya menzahirkan kecantikan ciptaannya pada bentuk dan corak susunan dari pelbagai jenis warna yang menarik.



Memerhati dan merakam semua jenis hidupan kecil yang menjadi makanan atau racun adalah siri proses cabaran yang telah mendatangkan kegembiraan kepada saya setelah berupaya mengatasi cabaran dan kerumitan yang berbeza. Walaupun imej perinciannya tidak begitu jelas dan tajam sepertimana jurufoto Micro yang berpengalaman.

Kaedah merakam tanpa menggunakan bantuan tambahan cahaya flash , alat biasan cahaya dan tanpa tripod adalah satu usaha yang agak mencabar. Yang pastinya  ia tidak berupaya menghasilkan perincian imej sepertimana rakaman menggunakan alat bantuan. Walaubagaimana pun saya sudah cukup gembira  kerana berupaya merakam hanya menggunakan cahaya semulajadi yang ada dilokasi rakaman sahaja.




Pada saya, keutamaan mengetahui habitat dimana boleh kita temui dan juga saya mengenal setiap jenis hidupan yang menjadi diet makanan kepada pelbagai burung-burung adalah sudah cukup memadai. Wasalam.

No comments:

Post a Comment