Tuesday 18 April 2017

Burung Takau Ekor Panjang~Psarisomus dalhoussiae Bersarang Rendah Di Bishop Trail, Bukit Fraser, Raub Pahang


Perbuatan Kacau Ganggu, Dan Memotong Tumbuhan Di Kawasan Sarang Burung.

Burung Takau Ekor Panjang ~ Psarisomus dalhoussiae Bersarang Rendah Di Bishop Trail, Fraser Hill, Raub Pahang



Adalah  mendukacitakan apabila mengetahui pada waktu sekarang ini tahap pemikiran dan kelakuan Jurugambar Burung @ Bird Photographer di Malaysia telah berada pada satu tahap yang paling rendah dan memalukan dalam sejarah pemburungan di negara kita. Dalam suasana   bidang ini telah mula mendapat perhatian daripada semua lapisan masyarakat umum. Terdapat pula segelintir  Jurugambar Burung @ Bird Photographer telah tanpa ada perasaan bersalah melanggar   etika dan undang-undang dengan mengganggu, mengalih serta merosak sarang burung ketika dalam usaha mendapatkan imej rakaman burung. Apakah tidak cukup lagi dengan memanggil dan mengumpan burung dengan pelbagai jenis makanan ketika dalam proses mendapatkan imej. 


Masih tidak cukup cantik lagikah imej aksi-aksi  burung  yang berada   disekeliling sarang  yang tidak pergi kemana-mana itu. Tambah pula  menggunakan  peralatan kamera & lensa yang tersangat baik dan mahal. Apakah rakaman imej aksi burung pada kedudukan separas mata akan menjadikan imej rakamannya itu juara kepada segala juara? Atau sedang sangat kebuloran dengan  pujian dan "like " dimedia sosial. Sehinggakan sampai Jurugambar Burung @ Bird Photographer ingin berseni kratif , mengalih kedudukan sarang burung itu berada pada kedudukan rendah yang separas mata.

Mengapa sampai melakukan sejauh itu  semata-mata ingin mendapatkan imej yang cantik, walhal perbuatannya itu telah terang-terangan  mengganggu, mengalih dan merosakkan sarang ketika proses burung bersarang. Kesan dan akibat dari kelakuan oleh segelintir  Jurugambar Burung @ Bird Photographer itu telah mengakibatkan   burung meninggalkan sarangnya dan tidak kembali lagi.

Cukuplah dengan pengalaman beberapa siri sejarah kacau ganggu burung  yang juga disebabkan oleh segelintir  Jurugambar Burung @ Bird Photographer pada tahun-tahun sebelumnya. Seperti spesies burung Sambaraja Nila~Hypothymis azurea (Black naped Monarch) - Hutan Simpan Perdik, Takau Hijau~Calyptomena viridis (Green Broadbill) - Hutan Simpan Perdik, Pekaka Api~Ceyx rufidorsa ( Rufous backed Kingfisher ) Hutan Simpan Perdik,  Pekaka Cekak Perang~Actenoides concretus (Rufous Collared Kingfisher) - Hutan Simpan Sungai Congkak, Takau Ekor Panjang ~Psarisomus dalhoussiae (Long Tailed Broadbill) di Bulatan Telekom Bukit Fresar dan beberapa kes yang disenyapkan.

Semasa Kerajaan mengubal undang-undang Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dahulu saya fikir , seksyen kacau ganggu ini hanya untuk melindungi hidupan liar daripada gangguan mana-mana orang yang memberi gangguan dan ancaman atas sebab ekonomi sahaja.  Perlindungan Akta itu bukan ancaman yang datang daripada pihak pengemar hobi merakam imej burung iaitu Jurugambar Burung @ Bird Photographer.

Undang-undang Malaysia Akta 716
Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010
Spesies yang di kawal 117 

Merosak dan sebagainya sarang atau telur hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya
Larangan Perbuatan tertentu didalam rezab hidupan liar dan kawasan perlindungan hidupan liar.

49. Tiada seorang pun boleh~

a. didalam rizab hidupan liar mengganggu dan memotong, mengalih atau mengambil apa-apa tanih, kayu atau tumbuhan
b. didalam suatu kawasan perlindungan hidupan liar

i.memburu mana-mana haiwan atau burung
ii.mengambil,mengganggu , merosakkan atau memusnahkan sarang atau telor mana-mana haiwan atau burung
iii.mengganggu , memotong, atau mengalihkan apa-apa tanih, pokok kayu atau tumbuh-tumbuhan

Bahagian VII~ Kesalahan dan Penalti Bab 1 ( Kesalahan yang berhubung dengan lesen )

Memungut sarang tanpa lesen~ 

64.Mana-mana orang yang memungut sarang burung tanpa suatu lesen melakukan satu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan didenda tidak kurang daripada RM 20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Bab 4 Pelbagai
Kesalahan dan Penalti Bab 1

74. Mana-mana orang yang merosakkan atau membinasakan sarang atau telor hidupan liar yang dilindungi melakukan kesalahan  dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.


75.Mana-mana orang yang merosakkan atau membinasakan sarang atau telor hidupan liar yang dilindungi melakukan kesalahan  dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

Sebab itu, agak mustahil pihak berkuasa untuk membawa mereka ini kemuka pengadilan diatas kesalahan yang mereka telah lakukan itu. Bagaimanakah pihak yang berwajib ingin mendapatkan bukti-bukti yang boleh mensabitkan kesalahan yang telah dilakukan oleh Jurugambar Burung @ Bird Photographer . 

Dibawah ini bukti-bukti kesalahan yang telah dilakukan oleh segelintir  Jurugambar Burung @ Bird Photographer.

Lokasi Kejadian: Di Kawasan Rizab Santuary Burung & Hidupan Liar Bukit Fresar, Raub Pahang.
Spesies Burung Bersarang : Burung Takau Ekor Panjang ~Psarisomus dalhoussiae atau Takau Injap Nama Inggeris Long Tailed Broadbill.

Status            : Dilindungi Sepenuhnya.
Status ICUN : Sedikit Membimbangkan / Least concern
Lokasi Burung Bersarang : Bishop Trail.
Tarikh Diketahui : 16 April 2017.

Burung Takau Ekor Panjang ~Psarisomus dalhoussiae atau Takau Injap Nama Inggeris Long Tailed Broadbill.


Keterangan;

Tidak pernah ada dalam sejarah Burung Takau Ekor Panjang ~Psarisomus dalhoussiae telah membuat sarangnya pada satu paras yang sangat rendah dari lantai tanah. Dalam keluarga Takau, hanya burung Takau Hijau~ Calyptomena viridis (Green Broadbill) sahaja yang membuat sarang pada satu paras yang rendah, itu pun sarangnya dibuat didalam rimbunan tumbuhan yang tersorok daripada pemandangan mata . Mengikut rekod terdahulu pada tahun 2014 di Bulatan Telekom dan 2016 di Jeriau,  Burung Takau Ekor Panjang ~Psarisomus dalhoussiae memilih membuat sarangnya pada bahagian hujung ranting rotan yang mana lokasinya berada dikawasan jurang pada satu kedudukan semua haiwan/musuh tidak berupaya memberi kacau ganggu atau menimbulkan bahaya kepadanya. Sifat dan keadaan bentuk sarangnya akan sama pada setiap kali musim membuat sarang.

Tetapi pada  16 April 2017 bertempat di Bishop Trail saya mendapati kedudukan sarang Burung Takau Ekor Panjang ~Psarisomus dalhoussiae berada pada satu paras yang sangat rendah dari lantai tanah. Sarang itu berada pada satu paras ketinggian yang sesiapa sahaja berupaya mencapai sarang burung itu.  Kedudukan sarang itu pula, tidak terlindung daripada sebarang ranting-ranting dan rimbunan daun tumbuhan. Keadaan seperti ini adalah berlawanan dengan sifat semulajadi Burung Takau Ekor Panjang~Psarisomus dalhoussiae membuat sarang.

Kelazimannya Burung Takau Ekor Panjang~Psarisomus dalhoussiae akan memilih bahagian hujung ranting pokok Rotan untuk membina sarangnya. Pokok rotan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang mana  ia tidak mudah patah dan  mempunyai duri pada keseluruhan batangnya. Manakala kedudukan sarang dibina pada tahap sangat sukar dicapai , hinggakan monyet atau beruk susah untuk mencapainya.

Setelah menunggu seorang diri sambil membuat pemerhatian dari jam 12.30 hingga 6:00 petang  , mendapati pasangan Burung Takau Ekor Panjang~Psarisomus dalhoussiae masih tidak pulang kesarangnya. Keadaan seperti ini, saya merumuskan dengan  cadangan bahawa pasangan burung itu telah melarikan diri  dan tidak akan kembali kesarangnya lagi. Setelah membuat kajian lanjut serta memperhalusi setiap imej , mendapati adalah seperti berikut:-


Imej Bukti  Bergambar Keadaan Sarang.

Imej A~ Keadaan imej keseluruhan sarang burung Burung Takau Ekor Panjang~Psarisomus dalhoussiae ketika dijumpai pada 16 April 2017 di Bishop Trail, Bukit Fresar, Raub Pahang.


Imej B~Ranting bahagian atas tidak sama dengan tumbuhan ranting bahagian bawah  dari jenis rotan. Ranting itu tersangkut pada batang kayu tumbuhan lain.  Keadaan seperti ini adalah hasil daripada ranting ini telah disangkut oleh sipelaku.


Imej C~ Penyambungan antara ranting kayu dan ranting rotan. Bukti seseorang telah mengikat kedua ranting itu dengan ikatan menggunakan ranting tumbuhan halus . Terdapat 2 bahagian ikatan dibawah dan diatas bertujuan menguatkan sambungan ranting sarang.
Bukti kacau ganggu masih boleh dilihat dilokasi sarang, tetapi bagaimana pihak berkuasa boleh mencari sipelaku, kerana pada ketika kejadian pihak penguatkuasa tidak berada dilokasi kejadian itu. Adalah satu perbuatan kurang cerdik jika mengharapkan sipelaku mengaku diatas perbuatan itu secara sukarela, dalam waktu yang sama dia pula akan dikena hukuman denda RM 50,000.00 jika sabit kesalahan. 

Imej D ~ Penyambungan antara ranting kayu dan ranting rotan. Bukti seseorang telah mengikat kedua ranting itu dengan ikatan menggunakan ranting tumbuhan halus . Terdapat 2 bahagian ikatan dibawah dan diatas bertujuan menguatkan sambungan ranting.
Imej E~  Kelihatan hujung tumbuhan jenis rotan itu berserabut cebisan sabut rotan kesan ia telah diputuskan.
Bilangan kakitangan penguatkuasa yang terhad membataskan mereka dalam menangani semua keperluan didalam akta . Pihak berkuasa mempunyai keutamaan kepada kes yang lebih besar daripada ini. Seperti membenteras pemburuan hidupan liar, penyeludupan dan penjualan haram  hidupan liar. Apakah dimasa hadapan pihak berkuasa sentiasa mengharapkan orang awam dan pemerhati burung menjadi mata-mata kepada pihak berkuasa. 


Imej F~ Kedudukan muka pintu sarang

Imej F 1~  Kelihatan batang rotan yang telah dipotong dan dibuang duri-duri berkedudukan disebelah kana dengan sarang.

Mencadangkan kepada sesiapa yang ternampak imej Burung Takau Ekor Panjang~Psarisomus dalhoussiae yang sangat cantik. Imej burung sedang bergayut atau duduk dalam sarang yang berkedudukan separas mata , maka itulah calon Jurugambar Burung @ Bird Photographer yang berkemungkin terlibat atau mengetahui akan kacau ganggu itu. Nilai dan taraf imej itu  adalah seperti kertas tisu tandas.  


Imej G~ Kedudukan muka pintu masuk sarang dan keadaan batang rotan yang telah diputuskan.


Imej H~ Keadaan paras sarang yang terbuka lapang tidak terlindung daripada tumbuhan-tumbuhan pada kedudukan separas dengan mata

Imej I~ Kedudukan sarang pada kedudukan dari arah jalan keluar dari Bishop Trail.

Imej J~ Keadaaan tumbuhan bersebelahan dengan sarang yang telah ditebang/cantas bertujuan membuang halangan yang melindungi pemandangan sarang. Pertujuan mendapat imej rakaman burung dan sarang yang tidak dihalang oleh ranting dan daun.

Imej K ~Kesan ranting-ranting yang telah dicantas dan ditebang.

Imej L ~Kesan ranting-ranting yang telah dicantas dan ditebang.

Imej M ~Kesan ranting-ranting yang telah dicantas dan ditebang berhampiran dengan sarang.

Imej N ~Kesan ranting yang telah dicantas dan ditebang berhampiran/ sekeliling dengan sarang.

Imej O ~Kesan ranting yang telah dicantas serta ditebang berhampiran/ sekeliling dengan sarang.

Imej P ~Kesan ranting yang telah dicantas dan ditebang berhampiran/ sekeliling dengan sarang.

Apa yang penting sekarang, bagaimana hendak mendidik dan memujuk  orang dewasa/tua yang berjawatan tinggi, mempunyai wang yang banyak, berpendidikan akedemik yang tinggi, pengaruh yang kuat, supaya mereka mendengar nasihat. Mengikut nasihat perkara buruk seperti itu tidak diulangi lagi. Kepada sesiapa mengenal sipelaku itu, berilah dia nasihat  dengan cara baik dan lemah lembut. Supaya mereka  amalkan etika sediada dan jangan diulang-ulangi lagi kesalahan mengaibkan itu. Jika tidak dinasihatkan maka tempias perbuatan aib mereka akan terpercik kepada Jurugambar Burung @ Bird Photographer yang tidak terlibat.

Keutamaan haruslah diberikan kepada kelestarian dan keamanan burung daripada memuaskan hawa nafsu membabi buta merakam gambar burung. Usaha dan terus berusaha dengan pekerjaan susah seperti ini. Kerana usaha  untuk mendidik mereka ini , boleh diibaratkan seperti mengajar seekor Beruk bercakap dalam Bahasa Malaysia. Wasalam.







1 comment:

  1. I too heard about it last week and I thought it was the bad weather that have brought the nest down. Time and again this happen ............sign.

    ReplyDelete