Saturday 1 April 2017

Melihat Babi Jakut ~ Sus barbatus Bearded Pig Secara Lebih Dekat


Melihat dan Mengenal Babi Kita  Secara Lebih Dekat.
Babi Jakut ~ Sus barbatus  (Bearded Pig)

Apabila kita melihat haiwan Babi Jakut~ Sus barbatus ini, jangan serta-merta menaikkan perasaan benci, loya atau geli terhadap makhluk ciptaan Allah itu. Atau ada satu perasaan yang tidak tertahan-tahan datang membencinya dan tidak ada langsung sekelumit perasaan simpati kasih kepada Babi Jakut~ Sus barbatus. Pandanglah dengan ilmu pengetahuan bukan dengan pandangan sempit mengikut perasaan kerana itu tanda orang kurang ilmu pengetahuannya. 


Perlu diingat bahawa  Babi Jakut~ Sus barbatus adalah setaraf dengan hidupan liar yang lain juga, seperti spesis Harimau, Tapir, Gajah, Panda, Badak, Kucing, Anjing dan haiwan lain. Pandanglah dengan pandangan yang sama sepertimana kita memandang haiwan lain juga. Adalah tidak adil jika berbuat sedemikian, kerana kita secara senyap telah mengamalkan sifat kasta.



Sejak dulu  Kerajaan Malaysia telah mewartakan  Babi Jakut~ Sus barbatus  sebagai hidupan liar yang dilindungi oleh undang-undang. Jadi ia perlu diberikan hak yang sama rata dengan haiwan yang dilindungi .Malah Status senarai merah IUCN dikatogarikan dibawah status " Haiwan yang terdedah dengan ancaman" (Valnurable) tahun 2008. 



Kita perlu pegang pada sifir " Tidak ada benda yang dijadikan oleh Allah di alam ini, akan menjadi  sia-sia kejadiaannya ". Jadi berdasarkan sifir itu Babi Jakut~ Sus barbatus  mempunyai peranannya yang tersendiri tetapi kita tidak bersedia untuk mencari  apakah rahsia dan peranannya terhadap alam semulajadi.



Kita juga tidak bersungguh-sungguh untuk membuat kajian secara lebih mendalam terhadap manfaat spesies Babi Jakut~Sus barbatus kepada kehidupan munusia. Samada manfaat dari sudut ekonomi sains perubatan, sains kesihatan sel-sel benih pembiakkan janin, sains sukan, sains pertahanan alahan sakit dan banyak lagi jika boleh berfikir.



Mungkin hal ini berlaku kerana pihak NGO atau badan sepatutnya tidak memberi didikkan minda yang mencukupi dan berkesan kepada masyarakat. Sepertimana mereka mendidik minda masyarakat tentang pentingnya Harimau, Badak  , Panda dan lain-lain.




Sehingga kini, tidak ada pihak pun dalam Negara kita yang ingin menjadikan  Babi Jakut~ Sus barbatus sebagai Duta, Lambang Ikon kepada pertubuhan persatuan mereka. Mungkin khuatir tidak akan mendapat sambutan, seterusnya akan mendatangkan perasaan benci, kecaman dan khalayak akan menjauhkan diri. 



Apakah disebabkan hanya dengan perkataan Babi , spesies Babi Jakut~Sus barbatus telah ditolak dan dihukum sebagai haiwan dibenci dan patut dipinggirkan. Atau adakah dengan keadaan wajah semulajadi  dan bentuk tubuh badannya  yang dilihat seperti hodoh, busuk dan kotor, maka spesies ini hilang kelayakan untuk disayangi? Walhal ada kalangan manusia secara  sedar, malah berbangga mengamalkan sifat seperti spesies keluarga Babi dalam kehidupan sehariannya. 



Oleh itu untuk melayakkan diri digelar manusia sempurna , kita perlu tahu cara yang bijak bagaimana untuk menyayangi Babi Jakut~Sus barbatus. Kita harus pandai mengurus perasaan sayang dengan cara yang betul.  Sayangnya kita terhadap Babi bukan bermakna kita harus pergi menjalinkan hubungan  sepertimana membelai dan bersentuhan dengan spesies Panda, Kucing atau Anjing. Sayangnya kita hanya sekadar mempunyai perasaan kesayangan dalam hati tanpa perlu bersentuhan atau mempunyai hawa nafsu untuk membelai Babi itu. Kerana kita tahu adab perbuatan tersebut akan membawa kepada kesusahan kepada diri sendiri. 



Selagi menjaga peradaban, dengan tidak menjalinkan hubungan bersentuhan dan membelai Babi , maka ia diperbolehkan.  Saranan dan harapan ini hendaklah berterusan,  sentiasa ada kesayangan kepada Babi Jakut~ Sus barbatus demi kesejahteraan spesies Babi didalam habitat semulajadinya dinegara Malaysia. 




Tetapi Awas, katakan saranan MENYAYANGI BABI KITA ini telah berjaya mendapat tempat dan menyedarkan khalayak yang ramai, maka janganlah sampai ada dikalangan khalayak di Malaysia yang mempunyai kesayangan melampau. Sehingga sanggup menjinak dan memelihara Babi Jakut~Sus barbatus untuk dijadikan haiwan peliharaan pula.   Apabila  Babi Jakut ~ Sus barbatus itu diberi kemanjaan seperti  dimandikan, anggota tubuh badannya disabun dengan syampoo, bulunya dikeringkan, janggutnya disikat, ditocang , dipakaikan baju, dan diberikan makanan yang lebih mahal daripada makanan manusia. 


Maka  perbuatan itu adalah salah kerana telah mengubah tabiat semulajadi Babi Jakut~ Sus barbatus yang asal. Perbuatan seperti itu mengesahkan bahawa  kita telah terjangkit dengan wabak penyakit yang dipanggil T.D.K.M.P.K.S. singkatan kepada TERSESAT DALAM KEUTAMAAN MELETAKKAN PERASAAN KASIH SAYANG. 



Sedangkan semua perbuatan membelai dan memanjakan  spesies Babi Jakut~Sus Barbatus itu, keutamaannya  perlu  dilakukan terhadap manusia yang terdekat. Keutamaan adalah kepada ibubapa, adik beradik, sahabat atau rakan. Perasaan kesayangan istimewa itu wajib jatuh kepada manusia bukan kepada haiwan. Kerana selama ini Penciptanya telah menyediakan kelengkapan serta keupayaan kepada Babi Jakut~Sus Barbatus untuk terus kembang biak didalam habitat semulajadinya. Jadi, sebab itu manusia jangan sesekali berusaha mengubah tabiat semula jadi haiwan tersebut. Janganlah pula untuk memandai-mandai meletakkan martabat haiwan sama dengan martabat manusia.



Setelah gejala wabak penyakit T.D.K.M.P.K.S ini dihidapi, maka fikiran dan pedoman pesakit itu sesekali tidak akan mahu mengaku  bahawa dirinya telah menghidap penyakit  T.D.K.M.P.K.S dalam keadaan dia tidak menyedari. Seolah-olah penyakit itu telah merantai sipesakit itu dengan rantai besi yang teguh. Malah ia sanggup  dibiarkan bersendirian menghidap penyakit itu selagi nyawa dikandung badan. Maka dari saat itu, Pesakit itu akan terus hilang deria perasaan timbang rasa sampai bila-bila dalam perhubungan silaturahim dengan orang terdekat. Dan kadang-kadang kesannya akan menyebabkan jiran-jirannya menderita dalam senyap dan serba salah.Sekian. Wasalam.




Nota Maklumat Tambahan.

Menurut maklumat daripada Wild Pig Specialist Group, jumlah Babi Liar yang ada terdapat di dunia  adalah sebanyak 18 spesies. Spesiesnya itu ialah ;-

1.Giant Forest Hog~Hylochoerus meinertzhageni
2.Warthogs ~ Genus phacochoerus
3.Common Warthogs ~ Phacochoerus africanus
4. Desert Warthogs ~ Phacochoerus aethiopicus
5. Hairy Babirusa~ Babyrousa babyrussa
6.Sulawasi Babirusa~Babyrousa celebensis
7.Togian Babirusa ~Babyrousa togeanensis
8 Sulawasi Warty Pig~Sus celebensis
9.Visayan Warty Pig ~ Sus cebifrons
10.Javan Warty Pig ~ Sus verrucosus
11.Philippine Warty Pig ~ Sus philippensis
12.Wild Boar ~ Sus scrofa
13.Banded Pig ~ Sus scrofa vittatus
14.Bearded Pig ~ Sus barbatus
15.Palawan Bearded Pig ~ Sus ahoenobarbus
16.Oliver's Warty Pig ~ Sus oliveri
17.Bush Pig ~ Potamochoerus larvatus
18.Red River Hog ~ Potamochoerus porcus


Untuk mengenal keluarga Suidae, kita tidak perlu menjadi pakar Taxonomy untuk mengenal keluarga Suidae. Hanya dengan seimbas pandang sahaja kita akan mengenal haiwan ini adalah dari keluarga spesies Babi. Antara 18 spesies babi itu, ada 2 spesies Babi boleh dijumpai di Malaysia, iaitu Babi Hutan Wild Boar ~ Sus scrofa dan Babi Jakut Bearded Pig ~ Sus barbatus.



Sabah dan Sarawak  merupakan kawasan semulajadinya yang asal bagi Babi Jakut Bearded Pig ~ Sus barbatus.  Tetapi di Semenanjung Malaysia , spesies ini dikenali secara Ilmiah Saintifik hanya pada tahun 1922. Melalui Penulisan Kertas Ilmiah bertajuk The Bearded Pig ~ Sus barbatus in The Malay States oleh C. Boden Kloss , pada tahun 1922 dalam Laporan Jurnal Royal Asiatic Society.


Menurut Jurnal Laporan Ilmiah itu, seorang penduduk tempatan yang bernama Towkey Lee Chow yang menetap di Pekan, Pahang telah mula memburu Babi Jakut  ~ Sus barbatus sejak 30 tahun yang dulu. Bukti kenyataan spesies ini disokong pula oleh maklumat lisan berserta spesimen tengkorak kepala Babi Jakut  ~ Sus barbatus. yang diterima C.Boden Kloss daripada seorang lagi penduduk tempatan Encik Lee Yeo Lim. Beliau mengesahkan  juga telah memburu Babi Jakut  ~ Sus barbatus sekian lama, dikawasan Paya Sungai Rompin Johor.


Sayangi  Babi Kita  ! Babi Jakut~Sus barbatus...Wasalam.

Rujukan:~

1.The Bearded Pig ~ Sus barbatus in The Malay States~C.Boden Kloss 1922 Royal Asiatic Society
2.Wild Pigs Specialist Group
3.Mamalia Semenanjung Malaysia~Mohamad Momin Khan
4.The Field Guide To The Mammals Of Borneo~Junaidi Payne, Charles M.Francis & Karen Philipps

1 comment: