Thursday 1 June 2017

Jasanya Kepada Avifauna


Rakyat Tempatan Yang Banyak Berjasa Memberi Pertolongan Kepada Burung Di Malaysia.


Imej Magpie Hijau~Cissa chinensis  dari dekat.

Sempena memperingati sambutan ulang tahun kelahiran  Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud  ke 59 tahun yang jatuh pada 2 Jun 2017 . Adalah tidak keterlaluan untuk saya menghebahkan sumbangan besarnya dalam bidang Avifauna di negara Malaysia khususnya di negeri Selangor. Adalah menjadi tidak bertanggungjawab jikalau segala maklumat sumbangan beliau ini tidak diwar-warkan kepada masyarakat umum.



Magpie Hijau~Cissa chinensis yang terperangkap ini bersedia untuk dilepaskan kembali dihabitat asalnya.

Maklumat bersifat fakta yang disiarkan ini adalah bertujuan untuk memberitahu kepada khalayak bahawasanya di negara Malaysia juga, memiliki seorang pencinta hidupan liar yang telah banyak berjasa kepada hidupan avifauna. Sumbangan dan jasanya itu sama besarnya sepertimana pencinta hidupan liar yang telah berjasa dari negara Eropah dan benua Asia yang lain. 



Bezanya disini, perkara perbuatan baik yang dilakukannya  selama ini tidak dipandang sebagai satu sumbangan besar kepada hidupan avifauna. Atau mungkin sumbangan beliau itu tidak diketahui oleh masyarakat umum. Kerana sumbangan yang  dilakukannya itu tidak dapat dilihat oleh khalayak manusia. Malah hidupan liar avifauna yang telah menerima jasa sumbangan beliau, sangat mustahil  dapat menghebahkan berita itu kepada dunia.



Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud merupakan seorang peneroka  FELDA yang menetap di Felda Tersang, Raub Pahang. Beliau bertugas sebagai Pengawal Keselamatan  di Stesen Radar Ulu Kali Selangor Darul Ehsan, sejak tahun 2006 sehingga sekarang.   Tempat beliau bertugas itu ( Stesen Radar Ulu Kali,Selangor Darul Ehsan  ) merupakan suatu kawasan penting bagi laluan burung-burung hijrah melintasi Semenanjung Malaysia pada setiap tahun. Biodiversiti kawasan tanah tinggi disitu begitu kaya dengan sumber makanan asli, yang menjadi tumpuan kepada burung-burung tempatan, burung Hijrah dan juga hidupan liar yang lain.


Sepanjang 12 tahun bertugas di situ, beliau telah banyak memberi perlindungan dan menyelamatkan nyawa burung-burung hijrah yang jatuh terdampar kepenatan diatas tanah semasa musim penghijrahan burung. Pada setiap tahun ada sahaja burung-burung terjatuh ke tanah dari pelbagai spesies. Tanpa bantuan beliau, burung yang terdampar kepenatan itu akan mati kesejukan atau menjadi mangsa makanan kepada Musang dan Tikus yang banyak disitu. 



Diwaktu larut malam ketika musim hijrah   , beliau sanggup bangun daripada tidurnya setelah terdengar bunyi burung terlanggar dinding cermin. Dengan tanpa pengetahuan dalam bidang sains veterina beliau berusaha memberi bantuan kepada burung yang kepeningan. Berkat usaha bersungguh-sungguh Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud itu banyak nyawa burung hijrah telah dapat diselamatkan dan dilepaskan setelah burung berupaya terbang kembali. Tidak kurang juga, ada burung yang tidak dapat diselamatkan kerana terlalu parah dan mati sertamerta.

Setiap hari disebelah pagi kerap berlaku burung-burung yang terperangkap didalam stor atau bilik pejabat ketika sedang leka mencari makanan disekitar Stesen Radar Ulu Kali. Usaha menyelamatkan burung-burung di sini seperti telah menjadi tugasan hakiki kepada beliau. Beliau secara peribadi melakukannya atas dasar kasih sayangnya kepada hidupan avifauna. Jasanya itu tidak berkehendakkan mendengar ucapan terima kasih atau apa-apa ganjaran. 


Spesimen burung yang diperolehi daripada Saudara Muhammad Muhir Haji Daud juga telah memberi sumbangan kepada ilmu pengetahuan serta maklumat secara tepat dan terperinci. Bukan mudah untuk memperolehi spesimen burung-burung hijrah untuk dibuat kajian. Hasil maklumat kajian spesimen burung yang diperolehi daripada beliau, telah memberi nilai tambah dan maklumat kepada penerbitan Buku Burung-burung di Semenanjung Malaysia. Hakmilik Kita Yang Terlepas Pandang... Jilid 1, 2 dan 3.

Apa yang menarik tentang Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud, ialah beliau memberi pertolongan tanpa mengira dan mengenal akan sesuatu spesies burung itu.  Walaupun  tidak mengetahui akan setiap nama-nama burung yang diselamatkannya itu, namun beliau amat kenal dengan burung tersebut. Keutamaan kepada beliau adalah memberi pertolongan secara bersungguh-sungguh dengan sebaik mungkin.



Dibawah ini adalah maklumat spesies burung-burung yang pernah diselamatkan oleh Saudara  Muhammad Muhir Bin Haji Daud sepanjang 12 tahun berkhidmat sebagai Pengawal Keselamatan di Stesen Radar Ulu Kali, Selangor Darul Ehsan.

1. Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus
2. Khukhu India~Cuculus micropterus
3.Walit Perut-bersisik~Apus pacificus
4. Lelayang berkilat~Collacalia esculenta
5. Sualo Jelapang~ Hirundo rustica
6.Sualo Pacifik~Hirundo tahitica
7.Burung Tukang kelabu ~ Caprimulgus indicus
8.Merbuk Zamrud~Chalcophaps indica
9.Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis
10.Berlau bertudung~Pitta sordid
11.Sambar Tongkeng-kuning~Ficedula zanthopygia
12.Sambar Mugimaki~Ficedula mugimaki
13.Sambar Besar Niltava~Niltava grandis
14.Tarum Kepala-oren~Zoothera citrine
15.Tarum Siberia~Zoothera sibirica
16.Murai Biru-Siberia~Luscinia cyane
17.Merbah Gunung~Hypsipetes mcclellandii
18.Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus
19.Kekicau Wren-corek~Napothera brevicaudata
20.Cincilai Riang Kupiah-badam~Garrulax mitratus
21.Cincilai Riang Melayu~Garrulax peninsulae
22.Minla Ekor-badam~Minla strigula
23.Fulveta Sayap-perang~Alcippe castaneceps
24.Sibia Ekor-panjang~Heterophasia picaoides
25.Mesia Telinga-perak~Leiothrix argentauris
26.Perit Kelabu~Motacilla cinerea
27.Magpie Hijau~Cissa chinensis




Beliau seronok memberi  pertolongan kepada makhluk tuhan yang bersayap untuk terus hidup bebas dan beranak pinak.  Namun begitu akan tiba suatu masa nanti apabila beliau  bersara kelak, maka pada ketika itu pasti burung-burung disitu tidak lagi akan mendapat bantuan sepertimana sekarang. Penggantinya nanti  sudah tentu tidak akan melakukan seperti itu lagi, dan besar  kemungkinan  jika berpeluang orang itu akan menangkap semua burung-burung disitu. Samada atas tujuan ekonomi atau pun untuk dijadikan lauk. Andaikata  perkara itu terjadi maka rugi dan malanglah negara Malaysia dari sudut Avifauna.

Allah akan memperkenankan doa  makhluknya yang teraniaya dengan seberapa segera, dan sudah tentu juga Allah  akan memperkenankan doa makhuknya yang telah terlepas daripada maut  setelah diselamatkan nyawanya. Tidak tahulah apa yang telah didoakan oleh burung  kepada Allah untuk diberikan kepada Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud. ! Wasalam .

No comments:

Post a Comment