Tuesday 6 June 2017

Pemerhatian Burung Bersarang~Perincit Abu~Ortholomus rufecips



Pemerhatian Burung Perincit Abu~Ortholomus rufecips~ Ashy Tailorbird Bersarang




Tatacara Burung Membuat Sarang

Spesies                                                            : Perincit Abu~Ortholomus rufecips~ Ashy Tailorbird
Lokasi Burung Membuat Sarang                    : Didalam rimbunan Buluh,Taman Wetland, Putrajaya.
Tarikh Menjumpai Sarang                              : 10 April 2017.
Status Sarang Ketika dijumpai                       : Telah siap sepenuhnya.
Usia Anak Didalam Sarang Ketika dijumpai : 3 minggu.
Jumlah Anak Didalam Sarang                       : 3 ekor.
Luas Lubang Sarang                                      : Boleh memuatkan 2 ke 3 ekor anak burung.
Ketinggian Sarang pada tanah                       : 7 meter dari lantai tanah.
Jangkamasa Pembinaan Sarang Siap             : Antara 7 hingga 9 hari. 
Bahan binaan sarang                                      :Bahan yang digunakan adalah terdiri daripada  sabut-sabut lidi tumbuhan yang telah kering, sarang Labah-labah, dan sejenis tumbuhan rumput yang mengeluarkan isi seperti kapas dan kekabu.




Sarang burung Perincit Abu~Ortholomus rufecips ~ Ashy Tailorbird dijumpai pada 10 April 2017, 3 hari sebelum anak burung selamat terbang keluar dari sarang mengikut ibubapa mereka.  Sarang dibina didalam rimbunan buluh dan terlekat pada daun bulua pada ketinggian  7 ke 8 meter dari lantai tanah.  Spesies ini mengunakan kaedah jahitan dan anyaman untuk membinaan sarang mereka yang melekat  pada 2 helai daun buluh.



Kaedah Burung Perincit Abu~~Ortholomus rufecips ~ Ashy Tailorbird membina sarang mereka ada sedikit persamaan dengan keluarga spesies burung Cericap ( Prina ) dan Kelicap Madu ( Spiderhunter ). Mereka  menjahit dan melekatkan binaan sarang mereka pada daun tumbuhan.



Burung jantan dan betina bekerja sama mencari bahan binaan dan menjalankan tugasan membina sarang secara bersama. Pasangan ini akan melubangkan helaian daun dengan kuku jari kaki sebelum memasukkan lembaran-lembaran benang sarang labah-labah pada  daun yang telah berlubang dengan paruhnya. Kaedah jahitan ini berupaya mencantumkan 2 helai daun dan melekatkan binaan sarang pada helaian daun buluh tersebut.




Kemudian tumbuhan seperti kekabu dan kapas dimasukkan bersulamkan dengan sabut-sabut lidi tumbuhan kering secara berlapis-lapis membentuk binaan lubang sarang. Ikatan benang dari sarang labah-labah dijahit bersilang-silang mengukuhkan lagi binaan sarang. Perincian pemerhatian pada sarang ini mendapati terdapat 12 lubang simpulan lubang pada helaian daun disebelah kiri dan 15 lubang simpulan benang pada helaian disebelah kanan.



Sarang yang telah siap sempurna berkeadaan seperti sarang yang dibalut oleh helaian daun buluh. Mengikut pada pemandangan mata kasar biasa, amatlah susah untuk melihat bahawa disitu terdapat sebuah sarang burung. Konsep binaan sarang ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dengan mengaburi pemandangan mata pemangsa. Pemilihan bahan-bahan binaan sarang dari jenis seperti kapas dan kekabu memberi keselesaan kepada anak-anaknya menikmati tinggal dalam sarang yang empuk walaupun berhimpit-himpit.



Burung dewasa sedang mengeluarkan najis didalam lubang sarang



Maklumat Perincian Pemerhatian Burung Membesarkan Anak.

Pemerhatian hanya dapat dilakukan pada 10 April 2017 ,3 hari sebelum anak-anak burung terbang keluar dari sarang mengikut ibubapanya. Pemerhatian yang dilakukan hanya pada sebelah pagi antara jam 9 pagi hingga jam 11:30. Pada hari-hari pemerhatian dilakukan, sepanjang tempoh 2 jam burung jantan betina tidak sekali pun membawa makanan dari jenis tumbuhan buah. Burung dewasa silih berganti tanpa henti datang membawa serangga dalam tempoh kurang daripada 3 ke 5 minit. Antara makanan yang dibawa ialah semut, serangga kecil bersayap, lebah, belalang, rama-rama, cengkerik dan ulat daun.



Lokasi pemilihan membuat sarang yang mempunyai sumber makanan yang mudah dan banyak adalah menjadi faktor utama burung dewasa membuat sarang dikawasan ini. Burung dewasa tidak perlu pergi jauh untuk mencari bahan makanan, hanya berlegar berpusing sekitar kawasan sarang sahaja mereka berupaya mendapatkan berbagai jenis makanan dengan cepat dan mudah. Dalam pemilihan jenis makanan, Burung dewasa tidak memberi tumpuan hanya dari  sejenis serangga sahaja yang dibawanya. Tetapi lebih mengutamakan apa sahaja serangga yang boleh ditangkap ketika keluar mencari makanan.



Pembahagian giliran makan kepada 3 ekor anaknya dibuat berdasarkan kepada perilaku anak-anak burung yang  menjulur mendonggakkan kepalanya dengan paruh ternganga-nganga. Kebiasaan burung jantan dan betina bersilih ganti datang membawa makanan. Tetapi ada juga burung betina dan jantan datang kesarang secara serentak.




Purata kepada pembahagian makanan adalah seimbang kepada 3 ekor anak mereka. Walaupun kelihatan ada ketika ada antara anaknya itu dilihat  kerap disuapkan dengan makanan tetapi jenis makanan yang disuapkan itu adalah dari serangga dan ulat yang bersaiz kecil. Mana-mana anak yang kurang menerima makanan akan disuapkan dengan jenis serangga yang bersaiz besar seperti cengkerik dan rama-rama.



Kekerapan 3 anak-anak burung diberi makan maka sudah  burung akan menghadam makanan dan mengelurkan najis. Najis-najis yang banyak didalam lubang sarang jikalau dibiarkan sudah tentu memberi keadaan tidak selesa kepada anak-anak burung yang tinggal secara berhimpit-himpit. Maka burung dewasa dilihat menyelia kebersihan lubang sarang dengan mengeluarkan najis-najis dari dalam lubang sarang. Najis-najis itu diambil keluar daripada sarang dengan menggunakan paruh dan dibuang keluar.





Kekerapan 3 anak-anak burung diberi makan maka sudah  burung akan menghadam makanan dan mengelurkan najis. Najis-najis yang banyak didalam lubang sarang jikalau dibiarkan sudah tentu keadaan tidak selesa kepada anak-anak burung yang tinggal secara berhimpit-himpit. Maka burung dewasa dilihat menyelia kebersihan lubang sarang dengan mengeluarkan najis-najis dari dalam lubang sarang. Najis-najis itu diambil keluar daripada sarang dengan menggunakan paruh dan dibuang keluar.




Rumusan:

1.Musim membiak burung Perincit Abu ~ Ortholomus rufecips di Semenanjung Malaysia ialah antara pada bulan Mac hingga April.

2.Purata telor yang dikeluarkan antara 2 ke 3 biji.

3.Burung jantan dan betina bekerjasama membina sarang.





4.Burung jantan dan betina juga bekerjasama membawa makanan ke sarang untuk membesarkan anak-anaknya.

5.Tempoh anak burung berupaya terbang keluar dari sarang adalah lebih kurang selama 3 minggu.

6.Spesies ini bijak membina sarang pada kedudukan yang selamat, sempurna dan selesa.




7.Jenis makanan burung ini adalah dari jenis ulat dan serangga sahaja.

8.Paruhnya yang panjang dan runcing memberi kelebihan kepada mereka menjahit dan menyimpul benang sarang labah-labah semasa proses membina sarang.

Wasalam.

No comments:

Post a Comment