Tuesday 6 June 2017

Sejarah Pemerhatian Peribadi Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum


Nota Sejarah Pemerhatian Peribadi 
Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum

Status Burung : Burung Tempatan.
Status IUCN   : Hampir Terancam/Near Threatened

Peluang untuk menjumpai Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum akan menjadi tinggi jikalau kita berada dipesekitaran habitat hutan yang  berdekatan dengan kawasan lembab, berlopak, berpaya,  dan anak sungai. Waktu yang sesuai untuk menjumpainya adalah pada awal pagi dan disebelah waktu lewat petang. Ketika itu burung akan keluar mencari makanan dikawasan yang dinyatakan itu.

Nota Pemerhatian Peribadi:-

1. Pertama kali menjumpai spesies burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum ialah pada 9 Jun 2009 di tepi Sungai Relau , Taman Negara Merapoh Pahang. Ia dijumpai pada waktu  antara jam 8:00 pagi, sedang berkicau diatas tunggul kayu lapuk sambil mencari makanan ditebing sungai. Pada ketika itu saya masih tidak dapat membuat pengecaman dilapangan akan spesis burung ini. Jarak burung dengan tempat berdiri lebih kurang 40 meter. Mencuba untuk menghampirinya bagi mendapatkan rakaman imej yang lebih jelas, tetapi burung itu merasa kurang selesa lalu terbang meninggalkan kawasan itu. Ia terbang dan hinggap diatas permukaan batu ditebing sungai pada jarak yang agak jauh.






2. Semasa memburung pada 28 Julai 2010 antara jam 10.00 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Perdik Ulu Langat Selangor, secara tidak sengaja telah bersua dengan burung. Burung itu sedang meniti berjalan diatas akar pokok yang berada ditepi anak sungai menuju kearah rimbunan ranting kayu yang bertimbun disitu. Burung itu masuk kedalam rimbunan ranting kayu seperti mencari sesuatu didalamnya. Tidak lama kemudian kelihatan dari celah-celah ranting kayu diparuhnya sudah mengepit seekor lipas hutan sebelum menelan makanannya itu. Kemudian burung itu berjalan sambil melompat-lompat masuk kedalam reba-reba tumbuhan dan bertenggek berehat didalamnya. Sambil berehat sesekali burung itu menyisir dan membersihkan buluhias. Tidak lama kemudian ia melompat  berjalan meninggalkan kawasan itu, dan menghilangkan diri dalam rimbunan tumbuhan.










3: Pada 3 Aug 2011 antara jam 11:00 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Perdik Ulu Langat Selangor ketika dalam perjalanan pulang keluar daripada kawasan hutan , terpacul burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum ditepi anak sungai. Jarak kedudukan burung  lebih kurang 1 meter daripada tempat saya berdiri. Masa yang diberikan untuk  memerhati dan merakam imejnya adalah lebih kurang 10 saat sahaja. Sejurus itu ia berjalan beredar dari situ memasuki rumpun tumbuhan seterus menghilangkan dirinya.





4: Pada  5 Mei  2012 , antara jam 9:45 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Perdik Ulu Langat Selangor terdengar kicauan burung dari dalam rumpunan tumbuhan ditepi sungai. Dari celah-celah ranting kayu kelihatan burung sedang berkicau bersahut-sahutan seperti mengisyaratkan sesuatu. Sangat lah payah untuk merakam imej burung dalam keadaan cahaya malap, dihalang pula dengan ranting tumbuhan dan burung bergerak-gerak. Apabila cuba mendekatinya demi mendapatkan  rakaman yang lebih baik,   burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum  beredar berjalan menuju masuk kedalam rimbunan tumbuhan yang lebih jauh ke dalam hutan.





5: Pada 28 May 2013 antara jam 4:00 petang bertempat di Tasik Chini, Pahang ketika sedang dalam perjalanan menaiki Bot bermudik perlahan-lahan ke hulu  anak sungai.  Ternampak burung ini sedang  berjalan-jalan dan melompat-lompat disepanjang tebing sungai. Menghadapi kesukaran  untuk merakam imej burung tersebut, kerana bot sentiasa berkolek tanpa henti . Ditambah keadaan cahaya sangat kurang , burung  tidak henti-henti berjalan dalam kawasan rimbunan ranting. Peluang untuk mendapat rakaman yang baik tidak berjaya kerana tumbuhan  menghalang pemandangan tepat kepadanya.




6. Pada  18 April 2014 , antara jam 11:00 pagi bertempat di Hutan Lipur Sungai Chongkak  Ulu Langat Selangor, ketika sedang menunggu kedatangan burung Ciak Serindit Ekor-jarum~ Erylhrura prasina yang sering dilihat dikawasan itu. Secara tiba-tiba burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum terpacul bertenggek diatas ranting sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Kemudian burung itu melompat turun diatas lopak air sambil mencari sesuatu didalam lecak. Sesekali melompat-lompat terbang seperti tidak mahu membasahkan kakinya. Hasrat  menghampiri burung untuk mendapatkan imej yang lebih elok, menyebabkan ia mempercepatkan pergerakan menuju ke dalam rimbunan tumbuhan sehingga tidak kelihatan kelibatnya.




7: Bertempat di kawasan lopak paya di kaki Gunung Senyum, Temerloh Pahang pada jam 4:30 petang bertarikh 11 May 2015, keterdengaran bunyi kicauan  mendayu-dayu dan nyaring dalam not-not yang tidak putus-putus. Suara kicauan itu datang dari arah rimbunan tumbuhan yang agak tebal. Berusaha mengekori suara kicauan itu kalau-kalau  pemilik suara yang berkicau itu menunjukkan dirinya. Kesabaran menunggu membuahkan hasil, apabila burung itu keluar  untuk  menyeberang ke rimbunan yang berhampiran disitu. Pada saat yang sekejap itu, berjaya melihat  kelibatnya ketika ia sedang memasuki kedalam rimbunan yang lain. Suara kicauan Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum  tidak berhenti sepanjang  berada dalam rimbunan. Walaupun jarak kedudukan burung sangat dekat tetapi pemandangan telah terhalang oleh ranting dan akar tumbuhan yang berselirat. Berkat kesabaran  dari celah lubang berjaya juga melihat kelakuan burung itu, dimana dia sedang menyisir dan mengemaskan buluhiasnya. Memandangkan waktu petang cahaya sudah mulai berkurangan , saya meninggalkan sahaja burung itu didalam rimbunan reba.




8: Bertempat  di Taman Negara Bako, Sarawak pada 19 Mac 2017 jam 7:30 pagi ketika melalui lorong denai telah berjumpa dengan burung ini. Ia sedang melintas  dengan berjalan menititi diatas pelantar kayu.  Berjalan  deras menyeberang titi, menuju ke arah kawasan lembab dikawasan tumbuhan palma dan rotan. Disitu ia  berkeliaran mencari makanan untuk satu jangka masa yang agak lama. Kelihatan burung itu menyelak-yelak daun kering dengan paruhnya dengan harapan boleh menjumpai serangga dibawah daun.  Burung ini mempunyai kemahiran mengagak akan sumber makanannya. Dalam waktu yang pantas, ia telah berjaya menangkap serangga seperti lipas dan  cengkerik yang menyorok dibawah helaian daun-daun mati yang banyak berselerak atas tanah. 










Rumusan Peribadi

Sepanjang penemuan burung ini sebanyak 8 kali ,  Burung Kekicau Dada-putih~Trichastoma rostratum sentiasa dilihat berjalan secara bersendirian. Ia tidak menyertai kumpulan burung lain dalam ombak burung, dan tidak juga dijumpai bersama-sama spesiesnya. Selesa berjalan dilantai tanah daripada membuat penerbangan pendek. Kelakuan burung ini lebih kurang sama dengan burung Kekicau Kopiah-hitam~Pellorneum capistratum (Black Cap Babbler) dan Kekicau Rel Malaysia~Eupetes macrocerus (Rail Babbler). Ia hanya akan terbang bilamana ia terkejut atau terancam demi untuk menyelamatkan diri. Ia terbang  tidak tinggi antara 1 kaki dari paras lantai tanah dan hanya membuat penerbangan singkat dan pantas menuju ke dalam rimbunan semak atau reba. Jarang sekali ditemui dikawasan terbuka dan terang. Kebiasaannya memilih berada dikawasan yang lembab, suram dan gelap. Keadaan seperti ini menawarkan cabaran tidak memberi kelebihan kepada jurugambar untuk merakam. Wasalam.

No comments:

Post a Comment