Friday 15 September 2017

Menyaksikan DEEP PURPLE Ian Gillan Di Kuala Lumpur 1982


SEJARAH KONSERT HEAVY ROCK DI MALAYSIA~ Stadium Negara / Stadium Merdeka Kuala Lumpur

Ian Gillan Deep Purple

Uriah Heep


35 tahun dulu pada 2 hb Ogos 1982 Allayarham Ali Bakar bersama Syarikat promoternya Showmaster Malaysia telah berjaya membawa masuk Band Deep Purple ~ Ian Gillan Band ke Malaysia.  Konsert Rock daripada Band Antarabangsa yang terkenal ini adalah yang julung kalinya pernah diadakan di Malaysia. Konsert itu diadakan di Stadium Negara Kuala Lumpur kerana kesesuaian lokasi yang boleh menampung jumlah penonton yang ramai.





Ruang untuk tiket berharga $ 20.00 adalah betul-betul dihadapan stage. Pada ketika itu promoter konsert ada menyediakan kerusi kepada penonton yang hendak duduk dan ruang lapang dihadapan stage untuk yang hendak berdiri. Manakala tiket berharga $ 12.00 pula ditempatkan dibahagian tempat duduk sedia ada dalam Stadium disebelah belakang.




Diruang berdiri telah penuh berasak-asak terjerit terlolong-lolong menunggu persembahan dimulakan. Berhimpit-himpit dalam keadaan cahaya suram. panas dan asap berkepul-kepul yang memenuhi ruang hadapan stage. Peminat lelaki dan wanita dari berbagai latar belakang keturunan hadir seperti bersatu hati  bersuka ria gembira untuk berhibur. 






Sementara menunggukan persembahan dimulakan, peminat dihadapan stage dalam gelap mereka bermaufakat bekerja sama untuk berkhayal. Maufakat dan kerjasama itu datang secara semulajadi antara satu sama lain. Jari jemari mereka cekap dalam mengasingkan biji-biji , meneyeh, mengadun  membalut tembakau, dibakar dan disedut. Asap putih tebal berkepul-kepul naik ke ruang stadium dan bau asapnya menyegat menusuk kelubang hidung.




Kemudian dipelawanya pada orang yang berdekatan dengan mereka jikalau ingin sama menumpang asap. Maka berpusing-pusinglah bahan sedutan tersedut dari satu mulut ke satu mulut sehingga habis. Kepada yang membawa pasangan pula mereka tidak akan membazirkan asap sedutannya itu dilepaskan ke udara kerana itu satu pembaziran asap.  




Tetapi asap yang telah masuk kedalam kerongkongnya itu akan dikeluarkan secara hembusan perlahan-lahan. Seperti mengarahkan asap itu masukan  ke  mulut teman wanitanya yang sudah bersedia untuk menyedut asap itu supaya masuk ke dalam kerongkongnya pula. Selain asap, air juga digunakan sebagai bantuan menambah nikmat ketika berhibur, maka tin-tin air minuman nakal bersepah-sepah dilantai. Gerakan secara beramai-ramai dengan adegan tolak menolak serta terlompat-lompat membuatkan tubuh badan berpeluh-peluh. Ruang panas membuatkan baju dan seluar lencun basah oleh peluh. 




Persembahan pembukaan Konsert dimulakan oleh Band tempatan yang terkenal pada masa itu The Blues Gangs. Persembahan The Blues Gang pada malam itu cukup bertenaga dengan mendendangkan lagu-lagu irama Blues rancak dalam album Inggeris mereka. Persembahan Ito, Julian Mokhtar, Jim, Karim dan Abdul Ghani pada usia  muda mereka memang tidak dinafikan hebat dan bertenaga. 






Saudara Ito  yang menyedut dan menghembus harp Bluesnya dengan mengeluarkan suasana irama Blues aggrasif. Petikan guitar Saudara Julian Mokhtar yang bercincinkan ( Bottleneck Slide ) kaca/besi mengeluarkan bunyi mengetarkan. Saudara Jim pula dengan ledakan guitar bassnya. Saudara Abdul Ghani dengan Piano/Keyboard dan Saudara Karim menghentam drum dan paddlenya dengan cukup cergas dan aggrasif. Apatah lagi persembahan mereka itu disaksikan juga oleh crew dan band Ian Gillan Deep Purple. Sepanjang persembahan The Blues Gang peminat yang berada dihadapan stage bersorak-sorak sambil terlompat-lompat dan menari mengikut rentak lagu.





Sebenarnya Band yang datang mengadakan konsert pada ketika itu ialah bekas vocalist utama band Deep Purple , iaitu Ian Gillan. Sejak 1973 lagi Ian Gillan telah menarik diri dalam band Deep Purple , atas sebab-sebab mereka sahaja yang tahu. Walau bagaimana pun, Ian Gillan masih menggunakan nama Deep Purple dibelakang namanya. Pada fikiran saya,beliau memang layak berbuat begitu kerana suara  Ian Gillan memang sudah sinonim dengan band Deep Purple .







Sejurus Blues Gangs selesai menghiburkan dengan lagu terakhir mereka, maka naik Ian Gillan  bersama-sama ahli kugirannya. Memang tidak dinafikan bahawa mereka ini merupakan ahli muzik proffesional yang cukup mahir bermain alat muzik. Cukup berpengalaman serta mengetahui kehendak dan citarasa peminatnya. Persembahan Konsert berlangsung lebih kurang 2 jam yang cukup bertenaga dan menghiburkan. 




Sebagai ahli muzik professional Ian Gillan bijak mengambil hati peminat tempatan. Beliau mencari masa untuk mempelajari sepatah dua perkataan Bahasa Malaysia. Sebagai ucapan pertama dan pembuka kata konsert kepada peminatnya ialah Selamat Malam Kuala Lumpur dan Apa Khabar Kuala Lumpur.  Ucapan itu disambut meriah oleh peminat-peminat dengan jerit pekik dan bertepuk tangan.





Pada masa itu ketika mendengar riff dan rentak muzik agrasiff peminat-peminat Heavy Rock hanya mengangguk-anggukkan kepala, mendetap-detapkan tapak kaki mengikut irama muzik sambil tangan menumbuk-numbuk angin ke atas. Mana-mana peminat yang terlebih seronok mereka akan melonjak-lonjak menari sambil mengikut menyanyi. Belum ada pergerakan Head Banging secara serentak dan belum ada peminat memanjat stage dan membuat Terjunan dari Pentas Stage Dive.




Sementara Ian Gillan mengambil angin berehat dibelakang pentas, seorang demi seorang ahli kumpulan pemuzik menunjukkan skil dan kemahiran bermain alat-alat muzik . Persembahan yang mengiburkan hati dan melekakan. Apa yang masih diingati ialah pemain drum menunjukkan skil pukulan  snare drum, cymbal, toms-toms dan bass drum. Setiap kali terhenti pukukan drum peminat akan bersorak dan terjerit-jerit terhibur.    



Ian Gillan berupaya memeriahkan suasana konsertnya dengan mengawal ribuan peminatnya supaya menurut kehendaknya untuk menyanyi bersama-sama secara serentak.  Hampir 70 peratus lagu dari album Deep Purple dimainkan oleh Ian Gillan. Kemas dengan kemas, padu dan bertenaga. Mutu dan gaya persembahan mereka lebih kurang sama dengan persembahan Deep Purple  yang asal.                ( Perbandingan Rujukan You Tube ) Perbezaan cuma dapat didengari daripada bunyi solo guitar utamanya sahaja. Perbezaan solo daripada petikan bunyi guitar  jenama Ricken Backer oleh Ritche Blackmoore.




Setiap kali lagu-lagu Deep Purple seperti Highway Star, Space Truckin, Women From Tokyo,  Black Night dimainkan , peminat dibawah stage terjerit-jerit bersorak keseronokan. Melompat-lompat tidak tentu arah sambil  menyanyi mengikut lirik lagu. Beberapa buah Specker yang diletakkan dihadapan stage cukup membuatkan gegendang telinga berdesing selama 1 minggu. Tidak tahu berapa besar jumlah watts specker yang mereka sediakan diatas pentas sehingga membuat dada bergegar.  





Setelah tamat konsert , Ian Gillan Deep Purple telah menghadiahkan sebuah lagu lagi setelah peminat mendesak-desak dengan sahutan padu beramai-ramai Deep Purple.. Deep Purple..sehingga ahli pemain muzik keluar kembali dari belakang pentas dan memainkan sebuah lagu lagi.






Dalam tempoh seminggu saya tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang diajarkan oleh guru disekolah walaupun duduk berhampiran dengan guru. Dimana setiap bunyi yang didengari akan berserta dengan suara dan bunyi desingan.  Peristiwa  35 tahun yang lampau ketika  dialam persekolahan  di Tingkat 4 di Sekolah Menengah Lelaki Jalan Temerloh, Kuala Lumpur  itu menjadi sejarah dan kenangan peribadi saya sehingga kehari ini. Menyaksikan Konsert Heavy Rock pertama di Malaysia.




Walaupun pada masa itu tidak dapat melihat persembahan daripada ahli kumpulan yang asal, namun pada 1 May 1999 di Stadium Shah Alam Selangor , saya berpeluang juga melihat Kumpulan Deep Purple yang asal membuat persembahan mereka. Cuma Ritche Blackmoore sahaja yang tidak bersama Deep Purple didalam konsert tersebut.




Saya tidak pasti kenapa pengajur Konsert tanahair tidak berupaya membawa masuk kumpulan Black Sabbath atau pun Led Zepplien ke Kuala Lumpur setelah kejayaan konsert Ian Gillan Deep Purple. Apakah pihak pengurusan band tersebut mengenakan yuran persembahan yang terlalu mahal atau pun pihak Kementerian Penerangan tidak membenarkan mereka dibawa masuk membuat persembahan disini. Persoalan ini menjadi soalan yang tidak terjawab sehingga sekarang.




Dengan kejayaan membawa masuk Kumpulan Ian Gillan Deep Purple, Showmaster Malaysia telah membawa masuk kumpulan Rock terkenal daripada United Kingdom iaitu Uriah Heep pada tahun berikutnya iaitu pada 19 Okt 1983. Kali ini Konsert Uriah Heep diadakan di Stadium Merdeka pula. Kumpulan Uriah Heep merupakan band yang berlainan irama Rocknya  daripada Deep Purple, Black Sabbath, Slade atau Led Zeppelin.









Pada saya Uriah Heep mempunyai idintitiy muzik Rocknya yang tersendiri. Muzik mereka cenderung kepada irama  Rock Berat yang beridintiti  tersendiri. Muzik-muzik ciptaan ahli kumpulan Uriah Heep menjadi rangka  muzik Rock/Heavy Metal yang dibawa oleh kumpulan Rock yang terkemudian. Oleh kerana pada masa itu tidak banyak kumpulan muzik berirama rancak dan agrasif maka The Blues Gangs sekali lagi diberi kepercayaan dan penghormatan untuk membuka persembahan pada malam konsert Uriah Heep. 





Sebelum ini lagu-lagu Uriah Heep hanya didengari melalui rekod-rekodnya sahaja, tetapi pada malam tersebut  lagu-lagu seperti Julai Morning, Gypsy, Sunrise, Easy Living, Wizard, Lady in Black, Sympathy, Lucy Blues dan beberapa buah lagu mereka telah dapat dinikmati secara langsung. Kumpulan Uriah Heep dalam rangka jelajah memperkenalkan album baharu mereka berjudul Abominog yang dikeluarkan pada tahun 1982. 



Pada malam itu mereka  memainkan beberapa buah lagu dalam album baru mereka Abominog selain lagu-lagu hit mereka. Untuk konsert kali ini saya sekadar membeli tiket berharga RM 10.00 sahaja, dimana tempat duduk jauh daripada stage. Persembahan disaksikan dari jauh sahaja dan  pengalaman telinga berdesing sudah tidak berlaku lagi.
























Saya pasti diawal tahun 80an ada ramai peminat Rock tempatan pada masa itu telah merebut peluang menyaksikan konsert-konsert kumpulan Rock terkenal semasa menuntut di Universiti Luar negara. Mungkin Black Sabbath, Led Zeppelin, Jethro Tull, Slade, Jimi Hendrix, Rainbow, Motorhead, Saxon dan lain-lain, tetapi tidak berkesempatan untuk berkongsi cerita dan pengalaman.Wasalam.

3 comments:

  1. Salam bro. Saya adalah salah seorang penonton konsert Gillan tu. Band pembukaan adalah Headwind dan bukan Blues Gang. Blues Gang opening untuk Konsert Uriah Heep. Mgkin sdr telah sedikit tersilap dlm pelaporan ini. Apa2 pun terima kasih atas memgembalikan nostalgia konsert ini!

    ReplyDelete
  2. Saudara AL-K , kita sama-sama telah berusia, daya ingatan masing-masing pun tidak cekap beroperasi. Folder ingatan masing-masing mungkin bercelaru. Seingat saya kisah 40 tahun dulu band pembukaan Gillan ialah Blues Gang yang pada ketika itu sudah ada album inggeris. Kenyataan pengesahan band yang menjadi pembuka konsert hanya dapat di putuskan oleh Dato Ito dan rakan-rakan. Jom Mari kita enjoy-enjoy minum.....

    ReplyDelete
  3. Mungkin juga folder ingatan sy yg dah bercelaru. Headwind mgkin opening masa konsert BOTB1 dulu. Baiklah, sy percaya dgn ingatan sdr yg lebih kuat. Maaf kerana tersilap.

    ReplyDelete