Wednesday 10 January 2018

Pertarungan Ikan Tembakul/ Ikan Belacak~Periophthalmus gracilis~Mudskipper



Pertarungan Ikan Tembakul/ Ikan Belacak~Periophthalmus gracilis~Mudskipper
Lokasi: Pantai Bagan Pasir, Tanjung Karang Selangor.



Walaupun dia dikenali sebagai Ikan tetapi ia mempunyai kelebihan yang tidak ada pada sifat ikan yang lain.  Ikan Tembakul / Ikan Belacak~Periophthalmus gracilis  berupaya hidup diluar sempadan air iaitu dikawasan selut dan pasir pantai. Selain ia boleh berenang seperti ikan ia juga berkebolehan melompat-lompat, dan memanjat akar kayu bakau. Bentuk tubuh dan sifatnya, seolah-olah gabungan dari spesies katak dan spesies ikan.





Permerhatian saya mendapati, Ikan Tembakul~Periophthalmus gracilis ini bertarung disebabkan lopak kesan tapak kaki orang mencari mentarang.  Lopak kecil bersaiz tapak kaki manusia dewasa itu dijadikan sebab kedua-dua ekor ini berkelahi dengan sengit. Masing-masing berdegil untuk tidak berundur dan beredar dari kawasan lopak tersebut. 



Adegan serang menyerang antara kedua-dua haiwan ini dilakukan dengan niat memberi cedera, supaya kesakitan yang dialami oleh pihak lawan akan menyebabkan salah satunya beredar. Namun begitu kedua-duanya berdegil dan tidak mahu mengalah, walaupun pertarungan telah berlangsung hampir 3 minit.




Jikalau kambing, lembu atau rusa bertarung menggunakan kekuatan  hantukan tanduk tengkorak kepala, tetapi Ikan Tembakul bertarung dengan menghantukkan rahang bibir mulut antara satu dengan yang lain. Dirahang mulut Ikan Tembakul mempunyai 2 taring yang tersusun bersama-sama dengan gigi halus yang bakal memberi kecederaan dan kesakitan. 



Kekuatan tenaga lentikkan pada bahagian badan sambil dibantuan dengan 2 sirip dihadapan membolehkan mereka melonjak menerpa untuk bertembung mengenai pada rahang mulut masing-masing. Andaikata rahang bahagian atas bertaring itu tepat kena pada bibir bahagian sebelah atas pihak lawan, maka ketajaman taring akan mencucuk bibir pihak lawannya itu. 




Silih bergantilah kedua mereka itu untuk sakit menyakiti antara mereka sehingga salah satunya merasa penat. Berehat mendapat nafas sambil mulut ternganga luas sampai terlihat ingsang dan anak tekak. Mata seperti mata katak buntang terbeliak merenung lawannya. Kedua bahagian Sirip dorsalnya mengembang dan menegak menanti serangan dan bersedia untuk menyerang. 




Kadang-kadang bergumpal ketika mulut mereka terlekat antara satu sama lain. Perkelahian itu diperhatikan sahaja oleh anak-anak mereka yang berada hampir dengan mereka. Kelihatan sesekali anak-anaknya melompat naik diatas belakang badan seolah-olah memberi sokongan dan semangat untuk mencapai kemenangan.




Hikmah pada bukti pemerhatian ini telah memberi saya satu pendapat yang menyatakan Allah juga menyediakan haiwan dengan naluri & perasaan sama seperti manusia. Ikan Tembakul/ Ikan Belacak~Periophthalmus gracilis telah diberi  naluri merasa marah  dan berani sehingga mereka tidak puas hati lalu bergaduh. 



Tentu ada sebab yang membuatkan haiwan ini merasa marah sehingga membawa kepada adegan serang menyerang antara mereka. Pergaduhan tidak akan berlaku jika tidak ada naluri berani dan marah. Mungkin beza antara perasaan manusia dan haiwan adalah dari sudut kadar kehalusan merasainya dan daya mengingat kembali apa yang dirasai.



Tidak pula kedengaran suara amaran kemarahan Ikan Tembakul  sebelum perkelahian itu berlaku, sepertimana kucing bergaduh. Mungkin antara mereka telah memberi isyarat sebelum perkelahian itu berlaku. Naluri marah tidak boleh wujud secara tunggal sahaja. Sudah tentunya ada pasangan kepada naluri marah iaitu naluri kasih sayang. Sepertimana ditunjukkan ketika bersama anak-anaknya didalam suasana yang lain. Perasaan berani, takut, sedih, sakit, gembira, berkehendak kepada sesuatu, aman dan sebagainya sememangnya wujud dalam diri haiwan juga.




Melalui bukti dan pendapat saya ini, maka terpulanglah kepada manusia itu untuk berfikir sendiri dan berniat dalam melaksanakan segala macam tindak tanduk baik dan buruk dalam hal ehwal duniawi bersabitan dengan sekelian haiwan dihabitatnya. Allah telah menganugerahkan hati dan akal yang menjadi tempat segala macam perasaan  dapat dirasai,  janganlah  disia-siakan atau disalah gunakan berbanding haiwan. 



Tadbir uruslah perasaan itu  mengikut piagam sifir keutamaan dan kepentingan . Atau tidak payah langsung seperti haiwan pun, tidak mengapa. Kerana itu adalah hak kebebasan setiap makhluk  bernyawa yang diberi peluang  hidup didunia, cuma sekali sahaja. Wasalam. 

No comments:

Post a Comment