Friday 18 May 2018

Maklumat Tepat Tetapi Tidak Begitu Penting...



Pekaka Perang~Halcyon coromanda~Ruddy Kingfisher


Di Semenanjung Malaysia spesies Pekaka Perang~Halcyon coromanda telah dikatogerikan sebagai Burung Tempatan dan Burung Hijrah.  Dari maklumat yang diketahui , burung ini boleh dilihat sepanjang tahun di Air Hitam Dalam Education Forest di Pulau Pinang. Tetapi tidak di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun ia dikatogerikan sebagai burung tempatan, namun begitu sehingga ke hari ini saya masih belum bernasib baik menjumpainya samada di negeri Selangor atau Kuala Lumpur. Mungkin spesies burung ini mempunyai sifat pandai menyembunyikan dirinya sehingga orang ramai tidak berupaya melihatnya. Rekod lama yang dicatat didalam buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells ada menyatakan  sekor burung juvana Pekaka Perang~Halcyon coromanda  telah ditangkap dan digelangkan kakinya di kawasan hutan bakau di Selangor diluar musim hijrah. Ada juga maklumat penemuan burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda di sekitar kawasan kampus Universiti Malaya Hutan Simpan Hulu Gombak, semasa musim hijrah. 





Saya fikir  burung tempatan Pekaka Perang~Halcyon coromanda ini sudah pupus di negeri Selangor. Oleh yang demikian kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh lagi menjumpai burung tempatan itu di sini. (Negeri Selangor) . Semua itu adalah maklumat yang dipetik daripada buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells. Maklumat didalam buku itu telah lama dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Ianya telah menjadi maklumat sejarah kepada kehadiran Pekaka Perang~Halcyon coromanda spesies tempatan di Selangor.






Pada 13 April 2018 antara jam 10:40  malam sekor burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda secara tidak sengaja telah melanggar tingkap kaca cermin di bangunan pejabat di Ulu Kali, Selangor. Pelanggaran telah mengakibatkan burung hijrah yang malang itu terhumban lebih kurang 1 meter daripada dinding kaca itu. Kesan pelanggaran itu disedari oleh pegawai bertugas Saudara Mohammad Muhir Bin Haji Daud setelah beliau mendengar bunyi dentuman dari dalam biliknya. Sejurus daripada itu beliau telah membuat pemeriksaan dan mendapati sekor burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda telah tergelempang diatas lantai. Percubaan memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut juga tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Berdasarkan hentakan dikepala dengan bunyi dentuman  yang agak kuat, mangsa telah mati sertamerta.






Pada hari yang sama juga, saya telah menjumpai sepasang spesies burung Berlau Bertudung~Pitta sordid  yang telah mati tergelempang diatas permukaan jalan berdekatan dengan Genting Highland Pagoda. Kemalangan seperti ini sering berlaku disekitar sini tidak kira samada dimusim penghijahan burung atau pun diluar musim hijrah. Mengikut simpanan data peribadi kawasan Ulu Kali Selangor dan Genting Highland Pahang adalah merupakan laluan penerbangan utama burung semasa musim hijrah. 







Pada waktu siang burung-burung pemangsa( Raptor) akan melintas diruang angkasa Ulu Kali & Genting Highland. Manakala pada waktu malam burung-burung dari jenis bukan Raptor pula akan melakukan penerbangan penghijrahan. Mereka menjadikan cahaya terang lampu lempah "spot light " yang dipasang pada bangunan-bangunan dikawasan sini sebagai tuju hala arah pedoman penerbangan mereka. Setiap malam kawasan pergunungan diselaputi oleh kabus tebal bersama tiupan angin kencang.Kemalangan dipercayai disebabkan burung telah tersalah conggak dalam menentukan antara dinding bangunan warna putih yang diselaputi oleh kabus tebal pada waktu malam. 





Beberapa bukti kejadian kemalangan lepas adalah seperti berikut :-

Bangunan Pencawang Telekom

1.Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus

Bangunan Radar Ulu Kali

1.Khukhu India ~Cuculus micropterus
2.Berlau Sayap-biru ~Pitta moluccensis
3.Berlau Bertudung~Pitta sordid
4.Sambar Tongkeng-kuning~ Ficedula zanthopygia
5.Sambar Belakang-hijau~ Ficedula elisae
6.Sambar Mugimaki ~ Ficedula mugimaki
7.Tarum Kepala-Oren~Zoothera citrine
8.Tarum Siberia ~Zoothera sibirica
9.Murai Biru-Siberia~Luscinia cyane 

Beberapa spesies burung yang tidak dikenali oleh sipemberi maklumat yang diterima daripada pekerja buruh pembinaan bangunan sedang pembinaan.




Kemalangan yang menimpa burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda  di Ulu Kali ini secara tidak langsung telah mencatit satu rekod penemuan baharu kepada spesies ini. Rekod ketinggian pada penemuan burung yang dicatitkan dalam buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells ialah pada ketinggian 460 meter.





Manakala didalam buku The Field Guide Birds of South East Asia~ Craig Robson menyatakan burung ini boleh dijumpai dikawasan hutan berhampiran sungai pada ketinggian  900 meter. Maka penemuan burung  Pekaka Perang~Halcyon coromanda  di Stesen Radar Ulu Kali pada ketinggian 1,774 meter merupakan satu maklumat rekod baharu kepadanya. Memang diketahui umum pada musim penghijrahan burung , spesies burung tanah rendah berupaya terbang ke kawasan tanah tinggi. Tetapi bukan pada ketinggian 1,774 meter seperti di Stesen Radar Ulu Kali Selangor. Keadaan seperti ini sangat jarang kita ketemui.  






Pada hemat saya banyak ilmu yang boleh dicongkil untuk memperkayakan ilmu dalam bidang ini. Walaupun hasil penemuan itu buat masa kini , dilihat tidaklah begitu penting. Tetapi maklumat hasil penemuan seperti ini adalah tepat dan mutlak.  Sebagai contoh dari sudut pembelajaran , kematian seperti ini harus dimanafaatkan sepenuhnya oleh para pengkaji dan pelajar universiti dalam bidang Ornitology/Zoology . Selain mereka mengetahui perincian ciri-ciri luaran burung secara lebih dekat , penemuan seperti ini berupaya mengetahui banyak maklumat tentang burung itu. Mungkin dari pelbagai jenis diet permakanan , morfologi dan anatomi spesies burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda. 









Memandangkan saya bukannya mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi , hanya berbekal dengan rasa minat dan sifat ingin tahu maka kajian secara ala kadar telah dilakukan. Sebenarnya semua maklumat terhadap spesies ini telah dilakukan oleh pakar dan ianya telah dicatit sepertimana yang ada didalam buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells. Maka tidak banyak maklumat yang boleh saya kongsikan, cuma maklumat yang tidak penting seperti burung ini mempunyai sepasang sayap yang terdiri daripada 23 bilah pelepah sayap di sebelah kanan dan  23 bilah pelepah sayap kiri. Daripada 23 pelapah itu 11 bilah adalah dari jenis sayap primer dan 12 bilah sayap sekunder. Bermakna burung ini berupaya terbang dengan bantuan daripada  46 bilah pelepah sayap. Manakala bahagian ekor pula, terdiri daripada  12 bilah pelepah ekor.





Dari sudut warna buluhias burung matang, 70% warna buluhias adalah dari warna perang. Calitan kecil secara bertompok bewarna biji kundang cair dibahagian belakang badan serta sayap. Warna putih dan sedikit warna biru cair dibahagian buluhias tongkeng. Dan warna hitam tersembunyi dibawah warna perang pada buluhias dibahagian dada dan perut burung.




Keseluruhan paruh atas dan paruh bawah berwarna oren terang menyamai warna kakinya. Memiliki sepasang keting kaki dengan 4 jari berserta kuku tajam bercangkuk seperti kerambit. Permukaan tapak jari kakinya sama seperti permukaan sesunggut tentacles  sotong. Membantu dirinya bertenggek teguh pada berbagai jenis permukaan ranting walaupun dalam keadaan basah. 
































Maklumat dan imej burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda yang dikongsi ini dilakukan atas dasar seronok sendiri, suka-suka dan kurang nilai ilmiah. Walaupun terdapat sedikit maklumat baharu yang dinyatakan tentang burung itu tepat. Tetapi ia tidak begitu penting kepada peminat dan pengemar burung, kerana sebagai besar maklumat telah pun dicatit didalam buku besar tulisan David Wells, Allen J & Craig Robson. Ia sekadar sebagai ulangan dari buku-buku mereka sahaja.




Walaupun begitu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saudara Mohammad Muhir Bin Haji Daud dan Saudara Pak Long. Mereka  tidak jemu-jemu memberi sumbangan maklumat terhadap kehadiran burung-burung hijrah. Samada  burung-burung yang mendapat kemalangan atau pun tentang kehadiran burung baharu  di sekitar Ulu Kali Selangor.  Wasalam.

3 comments:

  1. Kesian to see this happening.

    ReplyDelete
  2. Saya baru jumpa anak burung ni yg masih belajar terbang.. adakah burung ni dilindungi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saudara Apai, saya tidak menyatakan Saudara silap id spesis burung yang dijumpai itu. Dan saya juga tidak ada maklumat, dimana anak burung itu dijumpai. Andaikata dijumpai di Semenanjung, besar kemungkinan ia bukan dari spesis burung Pekaka yang dibincangkan. Ia spesis Pekaka yang lain, boleh jadi Burung Pekaka tempatan. Pekaka yang diceritakan ini adalah Burung Pekaka yang berhijrah di Semenanjung. Burung Hijrah tidak bertelor atau membiak ketika sedang berhijrah. Hampir semua burung di lindungi dalam Malaysia.

      Delete