Friday 1 June 2018

Keseronokan ... Menyelamatkan Satu Nyawa.



Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle




Mengikut rekod kejadian kemalangan jalanraya yang melibatkan spesies Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle dalam simpanan saya , cuma sekor sahaja. Kejadian itu direkodkan telah berlaku di jalanraya Bukit Tinggi ke Bentong (Pahang) pada tahun 2014.  Berbanding kekerapan kemalangan kepada spesis Kura-kura atau pun hidupan-hidupan liar yang lain. Ini menunjukan spesies Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle tersangat jarang untuk ia keluar dari kawasan hidupan semulajadinya tanpa sebab. Dari perangkaan itu membuktikan bahawa, untuk kita menjumpai Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle menjadi mangsa kemalangan adalah sangat jarang belaku. Inikan pula boleh dapat menjumpainya  hidup didepan mata. 






Pada 27 hb May 2018 antara jam 2:30 petang, ketika melalui sebatang jalanraya di Jalan Kolam Air Klang Gate Selangor, saya telah menjumpai sekor Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle betina sedang berjalan melintas jalan. Memandangkan keadaan warna dan anggota badannya sama warnanya dengan  permukaan jalanraya. Maka saya menjangkakan keselamatannya bakal terancam jika dibiarkan sahaja dia disitu. Ia terdedah kepada bahaya  menjadi mangsa dilanggar lari oleh kenderaan yang melalui disitu pada bila-bila masa nanti. Dengan segera  saya mengalihkan tumpuan dan menghalang ia meneruskan niat untuk melintas jalan. Menghadang perjalanan dan mengalih laluan supaya menghala kearah ketepi jalan demi keselamatannya.







Kesan dari itu , ia terpaksa menurut sahaja kehendak saya dengan menukar laluan, lalu ia pergi ke sebatang parit yang berada ditepi jalan. Memandangkan parit disitu terlalu sempit dan cetek untuk ia hidup mencari makanan. Maka membuat keputusan  membawanya ke sebatang sungai berhampiran untuk dibebaskan disana. Semasa proses menyelamat saya berpeluang membuat pemerhatian dari dekat akan bentuk anggota tubuh badan, dan serta serba sedikit kelakuan tingkah lakunya. Peluang keemasan seperti ini tidak berlaku hari-hari. Oleh yang demikian  seberapa banyak maklumat tentang Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle telah dicatit sebagai pelajaran ilmu pengetahuan kepada saya.




Dipercayai Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle tersesat ini datang dari anak sungai dikawasan air terjun berhampiran. Tidak pasti apa tujuannya berada diatas permukaan jalanraya. Samada untuk beralih tempat, melarikan diri daripada haiwan pemangsa atau di dalam anak sungai sudah kekurangan sumber makanan.

Bentuk susuk anggota badannya adalah sama seperti spesies Penyu, Kura-kura, Baning dan Tuntung tetapi terdapat kelainan yang cukup jelas diantara mereka. Gambaran yang mudah diperjelaskan kepada Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle ialah seperti seekor Kura-kura yang telah dibalut seluruh anggota tubuh badan dengan daging kulit tebal yang lembut.



Mempunyai cengkerang kulit lembut yang lembab, melekat diatas belakang badan dalam bentuk 4 segi bujur pipih, yang tidak berbucu tajam. Jenis dari kulit cengkerang berongga lembut yang boleh dilentur turun naik atau digerakkan ke kiri dan ke kanan. Terdapat dua bahagian rongga utama iaitu dihadapan dan dibelakang. Bahagian kiri-kanan hadapan terdapat 8 ruas  manakala bahagian belakangnya terdapat duri-duri yang tumpul seperti duri buah Durian Belanda~Annona muricata. Cengkerang berduri dibahagian belakang boleh di lentur turun dan naik, berfungsi sebagai kemudi semasa Lelabi mengubah arah ketika ia berenang.





Kulit tebal lembut berkedut-kedut pada bahagian anggota muka, leher, kaki serta sisi badan berwarna kelabu gelap pekat seperti warna sekor Belangkas~Limulidae. Manakala pada bahagian bawah perut kulitnya kelihatan lembut  berwarna putih sama seperti bahagian perut Ikan Patin~Pangasianodon hypophthalmus atau pun Ikan Baung~Mystus.





Mempunyai batang leher  sepanjang sejengkal yang boleh dijulur keluar dan masuk apabila ada keperluan. Ketika berada di atas darat sangat jarang ia menjulurkan keseluruhan batang tengkuk lehernya yang panjang itu, mungkin memerlukan tenaga. Pada kebiasaannya leher akan menjulur keluar  ketika berada didalam air  ketika bergerak berenang untuk mencari makanan. Ia berupaya menoleh ke kiri kanan, atas atau pun bawah, malah berupaya menoleh memandang dibahagian belakang.




Kekuatan otot yang ada pada batang leher yang panjangnya itu, berupaya membantu  membetulkan dirinya   pada kedudukan terlentang terbalik ke empat-empat kakinya tegak keatas kepada yang asal.  Keupayaan untuk menalangkupkan kembali kepada kedudukan asal badannya  dapat dilakukan untuk tempoh yang begitu singkat. 




Perbandingan  pada perbezaan ciri-ciri khas  diantara Lelabi dengan Penyu, Tuntung, Kura-kura,  dan Baning adalah  pada bentuk hidung serompong kapal dan bentuk kakinya .  Di bahagian mukanya dengan jelas kelihatan terjulur muncung hidung yang panjang seperti  Ikan Tilan~Mastacembelus erythrotaenia sp. atau seperti hidung Tapir~Acrocodia indica. Selain daripada itu spesies Lelabi  hanya dapat ditemui hidup didalam kawasan air sungai tawar , tasik dan kolam sahaja.



Memiliki sepasang kaki pada bahagian hadapan dan sepasang dibahagian belakang. Kaki-kaki tersebut mempunyai 5 jari  bersama kuku tajam. Diantara celah ke lima lima sisi  jarinya itu terdapat pula selaput kulit sama seperti yang ada pada jari kaki Itik dan Angsa sebagai kulit pendayung membantu ia berenang." Selain membantu ia berjalan seperti gaya merangkak diatas permukaan tanah, berenang dan mengorek tanah. Kaki-kakinya itu berupaya memanjat halangan yang rendah.





Kaedah ia menyelamatkan diri daripada haiwan pemangsa atau musuh adalah dengan cara mengorek tanah pasir dan menimbuskan dirinya sehingga hilang dari pandangan. Ia berupaya menimbuskan seluruh anggota badannya dalam tempoh yang sangat singkat pada kedalaman tanah pasir lebih kurang 2 ke 3 inci.




Sepanjang tempoh membuat pemerhatian saya tidak dengar pun akan suara Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle. Apakah ia tidak mengeluarkan suara, sama seperti ikan. Kalau begitu timbul tanda tanya bagaimanakah ia berhubung diantara sesama mereka. Lebih-lebih lagi ketika mencari pasangan untuk membiak ketika tiba musim mengawan. Apakah mereka memang hidup secara berpasangan sepanjang hayat atau mereka akan mencari pasangannya apabila musim mengawan tiba.






Penemuan secara tidak sengaja ini sedikit sebanyak telah menambah ilmu pengetahuan kepada saya tentang spesies ini. Saya sedar masih  banyak maklumat yang belum diketahui tentang kehidupan  Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle  untuk dipelajari dan dikaji. 

Memandangkan kesukaran  menjumpai spesies ini, diharap masyarakat dari kalangan para Nelayan Air Tawar dan Pemancing disaran hendaklah lebih bertimbang rasa terhadap spesies ini. Andaikata  Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle ini  tersangkut pada jaring atau ia termakan mata kail berumpan. Tumpahkah lah rasa simpati dan kasihan kepadanya. Berusaha bebaskan lah ia kembali kepada kehidupan semulajadi mereka. Wasalam.


No comments:

Post a Comment