Friday 17 July 2020

Menyaksikan Konsert METALLICA Secara Percuma & Selesa


Merakam & Menyaksikan Konsert METALLICA Secara Percuma & Selesa Di Kuala Lumpur.



Mukadimah 

Saya tidak tahu dan juga tidak pasti, apakah ada satu genre jurufoto yang mempunyai keseronokan merakam persembahan konsert tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada pihak penganjur. Maknanya kumpulan ini akan mencuba dengan segala akal yang ada, untuk menyeludup masuk peralatan kamera mereka melepasi sekatan pengawal keselamatan. Kemudian mereka membuat rakaman konsert atas dasar enjoy , hobi dan kepuasan semata-mata. Hasil rakaman itu bukanlah untuk dijual tetapi hanya untuk  suka-suka. Bukan juga untuk bersaing atau membanding-bandingkan dengan hasil rakaman jurufoto rasmi, yang telah mendapat kebenaran merakam. Kerana  jurufoto rasmi  mendapat kelebihan dan kebebasan merakam tanpa halangan, mereka dengan bebas bergerak mencari sudut yang terbaik di depan pentas semasa konsert sedang berjalan.




Mungkin juga pihak pengajur sengaja tidak mahu menzahirkan peraturan yang jelas tertulis pada tiket pertunjukan. Boleh jadi  atas dasar setia kawan, mereka malas hendak bertegang urat, atau mungkin penganjur menghendaki semua penonton berfikir sendiri supaya menghormati akan peraturan dan menganggap semua penonton mempunyai etika. Walaubagaimana pun sebagai jurufoto genre ini saya lakukan tindakan pelanggaran seperti itu atas alasan saya membuat rakaman dengan cara tidak mengganggu artis. Saya mendegilkan hati untuk tetap lakukan kerana saya telah berhabisan wang membeli tiket persembahan.  



Melaksanakan kerja-kerja rakaman kamera semasa persembahan dengan tanpa menggunakan pancaran kilauan flash yang bakal memberi gangguan mata artis. Tentu sekali saya tahu menjaga etika , iaitu tidak menyiarkan mana-mana rakaman wajah artis atau aksi yang tidak sempurna dari hasil rakaman sepanjang persembahan.  Seperti artis sedang tercunggap keletihan atau terjatuh secara tidak sengaja atau sebagainya yang difikirkan bakal memberi aib kepada artis.

Saya memberi alasan mengapa rakaman menggunakan Telepon pintar dibolehkan, dalam waktu yang sama melarang merakam menggunakan kamera. Walhal kedua-dua perbuatan tersebut juga adalah perbuatan merakam . Maka atas kelonggaran peraturan yang berstatuskan" GREY AREA" itulah, saya teruja melakukannya juga.



Sebagai rekod saya senaraikan konsert yang pernah saya hadiri kemudian berjaya membuat rakaman tanpa mendapat kebenaran lisan atau bertulis daripada pihak penganjur. 


1. Band Napalm Death



2. Death Angel.



3. Band Kreator ( Dibatalkan pada saat akhir )-Konsert ke 2 Di Kuala Lumpur










4.Band Destruction




5. Megadeth






6. Blues Gangs & Sweet Charity










7.Qawwali-Tribute To Nusrat Fatih Ali Khan- Rahat Ali Khan.-



8. Ali Campbell & Friends UB-40









9. Konsert Kebudayaan Malaysia - Indonesia





10. Teater Klasik Puteri Saadong






11. Persembahan Seni Kebudayaan Opera Cina





12. Persembahan Seni Tarian Klasik India 





Kisah pengalaman peribadi yang saya fikir menarik ini memang sengaja tidak dihebahkan kerana tidak mahu dikenali oleh khalayak ramai. Langsung keadaan itu nanti akan  bakal menyusahkan diri sendiri. Dalam ertikata lain seandainya dihebahkan pada waktu itu, tentu sekali bakal menyusahkan diri sendiri. Dimana saya sendiri juga akan berhadapan dengan kesukaran untuk mengulangi melakukan rakaman  pada konsert yang berikutnya. Sudah tentu  pada ketika itu ,  pihak penganjur akan mengerahkan pengawal keselamatan  memberi tekanan yang lebih ketat dalam pemeriksaan ketika penonton ingin masuk kedalam ruang dewan konsert.



Kisah silam ini telah berlaku 7 tahun yang lampau iaitu pada 21 hb Ogos 2013. Kisah menarik itu hanya sahabat saya Saudara Raja Ibrahim Raja Sulaiman @ King Miharbi  sahaja yang tahu kisah magic ini. Kerana kisah magic itu telah sama-sama kita melaluinya dengan cara berbeza dan dengan cara penerimaan masing-masing.




Siasatan Kerja Rumah

Semasa pengumuman dalam dada akhbar tersiar, memaklumkan Kumpulan Heavy Metal dari Amerika , Metallica akan mengadakan konsert  di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Berita itu  kita berdua terima dengan rasa teruja . Jikalau harga tiket mampu dibeli, maka boleh lah kita pergi menyaksikan persembahan itu bersama.  Walaubagaimana pun setelah melihat senarai harga tiket yang ditawarkan oleh pihak penaja. Ia cukup mengejutkan kerana harga yang ditawarkan adalah sangat mahal diluar dugaan kantung poket. 



Saya tidak pasti samada penganjur ingin mengambil untung melampau, atau pihak pengurusan Metallica menganggap itu lah adalah harga pasaran semasa bagi Band mereka. Dengan harga itu mereka yakin akan memberi persembahan yang hebat dengan sokongan alat audio dengan system terbaik. Namun pada hemat peminat Heavy Metal veteran seperti saya, harga yang ditawarkan itu adalah terlalu mahal. Apa tidaknya untuk tempoh 2 jam   pada tahun 2013 menyaksikan Metallica adalah tidak memadai. Senarai harga tiket adalah seperti berikut:-






RM 680:00 Rock Zone
RM 550:00
RM 450:00 Rock Zone
RM 380.00 Free seating
RM 350.00
RM 195:00




Saya mempunyai alasan peribadi mengapa harga tiket yang ditawarkan itu tidak memadai, untuk saya bekorban wang untuk membelinya. Pertama kumpulan Metallica bukanlah lagi satu kumpulan Heavy Metal yang sejalan dengan genre muzik yang saya gemari buat masa ini. Metallica cuma hebat dan gah hanya dengan 2 album awal pada permulaan kerjaya seni muzik mereka sahaja. Ia itu album Kill 'em All 1983 dan Ride The Lightning 1984 sahaja. Selepas itu album yang dikeluarkan bermula dari Master Of Puppet dan seterusnya, semata-mata mengikut strategi perniagaan album mereka dan ingin memperluaskan empayar peminat.



Pada hemat saya, bermula dari album Master of Puppet dan seterusnya kumpulan Metallica telah karam dalam genre musik Pop Metal . Sama seperti kumpulan Pop Rock dan Pop Metal seperti Bon Jovi, Journey, Quiet Riot, Def Lappard, Jon Jett and Black Heart dan bla bla bla.. Dalam erti kata lain peminat-peminat dari  kumpulan yang dinyatakan seperti mana diatas itu akan turut beralih tumpuan kepada kumpulan Metallica. Maka pengurusan Metallica dapat menguasai penjualan album dan konsert daripada peminat genre Thrash dan Pop Metal. Mereka berupaya menguasai 2 genre kumpulan peminat. Saya tidak menidakkan pengalaman , kehebatan skill dan kemahiran bermain alat-alat muzik Metal oleh pemuzik Metallica ; James Hetfeild, Krik  Hermett, Lars Ulrich, Jason Newsted dan Robert Trujillo. 



Harus difahamkan  pada waktu yang sama, sekitar 1980an banyak Band Heavy Metal telah meningkatkan lagi seni irama Heavy Metal aggresif mereka. Seperti Anvil, Helstar, Sacrifice, Dark Angel, Strapping Young Led, Overkill, Possessed ,Slayer, Destruction ,Death Wish, Nuclear Assault, Death, Bolt Thrower, Mercyful Fates,Hollow Eve, Celtic Frost, Flotsam & Jetsom bla bla bla....Pada ketika itu saya terdedah dengan kumpulan yang lebih baik muziknya jika dibandingkan dengan Metallica. Memang terlalu banyak group Heavy Metal yang rekod-rekodnya ada dijual di Kedai Victoria Pertama Komplek. Jadi untuk apa saya melayan muzik Metallica ?, sedangkan ada banyak muzik yang lebih baik seni aggrasif Heavy Metalnya. 




Berdasarkan pandangan peribadi , maka untuk saya bekorban wang ringgit dengan harga yang ditawarkan adalah tidak berbaloi. Lebih rela beli tiket persembahan band tempatan XPDC, boleh jugak head banging dengan lagu Kita Pengyu dan 10 Budak Hitam.  Saya hendak menyaksikan konsert mereka itu atas dasar hormat kepada mereka. Kita tidak boleh menidakkan bahawa Metallica adalah antara kumpulan  yang mula-mula memperkenalkan seni muzik genre Heavy Metal Thrash. Rangka corak muzik mereka pada awal album mereka  telah banyak membentuk irama muzik yang lebih aggrasif secara bertimbangan daripada band-band yang terkemudian.




Mungkin  ingin mengimbau kembali kenangan semasa  zaman persekolahan mengilai album Kill 'em All dan Ride The Lightning. Ingin melihat Metallica sama seperti mana saya melihat mereka lebih kurang 30 ,40 tahun dahulu dalam majalah Kerrang langganan saya dulu. Itu sahaja.! Kalau tidak dapat menyaksikan pun, tidak rasa rugi kerana boleh menonton dalam Youtube. Tetapi kalau boleh saksikan, memang satu bonus dan rezeki saya. Jadi bagaimana ingin menyaksikan konsert Metallica tetapi tidak mahu membayar harga semahal itu.?



Dalam menconggak kesesuaian lokasi persembahan konsert Metallica, pihak penganjur tentu telah membuat jangkaan bilangan penonton yang bakal hadir, dengan memberi keuntungan. Jangkaan pulangan keuntungan yang dicadangkan, mungkin  dalam jumlah sekitar lebih kurang 9,000 ke 10,000 orang. Kesesuaian dengan logistik kepada penonton dan crew Metallica. Maka tempat paling  sesuai di Kuala Lumpur adalah di Stadium Merdeka. Walaupun Stadium Bukit Jalil dan Stadium Shah Alam jauh lebih sesuai, tetapi ia terlalu besar dan mahal harga sewaannya. Maka pemilihan Stadium Merdeka itu , memberi ruang akal dan strategi kepada saya untuk melaksanakan agenda menyaksikan konsert tanpa membayar harga tiket semahal itu.



Saya telah nekad untuk tidak membeli tiket. Sebelum satu hari pada hari kejadian Konsert Metallica , saya telah mula melakukan kerja-kerja siasatan di sekitar Stadium Merdeka. Lawatan itu lebih kepada lawatan bagi mendapatkan semula rasa "BIASA" pada Stadium Merdeka. Ingin mendapatkan kembali rasa "BIASA" yang telah lama terpendam tersimpan dalam laci kenangan. Saya ingin mendapatkan semula rasa biasa pada Stadium tersebut. Ketika lawatan dilakukan, kelihatan sudah ada beberapa Crew pihak pengajur yang telah mula datang untuk melakukan kerja-kerja awalan mereka diluar stadium. 




Manakala didalam stadium pula crew penganjur sedang melakukan kerja-kerja awalan memasang rangka pelantar panggung persembahan. Rangka pelantar panggung telah siap berbumbung dengan di kiri kanan dipasang dengan skrin digital besar.

Terlanjur sudah berada di situ saya mencari laluan untuk letak motosikal, untuk  keluar masuk  dengan cepat dan mudah pada hari kejadian nanti. Setelah sudah biasa dengan kawasan sekitar di sekeliling Stadium, barulah beredar. Saya  akan kembali semula pada waktu pagi di hari kejadian untuk melihat jangkaan suasana sebenar dalam merangka perancangan seterusnya.




Catatan Peraturan Pada Pemidang Ketika Menyaksikan Konsert.

1.Sebarang alat perakam filem atau video.
2.Sebarang alat merakam imej  Kamera professional digital dan Kamera dengan  zoom lens.
3.Payung
4.Topi Keledar dan air Mineral
5.Makanan
6.Barangan yang tajam dan merbahaya seperti pisau bla bla
7.Bahan Letupan seperti flare



Disitu telah tersedia juga,  pemidang larangan dan peraturan yang memang jelas untuk memberi kefahaman kepada sesiapa yang melihatnya. Sebagai ingatan kepada orang yang tidak membaca dan tidak nampak peraturan pada tiket kerana tulisannya bersaiz kecil. Dengan adanya pemidang itu, maka tidak ada sebab penonton harus ingkar. Dalam pada itu penganjur menyediakan juga pemidang peta dengan tanda warna tempat duduk/berdiri, didalam stadium mengikut harga tiket. Peta ini ingin memahamkan minda penonton supaya tidak berniat untuk menyeberang melangkau ke kawasan yang mempunyai kelebihan sudut menonton. Tiket yang lebih mahal mempunyai sudut menonton lebih dekat dengan panggung persembahan.



Ketika membuat rondaan mengelilingi kawasan stadium bertujuan  melihat bahagian pagar kalau-kalau ada peluang untuk menyeludup masuk nanti. Terlihat satu sudut pada tembok pagar jerigi besi  dengan keadaan skerunya longgar dan satu lagi skeru telah hilang pada tempatnya. Jeriji besi itu boleh di kepak dan ruangnya boleh muat melepasi bentuk tubuh seorang manusia. Walaubagai mana pun, bahagian tersebut berada berhampiran dengan pintu masuk. Ada besar kemungkinan krew pihak penganjur akan ternampak jikalau seseorang cuba bertindak memanjat untuk meloloskan dirinya . 










Penganjur juga telah memastikan keadilan terlaksana kepada peminat Metallica yang telah membeli tiket, dengan menutup bahagian jeriji pagar menggunakan kain hitam. Mereka terpaksa menggunakan 4 atau 5 kayu kain untuk menutup bahagian atas mengelilingi pagar stadium. Bukan itu sahaja , penganjur meletakkan pagar besi mudah alih 2 meter dari tembok pagar diluar stadium. Bertujuan tidak membenarkan peminat diluar yang tidak membeli tiket turut sama-sama menyaksikan persembahan Metallica dari luar stadium. Penganjur hanya membenarkan peminat yang  tidak membayar tiket mendengar sisa-sisa irama muzik persembahan dari luar stadium.




Saya mengagak semua kerja-kerja itu telah dimulakan sejak 2 , 3 hari yang lepas dengan menggunakan ramai tenaga pekerja. Panggung yang luas didirikan bersama panel panel skrin digital yang besar bersama  set lampu yang bertitih banyak. Saya membayangkan  set seperti ini tentu memerlukan kuasa tenaga elektrik kilowatt yang besar. Diluar stadium telah tersedia  bantuan Jenset TNB berkuasa tinggi untuk menampung kegunaan entah berapa banyak set amplifier , set speaker, set lampu-lampu , set kipas, set penghawa dingin, dan peralatan muzik. Persediaan yang dilakukan menunjukan penganjur dan pengurusan Metallica ingin persembahan berlangsung dengan lancar tanpa ada sebarang gangguan. 



Setelah menyelak kain hitam  kelihatan panggung utama telah pun siap tersergam. Kawasan panggung yang lapang dan luas untuk pemuzik bergerak berlegar-legar bebas diatas panggung membuat persembahan. Pada pagi itu diluar kawasan stadium masih tidak ramai orang, maka boleh lah saya mencuri menjengok dari jeriji pagar . Didalam stadium telah tersusun pagar-pagar besi pemisah keselamatan. Entah berapa tan pagar besi yang telah digunakan untuk persembahan ini.



Entah berapa ramai engineer mahir dan berpengalaman dalam bidang masing-masing yang ada kaitan  dalam bidang persembahan besar seperti ini  telah terlibat. Samada untuk menyusun  kabel dan wayar yang panjang berselirat. Entah berapa banyak lubang jack pada monitor dan power amp yang digunakan untuk menjayakan konsert. Semua crew telah dipertanggungjawabkan  melaksanakan semua kerja itu supaya dapat berfungsi dengan sempurna, tersusun, selamat dan terbaik.

Penganjur juga menyediakan beberapa buah tandas bergerak untuk kegunaan penonton dan crew.  Kumpulan Metallica membawa bersama  crew mereka sendiri dalam jumlah tidak kurang daripada 20 orang pekerja professional. Kelihatan mereka sedang sibuk menolak kotak-kotak dan peti peralatan kegunaan konsert.



Ada yang sedang fokus menyusun kedudukan peralatan muzik yang akan digunakan malam nanti, mengikut citarasa 4 orang anggota Metallica. Mereka tekun menyusun drum kegunaan Lars Ulrich. Crew yang sudah tahu citarasa dan kehendak 4 orang anggota Metallica. Mereka tekun menyusun ampifiar dan peralatan kosert yang lain.Beberapa orang Crew yang lain pula sedang memasang dan menyusun tiang-tiang micro phone. Entah berapa banyak jumlah  set microphone yang mereka sediakan untuk pertunjukan ini. Bukan itu sahaja pengurusan Metallica membawa beberapa tenaga pakar keselamatan mereka sendiri. 




Kelihatan mereka sedang berpusing membuat pemeriksaan sambil merancang dan menyusun  letak kedudukan penonton. Supaya penonton yang ramai  pada malam nanti, tidak akan  bersesak-sesak, dan berada dalam keadaan  selamat sepanjangan persembahan. Penyediaan konsert  sebesar ini mungkin satu pengalaman baharu kepada kakitangan tempatan yang terlibat. Mereka sepatutnya tidak melepaskan peluang keemasan ini untu belajar secara percuma daripada crew Metallica. Peluang seperti ini cuma datang sekali seumur hidup sahaja.


Belajar Dari Tenaga Kerja Profesional



Secara tidak sengaja pemerhatikan saya  pagi itu cukup bermakna dan telah memberi ilmu pengetahuan yang baharu dalam bidang menjayakan persembahan. Secara tidak langsung saya telah  melihat semua budaya tata kerja crew professional Metallica, dalam melaksanakan kerja-kerja persiapan,  dalam menyediakan set persembahan secara teratur dan  cermat.



Setelah selesai membuat rondaan mengelilingi kawasan stadium saya mendapati cuma satu kawasan sahaja yang boleh memberi peluang kepada agenda rahsia saya malam nanti. Kerana semua peluang telah ditutup oleh pihak pegawai keselamatan Metallica. Senang cerita peluang untuk saya menyelinap masuk kedalam stadium atau menjengok dari tembok pagar telah tertutup rapat. Walaubagaimana pun saya dapati pihak pengajur telah terlepas pandang disatu tempat.  Tempat itu berada dikawasan sekitar tiket berharga RM 350.00. Tetapi tempat itu  terletak didalam perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur. Tempat yang dimaksudkan itu ialah merupakan sebuah pembangunan tangki simpanan air Jabatan Bekalan Air Selangor untuk kegunaan sekolah. 



Pembinaan tangki air besi yang tingginya melepasi pagar Stadium Merdeka betul-betul bersebelahan dengan pagar Stadium. Saya anggarkan ketinggian pembinaannya lebih kurang  bangunan 4 tingkat. Setelah memerhatikan dari jauh lalu merakam imej Tangki Simpanan Air untuk membuat siasatan lanjut. Setelah disiasat dengan melihat imej rakaman maka terbuka ruang agenda saya. Pembinaan itu memang memberi ruang kepada saya untuk memanjat naik keatas menggunakan anak tangga  yang disediakan disitu. Walaupun tangga besi itu dibina secara menegak naik keatas, namun saya percaya dengan modal keberanian, tangga itu boleh dipanjat. Kerana pembinaan tangga besi tersebut dilengkapi dengan  relong keselamatan. Sedikit sebanyak ciri keselamatan seperti itu dapat membendung  perasan gayat. 




Sekarang ruang melaksanakan agenda rahsia telah ditemui, tetapi bagaimana saya ingin memasuki perkarangan sekolah.? Sekolah tersebut dikelilingi dengan pagar tembok yang dikawal 24 jam oleh pegawai keselamatan , guru asrama dan warden asrama yang tinggal disitu. Ini adalah cabaran lain yang harus difikirkan, bagaimana untuk diatasi.. Sekiranya tidak ada cara lain maka saya bercadang untuk memanjat sahaja tembok sekolah berkawat duri itu. Saya fikir ia tidak menjadi masalah kerana hanya dengan meletakkan motosikal ditepi tembok, pasti akan dapat dipanjat melepasi pagar tersebut.



Dalam perjalanan pulang ke rumah otak cergas berfikir dan berfikir sehingga saya diberi  hidayah akal. Kenalan FB saya Puan Zasara pernah menyiarkan kegiatan sukan anak lelakinya yang belajar di sekolah tersebut. Maka tengahari itu saya menghubungi beliau melalui private masage, bertanyakan siapa nama anaknya termasuk siapa nama jurulatih bolasepak anaknya itu. Pada mulanya beliau hairan dan curiga , kenapa secara tidak semena-mena dan tidak dibuat-buat orang bertanyakan soalan seperti itu. 





Setelah menerangkan cadangan saya untuk memasuki sekolah itu pada waktu maghrib untuk melihat persembahan Metallica. Puan Zasara tanpa teragak-agak terus menyalurkan maklumat nama pasukan bolasepak itu.  Jasmine J.r Football Club, Pelajar tingkatan 3, Kelas 3 Ungu dan nama Warden Asrama ialah Encik Ehem ehem dan Jurulatihnya ialah Cikgu Ehem ehem..Maklumat itu penting untuk saya jadikan modal berbual bila bertemu dengan Pengawal keselamatan, Jurulatih dan Warden sekolah nanti. Setelah beliau mendapat tahu tujuan saya, Puan Zasara tergelak lalu beliau terus  memberi cadangan, yang lebih baik. Puan Zasara memaklumkan kepada  saya supaya terus bertemu dengan warden Sekolah Ustaz ehem ehem yang mudah boleh dibawa berunding. Maklumat yang diterima daripada  Puan Zasara cukup penting kepada saya, dalam melaksanakan agenda rahsia malam nanti.



Pada waktu petang ketika menjemput isteri pulang kerja, saya nyatakan agenda rahsia kepada isteri. Saya mahukan  beliau membantu menemani ketika datang berjumpa dengan mana-mana pegawai sekolah. Seperti biasa isteri saya akan sentiasa memberi sokongan dalam hal-hal seperti ini. Bila sampai dihadapan pintu pengawal , saya terus menyatakan ingin berjumpa dengan Ustaz Ehem ehem dan terus  bertanyakan dimana rumah kediamannya. Tanpa ada sebarang masalah pegawal keselamatan itu terus memberi kerjasama yang baik lalu menunjukkan dimana lokasi rumah Ustaz ehem ehem. 




Setelah berada dihadapan rumah Ustaz Ehem ehem, seperti biasa adab kesopanan masyarakat kita , memberi salam terlebih dahulu kepada tuan rumah. Suara jawapan salam disambut dengan daun pintu dibuka, lalu muncul seorang lelaki dalam lingkungan awal 30an. Ini " Ustaz Ehem ehem ya.. saya bertanya sambil tersenyum. Permulaan adab dalam melaksanakan  silaturahim dengan orang yang tidak pernah ditemui untuk kita mendapatkan pertolongan. Lantas Ustaz Ehem ehem menjemput kami berdua masuk kedalam rumah. Tidak mengapa Uztaz Ehem ehem...diluar sahaja sudah cukup memadai. Lalu di desaknya kami berdua masuk kedalam rumah dan dihidangkannya air kopi dengan biskut.



Setelah semua selesa duduk diatas kerusi, Ustaz Ehem ehem dengan wajah mengambil berat beliau bertanyakan apa halnya datang bertemu dengannya. Ada apa-apa perkara yang boleh dibantunya datang secara tiba-tiba pada waktu petang. Ustaz Ehem ehem..menyambung soalan, " apakah ada sebarang masalah anak yang sedang belajar.? Isteri saya yang duduk bersebelahan dengan saya hanya diam dan bijak memainkan peranan bagi mempositifkan keadaan sekeliling. ", Eeeerrmm...begini Ustaz Ehem ehem,. dengan penuh  perasaan beliau menanti perkataan yang bakal dikeluarkan dari mulut saya.," Setelah menghirup sedikit air kopi," saya memulakan ayat apa tujuan kedatangan.


Dengan menggunakan nada suara rendah yang lemah lembut sambil tersenyum," Ustaz, saya datang ini mempunyai hajat yang besar, yang mana pada hemat saya Ustaz sajalah yang dapat memberi pertolongan dan bantuan. Terdiam sejenak Ustaz Ehem ehem..sambil wajahnya menanti, " apa pertolongan yang dikatakan hanya dia saja boleh bantu". Ialah tiba-tiba pada waktu petang ada orang separuh umur yang tidak dikenali datang ke rumahnya memohon hajat besarnya berharap sangat dapat ditunaikan. Tentu merasa pelik dan timbul berbagai tanda tanya siapa lah orang ini, kerana perkara seperti ini jarang berlaku.



Saya menyambung", " Andaikata, Ustaz didalam hati mempunyai  rasa keberatan atas dasar prinsip, atau keberatan atas dasar peraturan atau merasa serba salah untuk menunaikan hajat dan bantuan saya, " saya akan terima dengan hati terbuka, malah saya akan menghormati keputusan Ustaz.." " Ustaz tidak perlu risau atau tidak perlu menjaga hati saya kerana tidak dapat membantu. Ustaz Ehem ehem bertambah terpinga-pinga ingin tahu apa sebenarnya pertolongan itu. Begini Ustaz, saya berterus terang sajalah,...sebenarnya saya tidak mempunyai kemampuan untuk membeli tiket konsert Metallica kerana terlampau mahal. Lagi pun semua tiket telah pun habis dijual. Ustaz Ehem ehem dengan wajah pelik terpinga-pinga menjawab," saya tidak faham...apa kaitan harga tiket mahal dengan konsert Metallica itu sehingga tuan datang berjumpa dengan saya meminta pertolongan ? Riak wajah Ustaz Ehem ehem seperti saya datang untuk meminta wang daripadanya bagi membantu membeli tiket konsert..



Begini Ustaz, saya menyambung.."Tujuan saya kesini adalah untuk meminta kebenaran secara lisan daripada Ustaz, untuk membenarkan saya  masuk didalam kawasan sekolah selepas solat maghrib. Kemudian benarkan lah saya naik dan duduk diatas tangki simpanan air sekolah untuk tempoh paling lama 2 jam. Pelik Ustaz mendengar permintaan saya itu.. Sebenarnya  saya hendak menyaksikan konsert dari atas tangki simpanan air. Berderai derai hilai tawa Ustaz Ehem ehem mendengar permintaan dari seorang lelaki separuh umur ini. Seraya dengan itu kami bertiga sama-sama gelak ketawa kerana jenaka yang tidak pernah dibuat-buat orang dan tidak menyangka perkara seperti ini boleh juga berlaku. 




Isteri saya disebelah menyelah," Suami saya ni memang pelik perangainya, ujarnya. " Sudah separuh umur masih lagi buat benda-benda macam budak-budak seperti ini. " Kadang-kadang malu saya dibuatnya. " Ooo ingatkan apa lah perkara yang susah sangat tadi.. jelas Ustaz Ehem ehem kepada kami berdua. Ustaz Ehem ehem seperti memberi dorongan menyokong  saya, " Abang tidak payah susah-susah masuk ikut dari pintu hadapan , disana ada pengawal keselamatan, lagi pun masuk dari situ Abang terpaksa berjalan jauh untuk ke tangki simpanan air. " Abang masuk dari Masjid Albukhari Jalan Hang Tuah. Disitu ada pintu laluan khas yang menghubungi rumah saya dengan masjid. Itu laluan khas untuk saya pergi ke Masjid setiap hari.




Malam nanti saya tidak akan mengunci pintu itu, nanti selepas solat Maghrib , Abang nak masuk, gunakan lah pintu  laluan saya itu. " Lagi pun dari sini jarak untuk ke tangki simpanan air, jauh lebih dekat, berbanding masuk ikut pintu hadapan.", Dalam hati ", ini benar-benar magic. Umpama kita cuma hendak mintak RM 5.00, tetapi diberinya RM 100.00. Dimudah dan dipermudah-mudahkan lagi. Selepas selesai silaturahim , saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Ehem ehem atas pertolongan dan kepercayaannya kepada saya, lalu kita mengundurkan diri.




Pada petang itu antara jam 7.00 petang saya telah mula keluar dari rumah untuk melaksanakan misi rahsia di Stadium Merdeka. Sepertimana yang sudah-sudah,  mencapai kamera bersama lensa 300mm , 100mm,  dan Kamera digital tidak dilupakan juga. Senjata yang dibawa itu memang telah mencukupi dan dapat memuaskan hawa nafsu andai kata agenda rahsia berjaya nanti, sama sepertimana yang dirancangkan. Memeriksa dan memastikan membawa CF card yang mencukupi dan bateri kamera berkuasa penuh. Tidak lupa juga membawa plastik kalis air, penyediaan kalau-kalau hujan turun semasa konsert nanti. Setibanya diperkarangan luar stadium, peminat Metallica sudah hadir dalam jumlah terlalu ramai.




Hampir kesemua mengenakan pakaian baju berwarna hitam , berambut panjang dari segenap lapisan umur dan keturunan. Berjeket kulit, berjaket denim, berseluar kulit, jeans berunifom Heavy Metal. Mereka berbual bersilaturahim dan kenal mengenal antara satu sama lain. Ditepi-tepi jalan ramai peniaga mengambil kesempatan menjual CD, T shirt dan berbagai jenis aksosori Heavy Metal. Setelah membuat satu pusingan stadium, saya terus menuju ke Masjid Masjid Albukhari Jalan Hang Tuah bagai melaksanakan agenda rahsia. 




Setelah tunaikan segala macam tanggungjawab yang ada kemudian .....agenda rahsia dimulakan. Sebelum memulakan agenda saya menghubungi sahabat saya Raja Ibrahim Raja Sulaiman @ King Miharbi mengajak beliau sama-sama melakukan agenda rahsia. Entah kenapa beliau membuat keputusan untuk tidak menyertai saya. Sebaliknya sekadar tunggu disekitar perkarangan stadium. Beliau keberatan dan enggan menyertai saya.. Pada ketika itu konsert telah dimulakan oleh kumpulan Heavy Metal tempatan iaitu Band Cromok.



Keluar sahaja dari pintu  Masjid Albukhari menuju diperkarangan masjid saya terus menuju kepintu yang menjadi laluan Ustaz Ehem ehem.. Memang benar sepertimana yang dinyatakan oleh Ustaz Ehem ehem bahawa beliau tidak  mengunci pintu. Ustaz Ehem ehem telah menzahirkan apa yang dikatakan petang tadi. Menolak pintu melangkah masuk seraya merapatkan kembali pintu dan terus menuju kearah tangki simpanan air dalam gelap seorang diri. Ketika berjalan sudah terdengar irama muzik kumpulan Cromok sedang membuat persembahan. Kumpulan Cromok diberi kepercayaan dan mendapat penghormatan sebagai Band tempatan membuat persembahan pembukaan konsert Metallica. Entah berapa lagu saya tidak pasti, paling-paling kurang 4 atau 5 buah lagu mereka mainkan. Pada saya itu semua tidak penting, tetapi yang penting pada waktu sekarang saya hendak naik tangga Tangki Simpanan Air. 


Dengan bantuan  cahaya daripada stadium Merdeka saya mula naik tangga besi. Pembinaan tangga besi itu secara menegak naik keatas. Kaki memijak batang tangga besi manakala kedua belah tangan memegang batang besi tangga sampai ke atas pelantar. Pada ruang pelantar ada pagar besi yang menggelilingi tanki simpanan air itu. Memanjat naik dengan beban peralatan kamera dan lensa bukan satu masalah kepada saya. Sesampai diatas pelantar telah ada 2 orang peminat yang terlebih dahulu menyeludupkan diri memanjat pagar batu sekolah. Mereka berdua memilih pada bahagian tengah tangki . Dalam gelap samar-samar masing-masing tersenyum dan mengangkat tangan. 




Sebagai tanda persaudaraan sesama peminat muzik Heavy Metal. Saya memilih berdekatan dekatan dengan ruang naik tangga. Disitu memang selesa untuk duduk sambil memaut batang besi sebagai langkah keselamatan.Di samping mempunyai sudut  tepat pada pentas , yang tidak ada apa-apa halangan untuk melihat dan merakam terus aksi persembahan. Keadaan seperti ini memberi keselesaan dan  kebebasan untuk  merakam tanpa sebarang larangan sehingga selesai konsert. Semasa saya berada diatas tangki, crew Metallica sedang menyusun dan memeriksa keadaan peralatan muzik diatas pentas untuk mempersiapkan dan memperkemas sistem audio. Jangkaan saya memang bertepatan dengan perancangan tidak perlu tergocoh-gocoh.

Merasa puas kerana segala rancangan dan usaha sejak semalam telah berjaya tidak berlaku sebarang gangguan halangan.


Menyaksikan Konsert Metallica Secara Percuma & Selesa.



Dari sudut yang tinggi saya dapat lihat peminat Metallica yang berada dibarisan depan dan dikawasan berhampiran dengan panggung. Dalam keadaan  padat berhimpit-himpit mereka berdiri bersesak-sesak seperti jemaah haji mengerjakan ibadah tawaf   dihadapan Kota Kaabah. Sepeprti di dan di jamrah pun ada. Dihadapan mereka ada pagar besi penghalang dan disitu pula berderet berdiri pengawal keselamatan menghadap pada peminat. Siapa yang bersaiz tinggi dapat lah melihat dengan selesa, tetapi kepada sesiapa yang rendah boleh lah berjingkit.




Kalau tidak tengok kepala orang dihadapan saja lah. Suasana keadaan seperti ini memerlukan stamina yang tinggi. Berasak-asak sambil bersorak-sorak dalam keadaan panas dan berpeluh-peluh. Keadaan seperti ini sudah tentu akan membuatkan mereka haus. Sesiapa yang sudah tidak dapat bertahan terpaksa la berusaha keluar sendiri dan mendapat belas ehsan sahabat metal menolak keluar. Silap-silap hari bulan mereka boleh pitam. Bunyi muzik yang keluar daripada speaker yang besar dan tersusun banyak akan membuatkan telinga mereka berdesing seminggu.




Penonton yang duduk pula berada nun jauh dibelakang, menunggu persembahan untuk dimulakan.  Saya anggarkan jumlah penonton pada malam itu lebih kurang 10,000 orang. Sebaik saja  juruacara memaklumkan persembahan Metallica akan dimulakan, semua peminat didalam stadium menjerit bersorak kegembiraan. Maka muncul seorang demi seorang ahli muzik Metallica.  James Hetfeild, Krik  Hermett, Lars Ulrich dan Robert Trujillo. Maka akhirnya beraksilah kumpulan Metallica dengan gaya dan cara mereka di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Dari satu lagi ke satu lagu.  :-

Hit The Light
Master of Puppets
Fade to black
Sad but true
One sambung
For Whom the bells tolls
Blackened
Nothing else matter
Harvester of sorrow
Creeping Death
Fight Fire with fire
Ride The Lighting
Batery
Seek and Destroy















































































   


Dipertengahan konsert, seorang demi seorang telah memanjat naik ke tempat saya membuat rakaman. Agaknya mereka melihat beberapa peminat disitu menghisap rokok, maka dari jauh bara api rokok menarik perhatian peminat-peminat yang mendengar konsert dari luar stadium. Maka menjadi ramailah yang berada diatas tangki bersama-sama saya. Dianggarkan lebih kurang 10 ke 13 orang. Keadaan seperti ini telah menarik perhatian pihak pengurusan keselamatan penganjur konsert. Mungkin mereka merasa S.O.P keselamatan syarikat telah dicabar dan ditembusi oleh peminat yang berada diatas tangki air simpanan. 


Mungkin keadaan ini tidak memberi keadilan kepada peminat-peminat yang menyaksikan konsert dengan membeli tiket. Pihak pengajur tidak terfikir malah mereka tidak membuat persediaan atau tidak tahu bagaimana untuk menghalang peminat yang menyaksikan konsert secara percuma seperti saya. Hal keadaan seperti ini menimbulkan perasaan dan rasa tidak puas hati. Rasa dengki, kerana ada orang yang menyaksikan konsert secara percuma dan selesa. 



Maka dipercayai pihak penganjur mendapatkan pertolongan daripada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia untuk menyekat perbuatan menyaksikan konsert diatas tangki simpanan air. Atau barang kali juga Syarikat Pengawal Keselamatan yang menjaga kawasan Sekolah membuat laporan polis, kerana orang menceroboh kawasan Sekolah.  Seingat saya ketika lagu Fight FIre With Fire sedang dipersembahkan,  saya perasan dibawah kawasan tangki simpanan air  kelihatan berkelip-kelip lampu biru merah. 



Rupa-rupanya lampu biru merah itu datang dari bumbung kereta peronda Polis Diraja Malaysia. Beberapa orang pegawai polis hanya keluar berdiri sambil menghisap rokok dan berbual-bual serta ketawa. Mungkin mereka juga  turut sama mendengar konsert Metallica dari luar stadium. Pada mulanya saya rasa kurang selesa diatas kehadiran kereta peronda Polis Diraja Malaysia disitu. Tetapi selepas selesai lagu Fight FIre With Fire , pegawai Polis masih tidak melakukan apa-apa tindakan. Maka saya tidak hiraukan mereka dibawah, terus menyambung merakam dan menyaksikan konsert. 




Band Metallica meneruskan lagi persembahan mereka dengan lagu Ride The Lighting dan lagu Battery . Selepas tamat lagu Battery , suasana seperti itu adalah lagu terakhir mereka pada malam itu. Peminat semacam tidak puas serentak menjerit supaya persembahan diteruskan. " We want more..we want more.." Tiba -tiba terdengar suara dari corong Heller Specker secara beramaran mengarahkan semua orang yang berada diatas tangki simpanan air turun dengan segera. Katanya lagi, Sekiranya ingkar mereka semua akan dibawa ke Balai Polis kerana telah menceroboh kawasan sekolah. Pada waktu yang sama James Hetfeild dan Krik  Hermett  sedang memetik lagu intro lagu Seek and Destroy.. 




Gertakkan daripada anggota pegawai polis itu disambut dengan beberapa orang turun daripada tangki. Mereka turun dan memanjat tembok pagar lalu keluar seolah-olah menyelamatkan diri.   Pada hemat saya ,memandangkan lagu itu merupakan lagu terakhir konsert, maka saya tidak berlengah segera mengemas peralatan rakaman dan terus turun dengan berhati-hati. Saya tidak sanggup berasak-asak dengan ribuan peminat yang akan pulang serentak bila konsert tamat nanti. Berebut-rebut keluar pergi mendapatkan kenderaan masing-masing.




 Sebelum saya tersekat membuang masa dalam kesesakan jam manusia dan kenderaan, ada baiknya saya keluar dengan seberapa segara daripada kawasan Stadium Merdeka. Saya seorang diri  berjalan menuju ke pintu laluan Ustaz Ehem ehem, terus pergi ke tempat meletak motosikal berhampiran dengan Masjid. Sebelum beredar dalam benak hati saya tertanya-tanya mengapa sahabat saya Saudara Raja Ibrahim Raja Sulaiman @ King Miharbi, tidak mahu menyertai saya.  Apakah beliau sekadar mendengar muzik dari luar stadium ? 



Sangkaan saya disebabkan enggan menyertai saya , beliau hanya sekadar mendengar persembahan muzik Metallica dari luar stadium. Rupa-rupanya tanggapan saya itu silap. Nasib sahabat saya juga turut baik kerana beliau telah dapat masuk kedalam Stadium secara percuma dan merasai pengalaman menyaksikan konsert Metallica. Ujarnya kepada saya, ketika dia sedang duduk ditepi longkang mendengar muzik dari luar stadium secara kebetulan rakannya ternampak dia.



Rakannya itu menawarkan peluang masuk kedalam stadium secara percuma tetapi harus menjalankan tugas sebagai Crew Keselamatan. Rakannya itu yang diberi kepercayaan oleh pengajur menjaga keselamatan semasa konsert sedang berlangsung. Beliau terpaksa menambah jumlah kakitangan yang tidak mencukupi disebabkan jumlah penonton diluar jangkaan. didalam stadium. Apa lagi , sahabat saya Saudara Raja Ibrahim Raja Sulaiman @ King Miharbi umpama Orang yang sedang mengantuk disorangkan bantal dan kecik tapak tangan nyiru ditadahkan.



Beliau diberikan vest keselamatan dan pass pegawai sedang bertugas, masuk dan ditempatkan dibahagian atas padang agak hampir dengan panggung utama. Sebagai memenuhi syarat bertugas beliau harus berdiri secara membelakangkan pentas utama. Memandang ke arah penonton yang berasak-asak memandang kearah pentas menyaksikan band Metallica beraksi. Dalam ertikata lain membelakangkan Band Metallica. Walaupun membelakangkan Metallica tetapi bunyi irama muzik daripada sistem audio terbaik sama seperti penonton yang memandang kearah band Metallica. Maka sama-sama telah berjaya menyaksikan konsert Metallica secara percuma dengan cara berbeza.



Pada hemat saya  peraturan melarang merakam persembahan atas nilai seni adalah dibenarkan, dan tidak patut dilarang. Peraturan sedia ada itu sudah cukup lapuk dan tidak sesuai lagi dizaman internet ini. Malah dewasa ini tentu Artis atau Band itu sendiri suka jikalau mereka diberi promosi secara percuma  demi meningkat dan mewarnaikan lagi kerjaya serta kehidupan mereka. Wasalam.




No comments:

Post a Comment