Thursday 30 July 2020

Berkayuh Tidak Gunakan Tenaga....Berkayuh Gunakan "SEMANGAT"



Berkayuh Tidak Gunakan Tenaga....Berkayuh Gunakan "SEMANGAT"




Perkongsian Tafsiran "Semangat" Dari Kacamata Peribadi.

"Semangat " itu mustahak kepada rohani untuk menjadikan seluruh anggota jasad terus bergerak hidup dengan sesempurna mungkin. "Semangat "itu wujud dalam jasad, tetapi ia tidak ternampak dengan mata kepala, namun dia sebenarnya ada dalam diri kita. Adanya dia itu  dalam keadaan sangat lemah dan tidak bermaya. Dia terpenjara jauh disatu sudut  rahsia yang terpencil didalam jasad. Maka kejut , tiup dan berusaha menggerakkan semangat itu dengan cara membaja dan menyirami "Benih Semangat" , demi menyuburkannya.





Hidup dan suburkan "Semangat" dengan sentiasa mengamalkan sifat berbaik sangka. Dalam pada itu belajar lah "Ilmu Memujuk Hati Sendiri" kerana ilmu itu dapat membantu anggota jasad mengamalkan sifat berbaik sangka. Pandangan fikiran daripada berbaik sangka itu lah yang akan menerbitkan sikap positif. Lantaran,  sikap positif itu ibarat baja kepada "Pohon Semangat " didalam jiwa naluri kita. Terus suburkan "Pohon Semangat " itu dengan memilih ayat perkataan yang sedap didengar oleh halwa telinga. Perkataan bersifat dorongan dan sokongan itu hendaklah disampaikan dengan nada suara yang bijaksana supaya mempercepatkan terbitnya suatu perasaan yang menyenangkan hati. 



Kekalkan membaja  " Pohon Semangat" itu sehingga menjadi subur dan kuat. Lama kelamaan ia akan bertukar menjadi  "Semangat Perkasa". Pada tingkatan "Semangat Perkasa" kekuatan semangat akan mengwujudkan "Cahaya dan Zat-zat Penyembuh Diri Sendiri". Sinar " Cahaya dan Zat-zat Penyembuh Diri Sendiri" itu berupaya menghalau dan membunuh segala macam "Kuman Virus Jahat""Iblis Syaitan Pemalas" yang hidup dalam darah mengalir pada anggota tubuh badan. Malah berupaya menjadi benteng kubu yang teguh menghadapi serangan. Serangan daripada Kuman Virus Jahat dari jenis zahir dan batin yang cuba menyelinap masuk kedalam anggota tubuh kita. Samada ingin menjadikan diri kita bersifat "Malas", "Lesu" "Kurang Berdisiplin" dan "Tidak Berpantang Menjaga Perut".




Ketahuilah bahawasanya "Zat-zat Penyembuh Diri Sendiri" terhasil daripada "Semangat Perkasa" setelah  kerajinan usaha senaman menyelenggara anggota badan. Ia dilakukan secara istiqomah selagi nyawa dikandung badan. Percayalah, Hasilnya anggota badan dapat bergerak hidup sihat sesempurna mungkin dalam melaksanakan segala tanggung jawab kehidupan kepada Tuhan, diri sendiri, keluarga dan negara.



Walaubagaimana sekali pun, setelah  kita rasa telah dikurniakan kekuatan, kesihatan, keselamatan, kegembiraan ,disayangi...atau sedang dibuai leka menikmati kesejahteraan hidup.  Ingatlah selalu, bahawasanya semasa didalam perjalanan itu jemputan untuk "Pulang" adalah pasti. Tidak ada satu nyawa pun yang tidak dipanggil pulang. Lambat atau pun cepat wajib "Pulang".. Maka rela dan bersedialah dengan senang hati apabila warkah jemputan untuk "Pulang " itu telah tiba. Lagipun, selalunya menongkat langit terlalu lama itu sangat penat dan sunyi..



Tetapi sebelum kita dijemput pulang, perjuangan secara jujur yang bersungguh-sungguh untuk terus hidup sesempurna mungkin adalah menjadi tanggungjawab diri sendiri. Tanggung jawab dan kewajiban yang tidak boleh diabaikan, sama tarafnya seperti makan , minum dan berehat. Nanti diri sendiri jua yang akan menanggung akibatnya. Akibatnya itu nanti, bukan sahaja ditanggung oleh diri sendiri tetapi tempias kepada akibat itu pasti terkena kepada orang yang terdekat.  Maka bertimbang rasalah kepada orang terdekat, mereka juga ada keinginan hidup peribadi mereka sendiri. Sudahlah yuran perubatan sangat mahal, nanti banyak masa terbazir kerana berulang alik untuk mendapat rawatan. Paling-paling tidak , banyak masa terbuang disebabkan menunggu. 



Jangan biarkan orang yang terdekat merahsiakan deritanya atas akibat musibah yang ditanggung oleh diri kita. Oleh yang demikian elakkan diri kita menganiaya diri sendiri kerana merelakan diri sendiri dibelenggu oleh "Iblis Syaitan Malas"..Sesungguhnya "Iblis Syaitan Malas" yang bertapa dalam darah kita itu, memang hendak seramai mungkin dari golongan kita menanggung derita kesakitan. Supaya kita tidak ada keupayaan melaksanakan kewajiban hidup dengan sempurna. Memang " "Iblis Syaitan Malas" mahukan diri kita hidup dalam keadaan status kurang keupayaan. Sepatutnya berdiri , tetapi kita terpaksa duduk, sepatutnya berlari tetapi terpaksa ditolak dengan kerusi roda.



Apakah boleh kita meletakkan semua kejadian yang berlaku itu sebagai ketentuan dan takdir? Walhal berlakunya akibat itu semua adalah hasil  rancangan diri kita sendiri? Diri sendiri tidak menjaga perut dan tidak bersenam secara tetap.  Hakikatnya diri kita dituntut beristiqomah melaksanakan kewajiban secara jujur sambil bersungguh-sungguh berusaha menyelenggara anggota tubuh badan. Setelah selesai berusaha kita dikehendaki memanjatkan doa permintaan kepada Tuhan supaya segala usaha kita itu membuahkan hasil, sepertimana yang dikehendaki. Kemudian  bertawakallah secara berbaik sangka kepada Tuhan agar doa kita tertunai. Penghabisannya hendaklah kita bersenang hati redho kepada Tuhan atas segala keputusan yang berlaku.



Hikmah setiap apa yang berlaku kepada diri kita, setelah melaksanakan adab berusaha itu, semuanya adalah baik baik belaka kepada diri kita. Andaikata usaha dan doa kita tidak dikabulkan oleh Tuhan apda ketika itu, sebenarnya adalah baik.  Katakan usaha dan doa kita menjadi kenyataan, itu lagi baik. Maka, setiap apa yang berlaku kepada diri kita semuanya baik-baik belaka.



Saya kongsikan tafsiran "Semangat", Usaha, Doa , Tawakal dan Redho sebenarnya adalah untuk pembaca tahu dan sedar betapa pentingnya  untuk berusaha menyelenggara anggota badan kita. Supaya diri kita tidak terdedah kepada mengharap belas kasihan dan simpati daripada orang lain, dalam menguruskan hal ehwal peribadi kita. Kekalkan dan tanam perasaan "Megah Mulia "dalam diri kita, yang tidak menghendakkan orang lain menguruskan hal ehwal diri kita. Perasaan " Megah Mulia" itu membawa sifat dan nilai positif dalam tata cara menguruskan perasaan peribadi.




Tawaran Cabaran Kayuhan Senafas Di The Motorhead Route- Taman Melawati. 



Kayuh Dengan Semangat..bukan kayuh dengan tenaga.!

Saya secara peribadi suka hati menamakan. cabaran laluan berbasikal ini dengan nama The Motorhead Route kerana saya pengemar irama  muzik Heavy Metal... itu sahaja. Laluan yang saya sendiri pilih yang kebetulan ada berselirat di kawasan sekitar Taman Melawati. Laluan itu pada hemat saya akan memberi cabaran kepada pengemar berbasikal untuk merasa nikmat "Kebakaran Ulu Hati." Kepada peminat berbasikal yang ada kejantanan dan suka kepada cabaran boleh datang mencuba laluan ini.


Syarat dan pedomannya mudah sahaja, Jangan sesekali mencampakkan diri kita dalam golongan orang-orang yang melakukan perbuatan dosa-dosa menolak basikal ketika berkayuh sedang naik bukit. Perbuatan menolak basikal itu adalah satu perbuatan yang "Haram" yang mengaibkan diri sendiri  . Andaikata tidak bernasib baik telah tertewas dipertengahan jalan, Pengayuh Basikal adalah dituntut berhenti berehat sementara waktu. Kemudian kembali meneruskan kayuhan, daripada bertindak menolak basikal naik ke atas bukit. Menolak basikal diharuskan ketika rantai putus dan tayar basikal kempis atau bocor.


Untuk melengkapkan laluan The Motorhead Route ia cuma mengambil masa lebih kurang 2 jam sahaja berkayuh tanpa henti secara senafas. Jarak jauhnya saya tidak pernah kira kerana tidak ada handphone yang boleh mengukur jarak jauh kilometernya. Sangat sesuai kepada peminat berbasikal di kawasan Kuala Lumpur yang :-


1. Ingin mempersiapkan dirinya melakukan kembara keluar kawasan.
2. Mencuba keupayaan diri sendiri dengan basikal baru dimilikinya.
3. Untuk latihan menguatkan keupayaan kaki.
4. Ketagihan untuk merasa keseronokan terbakar ulu hati.
5. Untuk mengenal rasa nikmat panas di ulu hati.




Memandangkan kita semua adalah bersaudara, terimalah pelawaan ini disambut secara berbaik sangka. Kata-kata yang sedikit sebanyak boleh membakar api semangat untuk menyahut cabaran..."Apalah maknanya memiliki basikal dari jenis S Work dan yang sejenis dengannya, set pering gear yang banyak tetapi merasa gentar menyahut cabaran The Motorhead Route-Taman Melawati. Atau cuma berupaya meluncur deras diatas permukaan jalan yang mendatar sahaja.


Perkongsian cabaran latihan seperti ini sebenarnya semata-mata untuk meningkatkan stamina dan kesihatan diri. Dalam mempersiapkan diri sendiri melangsaikan segala macam bentuk tanggung jawab kepada Tuhan, diri sendiri, keluarga dan sahabat handai. Bukan ada tujuan lain. Biar api "Semangat Perkasa" itu sentiasa membara menjulang-julang. Semangat, "Membujur lalu, melintang patah"..Semangat "Patah Sayap bertongkatkan paruh, pecah paruh bertongkatkan dahi", Semangat harus degil tidak mahu kalah dalam persaingan sihat. Selamat mencuba....Wasalam.












































1 comment: