Friday, 27 December 2024

Nota Pemerhatian Burung Di Srinagar Kashmir India

 Nota Pemerhatian Burung Di Srinagar Kashmir India



Mukadimah

Sepertimana laporan sebelum ini, iaitu senarai burung-burung yang dijumpai di Pakistan, dalam laporan ini juga, saya akan melakukan pekara yang sama. Mencadangkan nama-nama burung yang dijumpai di Negara India , menggunakan nama burung dalam bahasa Melayu. Penggunaan nama burung dalam bahasa Melayu itu akan disokong dengan nama bahasa Inggeris. Penyediaan laporan ini lebih mencabar kerana terpaksa membuat rujukan dan memikirkan nama yang paling sesuai berdasarkan keluarga burung dan habitat kehidupanannya. Semasa di Srinagar Kashmir, beberapa spesis burung saya temui, keberadaannya di alam sekeliling  yang berlainan sangat dengan bentuk mukabumi negara saya. Tambahan pula tingkah laku burung-burungnya sangat berbeza dengan tingkah laku burung yang ada di Malaysia.Lebih memeningkan, inilah pertama kali  membuat pemerhatian  burung dari keluarga yang tidak dijumpai di tanahair saya. 


Menjalankan aktiviti Memburung Ketika Melancong.

Saya menemankan isteri dan adik-adik saya pergi melancong ke Srinagar Kashmir India untuk melihat dengan mata kepala akan kebenaran dakwaan daerah Srinagar Kashmir itu, diberi jololan Surga Kecil Di Dunia. Percutian yang tidak begitu lama cuma 7 hari sahaja, sedangkan  daerah Srinagar Kashmir terlalu luas untuk dijelajahi dalam tempoh itu. Dianggarkan masa perjalanan pergi balik saja   dihabiskan sebanyak 4 hari. Cuma ada 3 hari masa untuk melancong di beberapa tempat.Membuat lawatan seperti Masjid Jamia, Taman Mughal, Gulmarg, Sonamarg, Pahalgam dan Tasik Dal. Ditempat yang dinyatakan itu lah saya mencuri masa untuk melakukan aktiviti memburung. 


Melakukan aktiviti memburung secara hati tidak aman dan tergocoh-gocoh dalam waktu yang terbatas ditempat yang asing, memang mencabar. Walaupun begitu, saya jangan sampai pulang berputih mata kerana tidak dapat langsung melihat burung, itu lebih lagi rugi dan mengecewakan. Dengan ikhtiar yang terbatas, memadailah cuma dapat melihat dan merakam 26 spesis burung. Daripada 15 spesis burung itu adalah spesis burung yang belum pernah saya lihat. 


Bayan kalung-Ros ~Psittacula karameri betina (Rose-ringed Parakeet) Betina


15 spesis burung itu ialah Bayan Kalung-Ros ~Psittacula karameri betina (Rose-ringed Parakeet),Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven ),Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw), Gagak Carrion ~Curvus corone (Carrion Crow),Magpie Biru Paruh-merah ~Cissa erythrorhyncha (Red Billed Blue Magpie),Magpie Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris(Yellow billed Blue Magpie),Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul),Wren Kerdil Eurasia~Troglodytes Troglodytes(Eurasian Wren),Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper),Cekup Daun Kening-kuning~Phylloscopus inornatus(Yellow browed Leaf Warbler),Cekup Daun Sewarna~Phylloscopus neglectus (Plain Leaf Warbler),Tampung Squacco~Ardeola rallaides (Squacco Heron),Itik Mallard~Anas platyrhynghos (Mallard),Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) dan Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart). 

Bayan kalung-Ros ~Psittacula karameri betina (Rose-ringed Parakeet) Jantan


Lang Pariah ~Milvus m.govinda (Pariah Kite)

Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven )




Lang Pariah ~Milvus m.govinda (Pariah Kite)



Daripada 15 spesis burung itu pula 3 keluarga (famili ) burung tidak terdapat di Malaysia. Burung dari famili Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper), Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) dan Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart). Ketiga-tiga spesis itu mempunyai habitat yang tidak sama dengan keadaan bentuk mukabumi di Malaysia. Burung-burung itu dijumpai ketika ia sedang mencari kehidupan disekitar batu-batuan sungai di kawasan tanah tinggi yang melebihi 2,700 meter dari paras laut. Cuaca disitu mempunyai 4 musim, yang mana pada sepanjang tahun keadaan disitu sentiasa sejuk.


Nota Pemerhatian Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)

Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)


Pengenalan dan ciri-ciri Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Deeper), jantina burung jantan dan betina  mempunyai keseluruhan buluhias berwarna  coklat . Anggota lainnya seperti paruh, sepasang kaki dan sepasang iris matanya turut berwarna coklat. Kelopak matanya mempunyai selaput kalis air yang membantu ia melihat di dalam air ketika memburu mencari makanan. Ketika kerdipan mata dilakukan akan kelihatan bercahaya matanya akibat pantulan terkena cahaya. Memiliki jenis buluhias yang kalis air sepertimana permukaan daun keladi.

Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)


Berdasarkan pemerhatian peribadi, burung ini mempunyai bentuk saiz badan hampir menyerupai burung Kekicau Ekor-pendek~Malacocincla malaccensis ( Short tailed Babbler )yang ada di Malaysia. Ia mendiami di sekitar kawasan batu-batuan disepanjang sungai dan gigi air anak-anak sungai. Kawasan tanah tinggi dan pergunungan yang melebihi 2,500 meter keatas, dari paras laut. Pergerakan dan tingkah laku pergerakannya hampir menyerupai dengan keluarga burung spesis Cemcili ( Forktail ). Setiap kali melakukan pergerakan ia akan menghenjut-henjutkan anggota tubuhnya sambil membuka sayapnya dan dijongkitkan pelepah ekornya yang pendek itu keatas. 

Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)


Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Deeper) ini memiliki keistimewaan dan kelebihan yang ada pada setiap keluarga spesis burung. Bentuk anggota tubuh dan kakinya sama seperti burung passerine yang lain,  tetapi burung ini  berkebolehan dengan cekap melakukan aktiviti mencari makan di dalam air sungai. Ketika ia mencari makan ia akan meredah, berendam, terapong, berenang, menyelam dan berlari di dasar sungai. Dalam pada itu kebolehan  semulajadi burung seperti bersiul, berkicau, berjalan, berlari, melompat terbang dan hinggap tidak berkurangan.Maksud kepada kenyataan itu ialah ia berkebolehan sepertimana burung Grebbi Kecil~Tachybaptus ruficollis (Little Grebe),Pendendang Kosa~Anhinga melanogester ( Darter) dan Burung Kosa Kecil~ Phalacrocorax niger( Little Cormorant). Mencari makanan dengan terapung, berenang dan menyelam di dalam air pada satu jangka tempoh yang agak lama. Kejadian yang dianugerahkan oleh Maha Pencipta kepada burung ini memang menakjubkan. Kebolehan  beriktiar hidup secara cekap samada diatas permukaan tanah atau di dalam air.

Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)

Semasa saya melakukan pemerhatian, keadaan suhu di kawasan anak sungai itu sangat sejuk. Air sungai yang berpunca daripada cairan glasir di pergunungan sememangnya sangat sejuk. Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper) secara berpasangan sedang leka melakukan aktiviti mencari makan dengan meredah , berendam dan menyelam di dalam sungai. Kemudian berjalan, berlari dan melompat-lompat di atas batu-batu sungai. Ketika menyedari  saya cuba menghampirinya,  dengan bingkas pasangan itu terbang menjauhkan diri daripada saya. 

Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)


Pada jarak 50 meter ia hinggap diatas batu di tengah sungai lalu menyambung kembali aktiviti mencari makanan. Diet makanannya adalah dari jenis larva, serangga air pepatung,rama-rama dan anak ikan. Daya tahan kepada kesejukan yang melampau itu dilaluinya tanpa rasa kesengsaraan. Katakan dimusim luruh, salji tebal tentu air sungai akan menjadi lebih sejuk. Hanya berbekalkan dengan buluhias yang membaluti anggota tubuh, bagaimana burung ini dapat menagani suhu sejuk melampau. Diet dari jenis apa yang ia makan membuatkan burung ini berupaya hidup dalam cuaca sejuk.

 


Nota Pemerhatian Burung Ekor Perang Sungai Biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart) 

Pengenalan dan ciri-ciri Burung Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart) , jantina burung jantan dan betina mempunyai warna buluhias yang berbeza warna.Burung jantan keseluruhan bahagian ekor pelepahnya berwarna perang manakala keseluruhan buluhias berwarna  biru kelabu. Paruh, Iris mata dan sepasang kaki bersisik berwarna hitam. Bagi burung jantina betina pula keseluruhan bahagian kepala belakang badan ,sayap dan pelepah ekornya berwarna kelabu cair. Buluhias sekitar tongkeng berwarna putih . Bulahias bahagian bawah paruh membawa ke seluruhan bahagian perut dan cunutnya bercorak sisik seragam tersusun berwarna kelabu cair.Anggota lainnya seperti paruh, sepasang kaki dan sepasang iris matanya turut berwarna coklat. Nama rasmi yang di berikan oleh pihak Jabatan Perhilitan dalam buku Senarai nama-nama burung Semenanjung Malaysia dan Asia Tenggara ialah ialah Burung Murai rintek. Spesis burung ini bukan dari keluarga Murai ( Robin ) tetapi cabang kepada pecahan daripada Keluarga Sambar ( Flycatcher Muscicapidae ) . Ia adalah dari spesis Ekor Perang (Redstart)



Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart)

Bentuk , saiz dan penampilannya menyerupai burung dari keluarga Sambar ( Flycatcher ) yang ada di Semenanjung Malaysia. Mengikut buku rujukan sebelum tahun 2010 spesis ini tergolong dibawah famili Sambar Muscicapidae tetapi setelah saintis avifauna bermaufakat meletakkan spesis ini dibawah genus yang lain. Mungkin atas dasar ia mempunyai pelepah ekor berwarna perang dan mencari makanan dengan menyambar mangsa diruang atas permukaan air sungai. Habitat semulajdinya mendiami dan berkeliaran dikawasan sepanjang anak-anak sungai bentuk mukabumi tanah tinggi pergunungan melebihi 1,500 meter dari paras laut.Melalui pengalaman pemerhatian burung, hampir semua spesis burung yang mendiami dan berkeliarannya di kawasan sepanjang anak-anak sungai, perilaku tabiat spesis burung tersebut akan melakukan pergerakan ekornya. Pelepah ekornya akan dikembang kuncup sambil dijongkit naik turun ketika melakukan pergerakan. Perilaku begitu tidak terkecuali dengan spesis burung Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart) ini. 

Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart) Jantan

Pengalaman membuat pemerhatian spesis ini adalah episod secara nasib baik yang telah banyak kali saya lalui. Episod ini berlaku pada pukul 11:00 pagi di tebing Sungai Sindh Sonmarg, Kashmir India. Pada ketika itu saya sedang leka merakam spesis burung  Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) yang juga berada disekitar tebing sungai. Secara tiba-tiba datang menerpa sekor burung bersaiz kecil berwarna biru kelabu hinggap diatas batu yang berdekatan ditempat saya duduk. Disitu dia berdiri  menjongkit naik turun pelepah ekornya sambil berkicau tanpa menghiraukan saya. Boleh jadi ia sedang mengeringkan buluhias sambil memanaskan badan dari cahaya matahari. Selang beberapa minit ia melompat dicelah batu. yang lagi hampir dari sebelumnya daripada tempat saya duduk. Sebahagian jari kakinya basah ditengelami oleh air sungai. Di celah batu ia berkicau-kicau secara berterusan dan termenung buat seketika. Setelah itu ia melonjak seraya berkepak menuju diatas batu berhadapan dengan saya. Tercegat berdiri disitu sambil menoleh ke arah kiri dan kanan. 



Pada waktu yang sama saya melihat sekor burung berwarna kelabu bahagian dadanya bersisik berdiri diatas batu diseberang sungai. Burung itu melompat terbang hinggap diatas batu ditempat burung biru kelabu berada sebentar tadi. Saya menjadi kelam kabut yang membahagiakan jiwa raga, tidak tahu burung mana yang hendak diutamakan. Beban menanggung perasaan kelam kabut bahagia itu bertambah, apabila sekor burung Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper) hinggap diatas batu berhampiran dengan saya.Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper),Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart)jantan betina dan Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill). Bayangkan saat kejadian itu bilamana  4 burung baharu seakan-akan jinak berada dekat dengan saya pada waktu yang sama. Keputusan fikir saya pada waktu itu merakam burung kecil berwarna kelabu bersisik. 

Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart)


Ketika merakam telinga saya mendengar kicauan burung biru kelabu yang berada bersebelahan ditempat saya duduk. Menukar tumpuan kepada burung biru kelabu pula yang pada ketika itu selesai menoleh arah kiri dan kanan. Sejurus kemudian ia memancutkan najis berwarna putih diatas batu lalu berjalan ke hadapan kemudian terbang menghala kearah hilir sungai Sindh. Melihatkan burung jantan telah terbang, saya memberi tumpuan kepada Burung betina Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart). Tidak lama ia berada diatas batu, ia pun terbang menghala mengikut arah burung jantan terbang.



Nota pemerhatian Burung Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill)

Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill)


Burung spesis  Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) ini adalah dari keluarga (Waders) yang memberi maksud Burung-burung yang mencari makanan dengan cara meredah atau meranduk di dalam air. Ia di dalam kumpulan burung Pepaku ( Godwit) Kendi ( Curlew) Raf ( Ruff) Keriut Ketam (Crab Plover) dan lain-lainnya. Spesis yang dinyatakan itu semua habitat keliaran mencari makanannya ialah dipesisiran pantai berlopak berpasir dan selut . Manakala burung  Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) pula mencari kehidupannya di sepanjang sungai berbatu di kawasan tanah tinggi ,bersalji dan pergunungan. Mengikut buku Senarai nama-nama burung Semenanjung Malaysia dan Asia Tenggara ialah Muara Batu.


Rupa bentuk dan saiznya lebih kurang menyamai Burung Kendi ~Numenius phaeopus (Whimbrel ) dan Kendi Urusia ~Numenius arquata (Eurasian Curlew ). Ciri dan pengenalan burung Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) , ia mempunyai paruh panjang bentuk melengkung ke bawah yang berwarna merah. Buluhias berwarna hitam pada bahagian pipi, kepala dan leher. Buluhias pada bahagian atas dada dalam bentuk separuh bulat berwarna hitam seperti berkalung. Manakala bahagian pelepah sayap dan belakang badan berwarna kelabu cair. Bentuk kuku di jari kaki menyamai bentuk kuku Orangutan~Pongo pygmaeus, tidak seperti bentuk kuku jari Burung Kendi ~Numenius phaeopus (Whimbrel ) yang tumbuh dalam bentuk runcing dan melengkung.

Burung Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill)

Saya menjumpainya di tepi  Sungai Sindh Sonmarg, Kashmir India bersendirian sedang leka mencari makan. Orang yang tidak berpengalaman memerhati burung akan tidak perasan akan kehadiranya kerana burung ini mahir menempatkan dirinya ditempat persekitaran menyerupai warna buluhiasnya. Ia mencari makanan dan berjalan perlahan-lahan dicelah-celah batu. Udara disitu segar dan air sungainya yang jernih sejuk mengalir dari hulu pergunungan berpunca daripada pencairan salji. Saya tidak pasti jenis diet permakanan burung ini apakah sama dengan kumpulan keluarganya yang berada dipersisiran pantai. Barangkali diet permakanannya adalah dari jenis larva serangga air, serangga yang berada dipersisiran tebing sungai, siput atau pun anak-anak ikan.


Burung Kendi ~Numenius phaeopus (Whimbrel ) 

Pemerhatian dan rakaman dapat dilakukan dengan selesa, dimana kehadiran pada jarak yang dikira dekat dengannya tidak memberi ketakutan sehingga ia perlu terbang. Hinggakan saya mempunyai peluang untuk mengalih pemerhatian dan rakaman bilamana ada spises burung lain berada disitu. Saya masih berpeluang menyambung kembali membuat rakaman burung Burung Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) sehingga terpaksa meninggalkannya apabila pemandu pelancong mendesak kepada saya bahawa distinasi perjalanan masih jauh lagi dan peserta lain sedang menunggu saya merakam burung.


Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill)

Ketika saya ingin mencadangkan nama spesis burung ini dengan nama yang sesuai dalam bahasa Melayu, saya tertanya-tanya kenapa agaknya pakar burung terdahulu, tidak menamakan ia sebagai Mountain Whimbrel ,  Hill Whimbrel atau Stream Whimbrel kerana spesis burung ini rupa bentuk dan saiz  hampir menyerupai dengan saiz dan rupabentuk dengan Burung Kendi ~Numenius phaeopus (Whimbrel ). Perbezaan antara mereka adalah  berbeza tempat keliaran mencari kehidupan. Walaupun bentukrupa kedua burung ini hampir menyerupai tetapi antara mereka adalah dari kumpulan keluarga yang berbeza. Burung Kendi ~Numenius phaeopus (Whimbrel ) dari keluarga Scolopacidae manakala  Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill) dari keluarga Recurvirostridae. Merela tidak mahu peminat burung menjadi keliru, seakan-akan keduanya itu datang dari keluarga yang sama. Mereka memilih spesis burung yang mempunyai paruh yang hampir serupa dengan burung Burung Sikendi ( Ibis ) 

Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill)


Nota Pemerhatian Keluarga Burung Gagak 

Selama tempoh percutian yang sekejap di Srinagar Kashmir India, saya berpeluang membuat pemerhatian 5 spesis burung dari Keluarga Gagak. Spesis itu adalah Gagak Rumah~Corvus splendens ( House Crow ) Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven ), Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw) Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos(Large billed Crow/Jungle Crow) dan Gagak Carrion ~Curvus corone (Carrion Crow). 3 daripadanya merupakan burung yang belum pernah saya lihat sebelum ini. Spesis itu ialah Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven ), Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw) dan Gagak Carrion ~Curvus corone (Carrion Crow). Ini bermakna taburan dari pelbagai spesis keluarga Gagak memang banyak disana.

Gagak RavenCorvus corax (Common Raven )

Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven )

Spesis  Gagak RavenCorvus corax (Common Raven ) merupakan burung yang mempunyai saiz bentuk tubuh badan yang paling besar dikalangannnya. Memandangkan spesis ini tidak terdapat di Malaysia, bayangan kepada saiznya ialah saiznya besar sedikit daripada saiz burung Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos(Large billed Crow/Jungle Crow) . Boleh dikatakan saiznya hampir menyamai spesis burung Pemangsa ( Raptor ) . Berdasarkan taburan yang begitu meluas, pada hemat saya , spesis burung ini cepat dan mudah menyesuaikan dirinya dalam apa jua hal keadaan bentuk mukabumi. Apatah lagi burung ini mempunyai diet permakanan yang pelbagai. Ia tidak cerewet memilih makanan seperti mana burung dari keluarga Belatuk dan Puyuh. Saya menjumpainya di dua buah tempat iaitu di Gulmarg dan Sonamarg.

Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven )

Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw)

Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw)

Saya berpeluang merakam burung ini hasil daripada tipudaya saya terhadap jurupandu pelancong dan peserta lain. Dimana saya membuat helah menyatakan kaki saya merasa kurang selesa kerana duduk terlalu lama dalam keadaan sempit untuk satu tempoh yang lama. Saya perlu turun untuk membuat renggangan kaki bertujuan menggerakkan pengaliran darah. Dengan alasan tersebut kenderaan berhenti berehat, dan memberi saya tempoh 10 minit untuk berjalan-jalan membuat renggangan. Dalam tempoh itu saya bersegera ke kawasan pertanian yang  penghasilannya baru dituai. 

Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw)


Disitu kelihatan ada sekumpulan burung yang sedang mencari makanan. Kumpulan burung yang mempunyai keseluruhan buluhiasnya berwarna hitam dan mempunyai iris mata berwarna putih. Bunyi panggilan lebih mirip kepada burung Pucong Kecil~Butorides striatus ( Little Heron ), panggilan not not yang pendek. Bentuk saiz burung ini besar sedikit daripada saiz burung Tiong. Bergerak dalam berkumpulan antara 7 ke 10  ekor. Pada ketika itu sangkaan saya ia adalah spesis burung Perling (Starling). Demi mengelakkan kekecewaan emosi, apa-apa sahaja spesis burung yang dilihat ketika itu pastikan ada rakaman sebagai bukti untuk dimasukkan nota penyenaraian burung-burung.Setelah pulang ke tanahair, ketika membuat pengecaman spesis burung, baru saya mengetahui ia adalah burung yang tidak pernah saya lihat sebelum ini. 


Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw)

Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos((Large billed Crow/Jungle Crow)


Mengikut buku rujukan The Birds of Thai-Malay Peninsula Davids Wells dan The Birds of South of East Asia~Craig Robson nama pengenalan burung Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos ialah Large billed Crow. Walhal di dalam buku The Birds of India And Pakistan karangan Salim Ali & S.Dillon Ripley burung ini menggunakan nama Jungle Crow~Curvus Macrorhynchos. Pada mulanya saya terkeliru ketika ingin mencadangkan nama Bahasa Malayu kepada spesis Jungle Crow~Curvus Macrorhynchos. Pada peringkat awal nama cadangan bahasa Malayu telah diberi dengan nama Gagak Rimba. 

Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos((Large billed Crow/Jungle Crow)

Bagi menambah keyakinan terhadap cadangan tersebut, semakan semula telah dilakukan dengan merujuk buku yang ada. Hasil rujukan tersebut, spesis burung  Jungle Crow dan Large billed Crow adalah spesis burung yang sama. Kekeliruan itu terjadi kerana buku-buku rujukan yang saya gunakan berlainan tahun terbitannya. Sememangnya dahulu nama pengenalan yang diguna pakai adalah Jungle Crow, tetapi nama itu telah ditukar menjadi Large billed Crow oleh saintis dan pakar burung.


Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos((Large billed Crow/Jungle Crow)


Pemerhatian saya menyatakan ada perbezaan perangai dan tingkah laku antara burung di Kashmir dan di Malaysia. Burung di Malaysia akan lebih berwaspada ketika berhadapan dengan manusia ketka berada hampir kepadanya. Ia akan berada dikedudukan yang selamat dan tinggi atau akan segera terbang meninggalkan tempat tersebut bilamana manusia menghampirinya. Manakala burung yang sama di Kashmir India tidak begitu kisah, andaikata kita menghampirinya. Barangkali ia telah terbiasa menyesuaikan hal keadaan sekeliling dengan penduduk yang sangat ramai.





Gagak Carrion ~Curvus corone (Carrion Crow)


Nota Koleksi Keluarga Burung Magpie

Setakat hari ini saya berpengalaman membuat pemerhatian serta rakaman burung dari kumpulan dan cabang kepada  keluarga Magpie. 4 spesis daripada Malaysia, 3 spesis dari Pakistan dan India. Spesis itu adalah Magpai Hijau Borneo~Cissa jefferyi ( Borneo Green Magpie), Magpai Hijau~Cissa chinensis ( Common Green Magpie), Magpie Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris (Yellow billed Blue Magpie), Magpai Biru Paruh-merah ~ Cissa erythrorhyncha (Red Billed Blue Magpie) Magpai Urusia~Pica pica (Eurasian Magpie) dan Magpai Hitam~Platysmurus leucopterus ( Black Magpie).  Nama pengenalan kepada spesis burung yang dinyatakan diatas adalah sama  iaitu" Magpie". Cissa, Pica dan Platysmurus tetapi ia tergolong daripada ranting cabang keluarga Corvidae.

Magpai Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris (Yellow billed Blue Magpie)

Burung dari spesis Magpai ini tergolong dalam  keluarga Corvidae bersama-sama dengan spesis burung Gagak.  Pakar dan saintis telah sebulat suara bersepakat memberikan nama pengenalan  dengan nama Crow kepada spesis Curvus tetapi tidak kepada spesis Cissa, Pica dan Platymurus. Mereka menamakan pula dengan nama pengenalan Magpie kepada spesis Cissa, Pica dan Platymurus. Pekara ini tidak mendatangkan sebarang kekeliruan dan masalah, malah mudah ketika membuat penyediaan laporan. Kebiasaan laporan berbentuk jurnal dan ilmiah itu disediakan dengan menggunakan bahasa Inggeris , tetapi ia akan memberi  ketidak puasan hati yang menimbulkan kekeliruan apabila laporan itu disediakan dengan menggunakan  Bahasa Melayu sepenuhnya tanpa mendapat sokongan daripada bahasa Inggeris.


Magpai Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris (Yellow billed Blue Magpie)


Jikalau begitu mana-mana laporan dan pembentangan berkenaan avifauna tidak dapat menggunakan Bahasa Melayu kerana bakal menimbulkan kekeliruan. Saya ambil satu contoh untuk memberi kefahaman. Untuk makluman nama rasmi yang tertulis dalam buku rujukan Jabatan  untuk keluarga burung ini ialah Gagak Gading~Cissa erythrorhyncha (Red Billed Blue Magpie), Gagak paruh hitam~Pica pica (Eurasian Magpie), Gagak Gunung~Cissa chinensis ( Common Green Magpie) , Gagak Kambing~Platysmurus leucopterus ( Black Magpie) Gagak Rumah~Corvus splendens ( House Crow ),Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos. Dalam ertikata lain ia terlihat spesis Jay, Treepie, Crow dan Magpie adalah sekeluarga rapat, walhal ia cuma pecahan daripada keluarga induk Corvidae.


Magpai Hijau~Cissa chinensis ( Common Green Magpie) Nama didalam buku Jabatan ialah Gagak Gunung

Gagak Rumah~Corvus splendens ( House Crow )



Magpai Biru Paruh-merah ~ Cissa erythrorhyncha (Red Billed Blue Magpie) Nama didalam buku Jabatan ialah Gagak Gading


Magpai Urusia~Pica pica (Eurasian Magpie) Nama didalam buku Jabatan ialah Gagak Paruh Hitam.



Magpai Hitam~Platysmurus leucopterus ( Black Magpie) Nama didalam buku Jabatan ialah Gagak Kambing

Sebab itu sejak  tahun 2009  saya tidak menggunakan nama-nama burung Bahasa Melayu yang diguna pakai oleh pihak Jabatan, kerana ia jelas tidak tepat, langsung mengelirukan. Saya tidak menyatakan itu satu kesalahan tetapi perincian kepada alih bahasa daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu itu perlu diperhalusi menjadi tepat, mudah faham dan tidak mengelirukan. Kita harus sedar dan akui bidang Avifauna ini kita sebagai PENGIKUT bukan sebagai DI-IKUTI. Sejak zaman Mergastua lagi kita mengikut Buku The Birds of Malay Peninsula karangan Robinson & Chesan yang telah di alih bahasakan nama burung kepada bahasa Melayu.Usaha yang dilakukan oleh Saudara Mohd Khan Bin Momin Khan dan Saudara Abdul Rahman Ismail adalah terpuji walaupun terdapat perincian tidak tepat dan kecelaruan keluarga burung. 


Magpai Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris(Yellow billed Blue Magpie)


Pada ketika itu pada hemat saya tidak mengapa kerana sedang mencuba dan belajar. Setelah berpuluh tahun pembetulan dan penambah baikkan harus dibuat terhadap mana-mana kesalahan dan ketidak tepatan. Maka atas dasar itu ikhtiar dan usaha membetulkan apa yang tidak tepat itu saya telah lakukan sejak 10 tahun lalu. Biar saya menjadi Peminat Bidang Burung  yang tidak mempunyai kuasa yang terlihat kurang cerdik, salah, janggal dan aneh namun saya yakin usaha bersendirian itu usaha yang benar.


Magpai Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris (Yellow billed Blue Magpie)


Perbezaan jelas ketara antara Magpai dan Gagak dari sudut persembahan buluhias dan suara panggilan. Gagak memiliki buluhias  cuma satu warna, walhal Magpai mempunyai warna asas Biru, dan Hijau.  Panggilan suara Gagak hanya sejenis sahaja walhal Magpai memiliki bunyi panggilannya pelbagai malah berupaya meniru suara panggil suara burung-burung lain . Didalam penulisan laporan berkenaan avifauna yang ditulis dalam bahasa Melayu, cuma saya seorang diri sahaja yang tidak menggunakan nama burung yang digunakan oleh Jabatan, kepada mana-mana spesis burung yang mengelirukan dan mencampur aduk nama keluarga burung.



Magpai Eurusia~Pica pica (Eurasian Magpie)


Magpai Hijau Borneo~Cissa jefferyi ( Borneo Green Magpie)


Magpai Hitam~Platysmurus leucopterus ( Black Magpie)


Magpai Hijau~Cissa chinensis ( Common Green Magpie)


Nota Terkilan Kerana Tidak Berpeluang Membuat Pemerhatian Spesis Itik Di Tasik Dahl Dan Penerangan Kepada Kepincangan Mencampuk Aduk Nama Spesis Burung Bahasa Melayu. 

Sebelum aktiviti melancong berakhir , kami menginap  di Rumah Bot Di Tasik Dahl dan sampai disana waktu sudah malam. Dalam perjalanan ke situ dari dalam kenderaan saya melihat ratusan burung dari jenis Itik sedang berenang didalam tasik. Saya yakin jika diberi kelapangan melakukan aktiviti pada awal pagi sebelum pulang ke lapangan terbang, tentu saya memperolehi sejumlah besar spesis Itik yang ada disitu. Tetapi pemandu pelancong menyatakan kepada saya tidak perlu pergi jauh kerana di sebelah belakang rumah bot terdapat banyak burung. 





Mempercayakan kata-katanya , selepas solat subuh ketika peserta masih tidur, saya telah keluar mencari burung. Terkilan dan dukacita kerana di kawasan belakang rumah bot umpama kawasan perumahan setinggan di Kuala Lumpur pada tahun 1970an, malah lebih teruk daripada itu. Memburung dicelah-celah  jamban dan rumah penduduk yang sempit dan padat. 









Pada waktu pagi melihat kebiasaan penduduk akan menggunakan jamban dan melalui kawasan sampah yang bersepah. Memandangkan itu sahaja peluang yang ada, maka digagahkan diri mencari spesis burung yang ada dikawasan tersebut. Dalam keadaan sebegitu saya berjaya mendapat 8 spesis burung. Dari lapan spesis burung saya dihadiahkan dengan 3 spesis burung baharu yang belum pernah saya temui. Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul) dan Tampung Squacco~Ardeola rallaides (Squacco Heron). Saya yakin jika diberi peluang memburung di kawasan bukan penempatan manusia di Tasik Dahl, sekurang-kurangnya saya boleh memperolehi 20 spesis burung baharu.


Pasangan Itik yang tidak saya ketahui spesisnya telah dirakam di sekitar Tasik Dal. Saya tidak dapat membuat pengecaman terhadap pasangan Itik tersebut kerana ia tidak disenaraikan didalam buku rujukan.Saya tidak pasti adakah pasangan itik hasil itik kacukan yang dibela oleh penduduk yang mendiami di Tasik Dal. 





Grebbi Kecil ~Tachybaptus ruficollis (Little Grebe)


Tampung Squacco~Ardeola rallaides (Squacco Heron)

Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)

Lang Pariah ~Milvus m.govinda (Pariah Kite)



Pekaka Raya~Alcedo  atthis (Common Kingfisher)


Ciak Rumah~Passer domesticus ( House Sparrow )

 
Selain 3 spesis burung baharu, saya turut melihat burung-burung  yang sering saya lihat di Malaysia. Burung itu ialah Grebbi Kecil ~Tachybaptus ruficollis (Little Grebe),Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen ),Tiong Coklat~Acridotheres tristis ( Common Myna ) Rolla Paruh-merah Eurystomus orientalis ( Dollarbird ). Spesis burung tersebut adalah dari 3 keluarga yang berlainan iaitu Raillidae, Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen ) Sturnidare,Tiong Coklat~Acridotheres tristis ( Common Myna ),Coraciidae , Rolla Paruh-merah~ Eurystomus orientalis ( Dollarbird). 



Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen )


Setelah membuat kajian dan rujukan secara teliti, saya membuat keputusan mengganti 3 nama burung dalam bahasa Melayu yang digunapakai oleh pihak Jabatan. Keputusan fikir yang tegas itu dibuat atas dasar saya enggan mengikut dan menurut maklumat ilmiah  yang jelas tidak tepat dan tidak betul. Saya tidak mahu kekal sampai bila-bila mengikut saja, kepada perkara yang salah dan tidak tepat . Nama pengenalan spesis burung dalam bahasa Melayu yang digunapakai  oleh Jabatan Perhilitan kepada burung Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen ) ialah Tiong Air , Tiong Coklat~Acridotheres tristis ( Common Myna ) adalah Tiong Gembala Kerbau , Rolla Paruh-merah Eurystomus orientalis ( Dollarbird ) pula ialah Tiong Batu. 


Tiong Coklat~Acridotheres tristis ( Common Myna )


Tiong Air, Tiong Gembala Kerbau dan Tiong Batu. Antara ketiga-tiga nama Tiong itu cuma satu sahaja adalah Tiong sebenar iaitu dari keluarga Sturnidae Myna. Pangkal nama bagi setiap burung melambangkan spesis itu dari keluarga  mana. Andaikata penulisan laporan dalam bahasa Melayu disediakan sebegini,  Tiong Air, Tiong Gembala Kerbau dan Tiong Batu. Tidakkah 3 spesis burung ini terlihat mereka itu adalah dari keluarga yang sama? Walhal jikalau laporan yang sama disediakan dalam bahasa Inggeris  ia akan terlihat betul dan tidak meragukan. Hujah fikir saya sepertimana  yang dinyatakan itu membuatkan saya berkeputusan tidak akan mengikuti penggunaan nama-nama burung bahasa Melayu yang memberi kekeliruan dan tidak tepat.,


Rolla Paruh-merah Eurystomus orientalis ( Dollarbird ) 

Kekeliruan dan kesalahan ini telah di sedari oleh Guru saya Saudara Mike Chong sejak 20 , 30 tahun yang lalu. Kemudian dipanjangkan perkara itu kepada saya supaya diusahakan memberi penerangan kepada khalayak dan peminat bidang avifauna. Bertujuan masyarakat sedar  Bahasa Melayu juga turut layak digunakan dalam pembentangan laporan ilmiah tentang burung dalam konteks yang betul. Sama statusnya seperti laporan jurnal ilmiah yang disediakan dalam bahasa Inggeris. Saya pernah berhujah lisan dengan Proffesor Dr.Rosli Bin Ramli pakar Ornithology dari Fakulti Sains Institut Sains Biologi Universiti Malaya berhubung perkara ini. Beliau  menyokong dan bersetuju , malah Dr.David Wells dan Mendiang Dr.Lim Boo Liat turut sama bersetuju atas kekeliruan dan kesalahan yang berlaku. 


Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen )

Melalui kajian saya perkara itu berlaku tanpa dipedulikan oleh sesiapa berpuluh tahun dan tidak  diperbetulkan atas sebab beberapa perkara. 1. Aktiviti Pemerhatian dan merakam gambar burung cuma merupakan bidang hobi masa lapang. 2. Kelab dan Peminat pemerhati burung adalah dikalangan orang orang yang tidak langsung menggunakan bahasa Melayu . 3. Semua bahan rujukan buku panduan mengenal burung yang digunakan oleh mereka  ditulis dalam bahasa Inggeris. 4. Pensyarah, Mahasiswa dan mahasiswi di universiti membuat kajian,mengenal dan membentangkan laporan menggunakan bahasa Inggeris. 5.Penggunaan nama burung dalam bahasa Melayu tersangat jarang digunakan samada dilapangan atau pun dalam laporan. 

Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen ) Juvana  Morhen


Wren Eurasia~Troglodytes Troglodytes(Eurasian Wren)


Wren  Eurasia~Troglodytes Troglodytes(Eurasian Wren)


Burung ini saya temuinya di Gulmarg secara tidak semena-mena ia muncul dari celah batu ditepi sungai. Pergerakannya lincah dan hilang sertamerta dicelah batu anak sungai. Saya tidak berupaya menceritakan hal keadaanya secara terperinci kerana tempoh pemerhatiannya terlalu pendek kurang daripada 30 saat pada jarak yang jauh. Spesis ini dengan pantas menhilangkan diri sejurus mengetahui saya bergerak menuju kearahnya. Boleh jadi burung bersaiz kecil ini melihat objek manusia bersaiz berlipat kali ganda daripada saiznya dalam bentuk yang memberi ketakutan kepadanya. 

Wren Eurasia~Troglodytes Troglodytes(Eurasian Wren)








Kuntum bunga pokok Tirus hutan di Pahalgam Kashmir, merupakan diet makanan kepada burung.

Bunga pokok tirus mengeluarkan lendir getah yang mengeluarkan haruman segar.





Lang Pariah ~Milvus m.govinda (Pariah Kite)






Tarum Siul-biru~Myiophonus caeruleus (Blue Whitsling Thrush)


Cincilai Riang-corek~Garrulax lineatus(Streaked laughing Thrush)


 Itik Mallard~Anas platyrhynghos (Mallard) Jantan Nama yang digunapakai sebagai pengenalan spesis  Itik Melewar


Itik Mallard~Anas platyrhynghos (Mallard) Betina


Cincilai Riang-corek~Garrulax lineatus(Streaked laughing Thrush)


Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)






Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)

Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)



Tit Biru-kelabu~Parus bokharensis(Blue grey Tit)


Tit Biru-kelabu~Parus bokharensis(Blue grey Tit)

Cekup Daun Sewarna~Phylloscopus neglectus (Plain Leaf Warbler)


Cekup Daun Sewarna~Phylloscopus neglectus (Plain Leaf Warbler)



Cekup Daun Kening-kuning~Phylloscopus inornatus(Yellow browed Leaf Warbler)

Cekup Daun Kening-kuning~Phylloscopus inornatus(Yellow browed Leaf Warbler)


Mencari burung di dalam ladang Epal.









Ikan Trout


Ciak Rumah~Passer domesticus ( House Sparrow )

Ciak Rumah~Passer domesticus ( House Sparrow )





Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)

Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)



Tampung Squacco~Ardeola rallaides (Squacco Heron)
Indian Runner Duck








Merpati Batu~Colombia livia( Blue Rock Pigeon )


3 ekor Merpati Batu~Colombia livia( Blue Rock Pigeon ) sebelah kiri





Disenaraikan 27 spesis burung yang saya temui di Srinagar, Kashmir India.

1.Bayan Kalung-Ros ~Psittacula karameri betina (Rose-ringed Parakeet)
2.Lang Pariah ~Milvus m.govinda (Pariah Kite)
3.Tiong Coklat~Acridotheres tristis ( Common Myna )
4.Gagak Rumah~Corvus splendens ( House Crow )
5.Gagak Raven ~ Corvus corax (Common Raven )
6.Gagak Jackdaw~Corvus monedula (Jackdaw)
7.Gagak Paruh Besar~Curvus Macrorhynchos(Large billed Crow/Jungle Crow)
8.Gagak Carrion ~Curvus corone (Carrion Crow)
9.Magpie Biru Paruh-merah ~Cissa erythrorhyncha (Red Billed Blue Magpie)
10.Magpie Biru Paruh-kuning~Cissa flavirostris(Yellow billed Blue Magpie)
11.Merbah Pipi-putih~Pycnonotus leucogenys(White cheeked Bulbul)
12.Tarum Siul-biru~Myiophonus caeruleus (Blue Whitsling Thrush)
13.Wren Eurasia~Troglodytes Troglodytes(Eurasian Wren)
14.Burung Selam Coklat~Cinclus pallasii(Brown Dipper)
15.Cincilai Riang-corek~Garrulax lineatus(Streaked laughing Thrush)
16.Cekup Daun Kening-kuning~Phylloscopus inornatus(Yellow browed Leaf Warbler)
17.Cekup Daun Sewarna~Phylloscopus neglectus (Plain Leaf Warbler)
18.Merpati Batu~Colombia livia( Blue Rock Pigeon )
19.Ciak Rumah~Passer domesticus ( House Sparrow )
20.Tampung Squacco~Ardeola rallaides (Squacco Heron)
21.Pekaka Raya~Alcedo  atthis (Common Kingfisher)
22.Itik Mallard~Anas platyrhynghos (Mallard)
23.Grebbi Kecil ~Tachybaptus ruficollis (Little Grebe)
24.Morhen~Galilinula chloropus (Common Morhen )
25.Paruh Sikendi~Ibidorhyncha struthesii (Ibisbill)
26.Ekor Perang Sungai biru-kelabu~Phoenicurus (Ryyacornis) fuliginosa(Plumbeous Water Redstart)
27.Rolla Paruh-merah Eurystomus orientalis ( Dollarbird ) 

Bahan rujukan

1.Birds of South East Asia~Craig Robson
2.The Birds of Thai Malay Peninsula~David Wells
3.Birds of Pakistan And India~Salim Ali & S .Dillon Repley
4.Senarai Nama-nama Burung Semenanjung Malaysia & Asia Tenggara~Abdul Rahman Ismail

Wasalam..






























No comments:

Post a Comment