Tuesday, 7 October 2025

Siri Mengenal Tumbuhan Liar Tempatan Malaysia Hoya campanulata

Mengenal Tumbuhan Liar Tempatan  Malaysia ~ Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih 


Setiap kali spesis tumbuhan liar tempatan Hoya berbunga , Saudara Dennis Yong  akan segera menghubungi saya.Tujuan beliau adalah untuk berkongsi memanjangkan ilmu pengetahuan yang beliau ketahui untuk disampaikan kepada saya.  Pelajaran yang saya terima daripadanya itu pula  akan didokumen untuk bacaan khalayak dalam bahasa Melayu. Sedapat mungkin maklumat yang disampaikan itu pula, akan maklumkan mengikut perincian pemerhatian peribadi. Ia tidaklah sepertimana tulisan jurnal para Agronomist, Pendidik atau pun Profesor. Ia sekadar penerangan mengikut perincian dan kupasan pada tahap pendidikan orang awam sahaja. 

Sepertimana  yang dinyatakan sebelum ini, maklumat tumbuhan liar spesis Hoya dalam bahasa Melayu sangat kurang dan terbatas. Malah spesis jenis tumbuhan ini saya yakin, pihak yang ada hubung kait dengan tumbuhan tanahair seperti FRIM dan Institusi Pendidikan Tinggi masih belum memberi nama Rasmi Bahasa Malaysia, pengenalan kepada tumbuhan liar ini. Dengan hal keadaan itu maka  tidak ramai warga  tempatan tahu kewujudan tumbuhan ini. Lantaran daripada itu tidak ada kesayangan, langsung tidak  menghargai khazanah tumbuhan liar yang ada di dalam hutan tanahair sendiri. 


Walhal komuniti warga luar negara yang cukup bernafsu besar berlumba-lumba ingin memiliki tumbuhan Hoya. Mereka gembira dan menghargai tumbuhan Hoya supaya dapat  disimpan di dalam halaman kediaman mereka. Rata-rata tumbuhan ini mudah dijaga , rupa bentuknya unik manarik dan baunya harum wangi. Baka-baka tumbuhan yang diambil didalam hutan  kita dibawa keluar  tanpa ada sekatan. Dibiak kemudian dijual secara komersial. Maka rugi lah kita. Dengan itu saya mencadangkan nama pengenalan kepada Genus tumbuhan liar ini ialah Hoya. Nama yang sama pengenalan kepada nama Saintifik.

Ia mudah disebut dan senang diingat. Nama cadangan bahasa Malaysia kepada spesis Hoya campanulata ialah Hoya Mangkuk-putih. Ada beberapa perkataan yang sama yang ada hubung kait kepada rupa bentuk bunga seperti, tudung, kupiah atau topi. saya memilih perkataan Mangkuk berasaskan rupa bentuk bunga mirip kepada perkataan tersebut. Mungkin dimasa hadapan ada pakar tumbuhan mencadangkan nama yang lebih sesuai daripada nama cadangan ini, dipersilakan. Kerana nama cadangan Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih ini adalah bersifat sementara.  

Mengikut maklumat yang disampaikan kepada saya oleh Saudara Dennis Yong , di Semenanjung Malaysia spesis tumbuhan liar Hoya yang telah direkodkan  ada lebih kurang  27 spesis kesemuanya. Dimasa hadapan barang kali jumlah itu akan bertambah sekiranya ada penemuan spesis Hoya yang baharu. Dalam bidang ini perkara itu sentiasa akan berlaku dimasa akan datang.


Usaha Saudara Dennis Yong  mengumpul maklumat tentang tumbuhan ini sedang giat diusahakannya dari masa ke semasa. Pengetahuan dalam perkara untuk mengenal pasti asas setiap spesis tumbuhan Hoya adalah daripada rupa bentuk bunga serta warnanya, bukan dengan melihat rupa bentuk daun. 

Maka untuk mengenalnya adalah satu perkara yang   memang tersangat sukar. Ia hanya dapat dikenal pasti apabila tumbuhan ini berbunga. Kita juga tidak mengetahui masa bila tumbuhan ini berbunga. Kalau pun kita telah mengenal pasti lokasi tumbuhan itu berada di dalam hutan, belum tentu kita akan melakukan tinjauan secara berkala sepanjang masa untuk mengetahui bila masa ia akan berbunga. Andaikata kita telah cekal dan bersungguh melakukan usaha tinjauan, kita masih tidak dapat nampak pada bahagian mana tumbuhan Hoya tersebut mengeluarkan bunga. Kerana tumbuhan ini menjalar merayap bercampur dengan tumbuhan-tumbuhan lain. Kemungkinan ia berbunga dibahagian yang terlindung dari pandangan mata dengan tumbuhan yang lain yang saiznya  besar daripadanya. Jikalau bernasib baik terjumpa bunga Goya di dalam hutan kedudukannya tinggi dan sudut penglihatan tidak dapat melihat rupa bentuknya yang sebenar.Usaha gigih beliau masuk ke dalam hutan mencari spesis tumbuhan liar Hoya ini kemudian membawa pulang bakanya untuk mengenal pasti taburan tumbuhan Hoya dan mengenal pasti spesis ini. Setelah dikenal pasti beliau akan menyerahkan kepada pihak Frim. 

Jumlah jambakan 12 kuntum bunga

Beliau mahu spesis tumbuhan liar tempatan dikenali , dihargai dan menjaganya demi kekayaan sumber alam semulajadi negara kita. Setakat maklumat ini ditulis Saudara Dennis Yong telah mengenal pasti 4 spesis tumbuhan Hoya yang telah berbunga.Hoya lasiantha, Hoya pussila, Hoya coriacea dan Hoya campanulata. Bermakna ada 23 spesis tumbuhan tempatan Hoya yang belum dapat dilihat dengan mata kepala untuk mendapatkan imej bunga dan daunnya.

Sudut pandang daripada atas.


Ciri -ciri Bunga Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih 

Sudut pandang dari bawah, kelihatan kuntum mangkuk melindungi tunas kelopak berbentuk Bintang 5 segi atau Tapak Sulaiman 

Sifat bunga Bunga Hoya campanulata~Hoya Mangkuk putih ini, ia tumbuh bertunas berjambak secara bertangkai pada batangnya yang menjalar. Ia mula mengeluarkan jambak bunga sekitar awal bulan September 2025.Setiap kuntum bunganya itu, berkedudukan terjuntai di tangkai pada batangnya. Panjang tangkai antara batang tumbuhan dengan kuntuman bunga dianggarkan sepanjang 2 inci setengah. Setiap tangkai bersambung pada kuntuman bunga ukuran panjangnya adalah seragam. Warna  keseluruhan setiap kuntuman bunga berasakan warna putih campuran warna gading kesusuan. Jumlah keseluruhan kuntum bunga yang mekar pada satu masa adalah 12 tangkai kuntum bunga. Rupa bentuk kuntuman bunga adalah seperti mangkuk kecil. Saiz ukur bulat  muka bunga adalah sebesar duit siling 20 sen baharu ( Matawang Malaysia ). 


Saiz muka kuntum sama dengan saiz duit siling Malaysia Baharu nilaian 20 sen


Sudut pandang dari bawah .Warna kuntum bunga mekar selepas 7 hari. 

Dibawah kelopak mangkuk ada tunas bunga berbentuk Bintang atau Tapak Sulaiman 5 bucu. Bahagian dalam tunas bunga terkandung tunas bunga yang lebih kecil berbentuk bintang 5 bucu. Rupa bentuk  daun memanjang seperti daun mempelam. Bunga ini mengeluarkan bau yang segar wangi dan sedap dihidu seolah-olah seperti bau cecair penghalau nyamuk dan pacat. Kesemua kuntuman bunga berupaya mekar ditangkai dan mengeluarkan bau selama lebih kurang 7 hari tanpa perubahan warna kepada kuntuman bunga. Selepas 7 hari warna kuntuman bunga berubah kepada warna putih gading.

Saya hanya sekadar pelajar merangkap juru tulis  dalam Bahasa Malaysia kepada segala niat dan cita-cita Saudara Dennis Yong. Semoga dimasa hadapan ada lagi tumbuhan liar Hoya yang akan dimaklumkan. Sekian terima kasih.Wasalam.







































































No comments:

Post a Comment