Tuesday, 2 December 2025

Diari Melawat dan Membuat Pemerhatian Rupa Bentuk Alam Semulajadi Charyn Canyon National Park, Kazakhstan


Diari Melawat dan Membuat Pemerhatian  Rupa Bentuk Alam Semulajadi Charyn Canyon National Park Almaty, Kazakhstan



Saya datang ke Charyn Canyon National Park sekadar memenuhi pakej syarikat perlancongan yang dipilih oleh isteri saya. Bukan  tempat yang membuatkan saya rasa teruja untuk datang menghabiskan masa dan tenaga dalam membuat lawatan pemerhatian bentuk mukabumi disitu. Memandangkan lawatan ke sini telah termasuk didalam pekej,  maka saya lakukan juga. Adalah kurang cerdik jikalau saya tidak melakukannya  kerana  isteri saya telah membayar kos ke sini. Memandangkan pekej lawatan ini hanya disertai oleh kami berdua sahaja, maka digagahkan lah juga, sekadar menemankan isteri. 





Mengikut dalam peta kedudukan Almaty Charyn Canyon National Park ini, dengan Grand Erbil Hotel , Bandar Almaty ia berada dalam satu daerah yang sama. Namun jarak jauh antara Hotel  dengan Almaty Charyn Canyon National Park itu, ia berada sangat jauh iaitu lebih kurang 200 kilometer. Jarak jauhnya umpama dari Kuala Lumpur ke Bandar Kuantan, ia mengambil masa antara 3 atau 4 jam memandu dengan kereta. Masa akan menjadi lebih lama bilamana menggunakan Bas Persiaran atau Van.






Mujur saya ke sana sebagai penumpang dengan menaiki kereta yang selesa, dimana ruang tempat duduk lapang dan tidak pula rasa terhimpit dengan penumpang lain. Bayangkan perjalanan jauh berjam-jam lama dalam keadaan terpasung duduk, tidak banyak pergerakan yang  dapat dilakukan. Kesan kebiasaan yang berlaku terhadap seseorang individu itu, ia akan mengakibatkan lutut menjadi lenggoh, kejang dan kebas. Faktor usia turut menambah ketidak selesaan dan keseksaan kepada anggota badan, andaikata makan dan minum tidak ditadbir dengan baik. Lebih-lebih lagi disini, hentian rehat  melegakan anggota badan untuk menggunakan tandas sangat terbatas. Keadaan sebegini akan lebih teruk jikalau pengujung datang dengan menaiki Van Pelancong atau Bas Pelancong. Maka bersedialah keadaan rasa kurang selesa dan terseksa yang disembunyikan. 



Setibanya di Charyn Canyon National Park setiap pengunjung akan diberi 4 pilihan dalam menjayakan lawatan. Pilihan itu terkait dengan hal keadaan kesihatan , kecergasan diri dan keputusan ramai. Pertama pelancong  boleh berpuas hati hanya dengan berada disekitar kawasan pintu gerbang dengan melihat permandangan sekeliling. Membuat rakaman  foto diri sendiri sebagai pembuktian telah sampai di sini. 


Kedua, menyewa kenderaan rasmi  Charyn Canyon National Park untuk masuk hingga ke hujung dan berpatah balik pada satu kadar sewaan yang sangat murah. Pilihan ke tiga ialah berjalan kaki masuk ke dalam hingga ke hujung, kemudian berpatah balik dengan menyewa kenderaan rasmi. Yang ke 4 , sesuai kepada pengunjung yang mempunyai masa yang banyak dan kesihatan yang baik, iaitu pergi dan berpatah balik dengan berjalan kaki.  Jikalau datang secara berkumpulan tentu sekali Pemandu Pelancong  tidak akan membenarkan pelancong berpecah. Kebiasaan Pemandu Pelancong akan membuat keputusan yang selamat, cepat, senang dan tidak membebankan tugasannya.




Mereka akan menggunakan perkhidmatan pergi balik dengan berkenderaan. Perjalanan berkenderaan dari tempat permulaan hingga sampai ke hujung cuma mengambil masa dalam lingkungan 10 atau 15 minit sahaja. Secara kasarnya pengujung yang menaiki kenderaan pasti akan terlepas pandang banyak reka bentuk unik mukabumi hasil kejadian semulajadi. Sekiranya duduk dalam kenderaan sebelah kiri, individu hanya dapat melihat permandangan disebelah kiri sahaja, begitu juga sebaliknya. 




Melihat dalam bentuk sepintas lalu, pada hemat saya setaraf melihat di dalam siaran YOU TUBE. Walhal individu itu telah pun berada di lapangan dengan menggunakan masa dan wang yang banyak.  Ini merugikan dan ia satu perbuatan yang membazirkan. Kenyataan itu bersifat peribadi sahaja, dan tidak pula menjadi satu keputusan betul atau salah secara rasmi. Setiap individu mempunyai tahap penimbang tara  masing-masing yang membuatkan mereka berpuas hati.





Walaubagaimana setiap pengunjung yang hendak pergi sampai ke hujung wajib menuruni  dan menaiki lebih kurang 300 anak tangga. Tangga kayu itu disediakan untuk memberi kemudahan kepada setiap pelancong . Masa yang diambil ketika menuruni anak tangga tanpa berhenti berehat, adalah lebih kurang 7 minit. Manakala apabila ketika pelancong hendak balik akan menaiki anak tangga tanpa berhenti antara lebih kurang 10 ke 15 minit. Pelancong yang tidak bersiap siaga dengan kesihatan tubuh badan bakal menghadapi masalah sakit lutut dan kepenatan sesak nafas. Semua keadaan begitu dapat dibendung jikalau kita merasa dan mendengar kata diri kita. Berhenti berehat apabila merasa kepenatan dan setelah hilang kepenatan itu sambung semula sehingga sampai ke atas. 





Kami memilih berjalan kaki sehingga sampai ke penghujung. Keputusan fikir itu dibuat kerana telah terlanjur berada disitu, maka saya mahu memaksimumkan lawatan. Lagi pun di Malaysia tidak ada kawasan rupa bentuk mukabumi dari jenis Canyon seluas ini. Hasrat yang bersifat mendatang itu, memaklumkan kepada diri , saya ingin lihat dengan mata kepala dan rasa dengan segala pancaindera yang berhubung kait dengan mukabumi dari jenis Canyon. 



Saya ingin mengetahui dan melihat habitat kehidupan dari jenis tumbuhan, serangga, unggas, reptilia, amphibia, mamalia dan sebagainya, itu pun kalau berkesempatan. Untuk membantu saya melihat apa yang diniatkan itu saya membawa 3 buah kamera Leica D- Lux 8, Canon 7D dan Canom 6D. Ia dipadankan dengan Prime Lensa Canon F 4 300 mm, Canon Micro F 2.8 100mm dan Lensa Canon F 3.5 permukaan lebar .




Perjalanan untuk sampai ke penghujung, saya agak jaraknya kurang lebih 5 kilometer. Berjalan santai sambil membuat rakaman dan pemerhatian-pemerhatian yang bersifat  gerakan rasa hati. Aktiviti itu  mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Walaupun berat menggelek peralatan kamera dalam keadaan cuaca disitu cahaya matahari memancar terik tetapi tidak terasa letih hangat atau panas. Cuaca disini dingin kering dan berangin.  Dengan berjalan kaki dalam keadaan tidak ada sesiapa yang mendesak menyuruh kita cepat , membuatkan saya merasa bebas yang mutlak.  






Mata yang memandang alam sekeliling , sempat  menyuruh otak berfikir itu dan ini. Seluruh kawasan disini lereng tanahnya telah diukir oleh angin sejak ratus atau jutaan tahun dulu. Kelajuan tiupan angin yang sentiasa bertiup dari pelbagai arah seperti telah mengukir membentuk tanah tanih disitu. Ada hembusan angin yang membawa debu melekat pada permukaan dinding curam lalu kekal disitu. Tidak kurang juga tiupan angin kencang yang membawa batu-batu kecil melanggar dinding tanah melonggarkan tanah-tanih lalu berderai berterbangan. Maka wujud lah pelbagai bentuk dan warna yang berlapis-lapis.  



Kemudian air hujan dari atas langit datang menumbuk bumi sehingga tanah-tanih menjadi lembut, lalu larut bersama air yang mengalir.  Sifat air mengalir dari tempat tinggi ke tempat yang lebih rendah secara bertingkat-tingkat bebas hendak pergi ke mana-mana sehingga bertakung. Lama kelamaan ia kering bersama debu tanah ditempat ia berhenti. Maka kejadian perubahan tempat tanah-tanih halus yang larut bersama air itu telah membentuk ukiran dan menambah corak reka bentuk tanah disitu. 




Selepas itu salji pula turun menghempap , lalu ia turut sama membentuk rekaan tanah di kawasan Canyon itu.  Angin, air dan salji akan sentiasa bersilih ganti dan bergilir-gilir datang membentuk corak mukabumi disitu. Bentuk ukiran itu sudah pasti tidak akan ada yang sama dengan yang berada di mana-mana dalam negara lain. Rupa bentuk itu pula akan sentiasa berubah dari masa ke semasa tanpa ada seorang pun yang akan perasan.





Bila melihat anugerah Pencipta Alam yang diberikan kepada negara bekas Komunis ini saya pun mula berfikir dan terkeluar dalam otak saya, dua hujah pandangan. Hujah pandangan pertama; Kawasan ini sejak dulunya dikuasai dan ditadbir oleh  corak pemikiran seperti Vladimir Lenin, Stalin yang berfahaman komunis dibawah Negara  Soviet Union. Rangka corak fikiran rakyat bersama pemimpin mereka itu selama berpuluh-puluh tahun menampakkan kesayangan kepada alam sekitar. Walaupun berpuloh tahun dijajah dengan fahaman Komunis, kemudian selepas 30 tahun negara Kazakhstan merdeka pemimpinnya   masih tetap kekal menjagainya malah tidak sesekali merosakkan. Boleh jadi  pemimpin dan rakyatnya mempunyai rangka minda berfahaman kapitalis sudah lama kawasan ini telah menjadi lombong Bauksit.





Pandangan ke dua; Mana-mana negara dunia ke tiga yang dulunya pernah dijajah oleh Penjajah bercorakkan rangka fikir kapitalis, maka pemimipin dan rakyatnya akan cenderung membuat kerosakkan dan menjahanamkan alam semulajadi negara mereka sendiri. Ada juga Negara ( yang tidak akan disebutkan namanya ) telah dianugerahkan bentuk mukabumi dan sumber alam yang terlebih baik daripada negara Kazakhstan. Malangnya pemimpin Negara itu telah menukar rupa bentuk mukabumi untuk keuntungan jangka pendek atas dasar kemajuan dan keuntungan sementara. Telah pun beribu hektar hutan belentara berserta gunung ganang digondolkan. 



Alam semulajadi Gua Bukit batu kapur diratakan untuk dijadikan simen dan kalau hendak di ceritakan satu persatu pun sangat menyakitkan dan sia-sia belaka.  Lebih baik tidak usah diceritakan. Keuntungan jangka pendek itu pula diberikan kepada syarikat-syarikat kapitalis. Maka habis jahanam bentuk mukabumi dikerjakan secara berebut-rebut oleh syarikat kapitalis silih berganti dari sejak merdeka sehingga lah masa akan datang. Kerana pandangan corak rangka fikir pemimpin dan pentadbir negara tersebut, itu adalah lambang kepada kemajuan yang menguntungkan demi mensejahterakan banyak warga. Apa tidaknya, sejak dari negara merdeka, semua pendidikan dan ilmu pengetahuan berkiblatkan sistem negara yang menjajahnya. Bila ditegur, pemimpin negara tersebut dengan angkuh dan sombongnya mencabar kita supaya pergi lah hidup di mana-mana negara yang lebih baik daripada negara yang sedang kita diami.







Barang kali corak rangka fikir bukan kapitalis sepertimana yang telah dilakukan oleh negara Kazakhstan telah membuahkan hasil. Atas usaha mereka mengekalkan rupa bentuk alam semulajadinya itu, pelbagai pihak dan industri ekonomi berupaya menuai laba  secara tidak putus, selagi negara itu aman damai. Keadaan itu telah mewujudkan rantaian ekonomi domestik seterusnya menghidupkan  modal pusingan yang stabil.  Bermula daripada industri tukaran wang asing, penerbangan, perhotelan, pengangkutan domestik, makan minum, dan dan dan......





Letih otak saya berfikir kepada perkara yang bersifat sia-sia, langsung saya nyahkan fikiran itu hilang lenyap begitu sahaja. Melangkah sambil mendonggak melihat dan merakam alam sekeliling yang rata-rata berwarna kemerah-merahan dari pelbagai bentuk. Lantai tanah kemerahan berdebu kontang tidak banyak tumbuhan, cuma tumbuhan dari jenis rumput rampai yang kasar keras dan berduri. Kawasan alam semulajadinya yang cantik menarik dan unik tetapi tidak sesuai untuk manusia tinggal disini. Sesuai hanya untuk ia dikunjungi dan belajar sahaja.






Lebih kurang 1 jam 30 minit berjalan barulah kelihatan kawasan lembab yang ditumbuhi dengan pokok-pokok dan tumbuhan jenis rumput lalang. Disitu ada sebatang sungai airnya sejuk yang jernih berkaca mengalir deras. Jelas kelihatan batu-batu pada dasar sungai dengan disulami dengan pantulan bayangan warna cahaya tumbuhan di tebing sungai pada permukaan air. Tumbuhan disini bukan berwarna hijau pekat sepertimana di tanahair saya, tetapi lebih berwarna kuning , hijau cair dan ada yang berwarna merah. Saiz pokok pokoknya tidak lah terlalu besar dan juga tidak begitu tinggi yang tumbuh pada kedudukan jarang-jarang. Pemandangan alam semulajadi di Charyn Canyon National Park memang asing pada penglihatan mata kepala saya.







Maka pada mulanya saya rasa melawat ke kawasan ini sebagai suatu usaha lawatan yang sia-sia, rupa-rupanya ia cukup bermakna dan menambah pengalaman ilmu pengetahuan. Katakan saya memilih berkenderaan sampai ke hujung, maka saya rasakan lawatan itu sia-sia dan merugikan. Tempat yang tersangat jauh dari tanahair kemudian menggunakan wang yang mahal dan banyak masa dihabiskan, tetapi tidak dapat melihat perincian apa yang telah saya pandang.


















Lebih istimewa pada ketika saya sampai di penghujung, kawasan di situ sudah tidak ada pelancong lain. Hanya yang tinggal , cuma berdua bersama isteri dan 2 orang pegawai Taman Negera sahaja. Pengunjung yang lain sudah lama pulang meninggalkan tempat itu. Tempoh kekosongan ketiadaan pelancong lain mungkin tidak lama, pada bila-bila masa  pengunjung akan atau sedang dalam perjalanan ke situ. Maka saya menikmati setiap saat hening alam semulajadi yang indah itu.  Termenung, merakam foto , berbual dan mengimbau kembali pengalaman lepas. Keadaan pada ketika itu  seolah-olah kawasan itu sudah menjadi milik kami berdua sahaja. 




Dalam erti kata lain keseluruhan kawasan taman itu telah dikhaskan untuk kami berdua menikmati keindahan untuk dikenang masa akan datang. Hal keadaan yang dianugerahkan seperti itu belum tentu akan dapat berulang lagi. Rasa dan perasaan berdua-duan dikecapi menjangkau lebih kurang 30 minit lamanya. 





Hinggakan  menimbulkan rasa curiga dan tertanya-tanya apakah taman itu telah ditutup kerana hari telah lewat petang. Tidak lama kemudian terlihat debu dari jauh berterbangan diudara. kesan pergerakan kenderaan Taman Negara sedang menuju ke kawasan penghujung bersama pelawat yang baharu . 







Selain tempatnya indah, nyaman dan tenang ia juga sangat bersih daripada sampah sarap. Saya tidak nampak  sampah walau secebis pun disepanjang perjalanan ketika berjalan kaki. Tidak ada bekas botol air atau pelastik jajan yang dibuang bersepah, sepertimana di pusat perlancongan di negara lain yang pernah saya kunjungi.  





Tidak pulak saya ingin berlebih-lebihan dalam memuji akan kebersihan Taman Negara Charyn Canyon Almaty, Kazakhstan. Secara peribadi pada saya tempat ini penanda aras skala tinggi contoh Taman Negara Charyn Canyon yang bersih, nyaman dan indah. Semua kenyataan ini adalah beedasarkan pengalaman hal yang sebenar apa yang saya lihat dan alami ketika berkunjung kesitu. Wasalam.




















No comments:

Post a Comment