Tuesday, 6 June 2017

Pemerhatian Burung Bersarang~Perincit Abu~Ortholomus rufecips



Pemerhatian Burung Perincit Abu~Ortholomus rufecips~ Ashy Tailorbird Bersarang




Tatacara Burung Membuat Sarang

Spesies                                                            : Perincit Abu~Ortholomus rufecips~ Ashy Tailorbird
Lokasi Burung Membuat Sarang                    : Didalam rimbunan Buluh,Taman Wetland, Putrajaya.
Tarikh Menjumpai Sarang                              : 10 April 2017.
Status Sarang Ketika dijumpai                       : Telah siap sepenuhnya.
Usia Anak Didalam Sarang Ketika dijumpai : 3 minggu.
Jumlah Anak Didalam Sarang                       : 3 ekor.
Luas Lubang Sarang                                      : Boleh memuatkan 2 ke 3 ekor anak burung.
Ketinggian Sarang pada tanah                       : 7 meter dari lantai tanah.
Jangkamasa Pembinaan Sarang Siap             : Antara 7 hingga 9 hari. 
Bahan binaan sarang                                      :Bahan yang digunakan adalah terdiri daripada  sabut-sabut lidi tumbuhan yang telah kering, sarang Labah-labah, dan sejenis tumbuhan rumput yang mengeluarkan isi seperti kapas dan kekabu.




Sarang burung Perincit Abu~Ortholomus rufecips ~ Ashy Tailorbird dijumpai pada 10 April 2017, 3 hari sebelum anak burung selamat terbang keluar dari sarang mengikut ibubapa mereka.  Sarang dibina didalam rimbunan buluh dan terlekat pada daun bulua pada ketinggian  7 ke 8 meter dari lantai tanah.  Spesies ini mengunakan kaedah jahitan dan anyaman untuk membinaan sarang mereka yang melekat  pada 2 helai daun buluh.



Kaedah Burung Perincit Abu~~Ortholomus rufecips ~ Ashy Tailorbird membina sarang mereka ada sedikit persamaan dengan keluarga spesies burung Cericap ( Prina ) dan Kelicap Madu ( Spiderhunter ). Mereka  menjahit dan melekatkan binaan sarang mereka pada daun tumbuhan.



Burung jantan dan betina bekerja sama mencari bahan binaan dan menjalankan tugasan membina sarang secara bersama. Pasangan ini akan melubangkan helaian daun dengan kuku jari kaki sebelum memasukkan lembaran-lembaran benang sarang labah-labah pada  daun yang telah berlubang dengan paruhnya. Kaedah jahitan ini berupaya mencantumkan 2 helai daun dan melekatkan binaan sarang pada helaian daun buluh tersebut.




Kemudian tumbuhan seperti kekabu dan kapas dimasukkan bersulamkan dengan sabut-sabut lidi tumbuhan kering secara berlapis-lapis membentuk binaan lubang sarang. Ikatan benang dari sarang labah-labah dijahit bersilang-silang mengukuhkan lagi binaan sarang. Perincian pemerhatian pada sarang ini mendapati terdapat 12 lubang simpulan lubang pada helaian daun disebelah kiri dan 15 lubang simpulan benang pada helaian disebelah kanan.



Sarang yang telah siap sempurna berkeadaan seperti sarang yang dibalut oleh helaian daun buluh. Mengikut pada pemandangan mata kasar biasa, amatlah susah untuk melihat bahawa disitu terdapat sebuah sarang burung. Konsep binaan sarang ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dengan mengaburi pemandangan mata pemangsa. Pemilihan bahan-bahan binaan sarang dari jenis seperti kapas dan kekabu memberi keselesaan kepada anak-anaknya menikmati tinggal dalam sarang yang empuk walaupun berhimpit-himpit.



Burung dewasa sedang mengeluarkan najis didalam lubang sarang



Maklumat Perincian Pemerhatian Burung Membesarkan Anak.

Pemerhatian hanya dapat dilakukan pada 10 April 2017 ,3 hari sebelum anak-anak burung terbang keluar dari sarang mengikut ibubapanya. Pemerhatian yang dilakukan hanya pada sebelah pagi antara jam 9 pagi hingga jam 11:30. Pada hari-hari pemerhatian dilakukan, sepanjang tempoh 2 jam burung jantan betina tidak sekali pun membawa makanan dari jenis tumbuhan buah. Burung dewasa silih berganti tanpa henti datang membawa serangga dalam tempoh kurang daripada 3 ke 5 minit. Antara makanan yang dibawa ialah semut, serangga kecil bersayap, lebah, belalang, rama-rama, cengkerik dan ulat daun.



Lokasi pemilihan membuat sarang yang mempunyai sumber makanan yang mudah dan banyak adalah menjadi faktor utama burung dewasa membuat sarang dikawasan ini. Burung dewasa tidak perlu pergi jauh untuk mencari bahan makanan, hanya berlegar berpusing sekitar kawasan sarang sahaja mereka berupaya mendapatkan berbagai jenis makanan dengan cepat dan mudah. Dalam pemilihan jenis makanan, Burung dewasa tidak memberi tumpuan hanya dari  sejenis serangga sahaja yang dibawanya. Tetapi lebih mengutamakan apa sahaja serangga yang boleh ditangkap ketika keluar mencari makanan.



Pembahagian giliran makan kepada 3 ekor anaknya dibuat berdasarkan kepada perilaku anak-anak burung yang  menjulur mendonggakkan kepalanya dengan paruh ternganga-nganga. Kebiasaan burung jantan dan betina bersilih ganti datang membawa makanan. Tetapi ada juga burung betina dan jantan datang kesarang secara serentak.




Purata kepada pembahagian makanan adalah seimbang kepada 3 ekor anak mereka. Walaupun kelihatan ada ketika ada antara anaknya itu dilihat  kerap disuapkan dengan makanan tetapi jenis makanan yang disuapkan itu adalah dari serangga dan ulat yang bersaiz kecil. Mana-mana anak yang kurang menerima makanan akan disuapkan dengan jenis serangga yang bersaiz besar seperti cengkerik dan rama-rama.



Kekerapan 3 anak-anak burung diberi makan maka sudah  burung akan menghadam makanan dan mengelurkan najis. Najis-najis yang banyak didalam lubang sarang jikalau dibiarkan sudah tentu memberi keadaan tidak selesa kepada anak-anak burung yang tinggal secara berhimpit-himpit. Maka burung dewasa dilihat menyelia kebersihan lubang sarang dengan mengeluarkan najis-najis dari dalam lubang sarang. Najis-najis itu diambil keluar daripada sarang dengan menggunakan paruh dan dibuang keluar.





Kekerapan 3 anak-anak burung diberi makan maka sudah  burung akan menghadam makanan dan mengelurkan najis. Najis-najis yang banyak didalam lubang sarang jikalau dibiarkan sudah tentu keadaan tidak selesa kepada anak-anak burung yang tinggal secara berhimpit-himpit. Maka burung dewasa dilihat menyelia kebersihan lubang sarang dengan mengeluarkan najis-najis dari dalam lubang sarang. Najis-najis itu diambil keluar daripada sarang dengan menggunakan paruh dan dibuang keluar.




Rumusan:

1.Musim membiak burung Perincit Abu ~ Ortholomus rufecips di Semenanjung Malaysia ialah antara pada bulan Mac hingga April.

2.Purata telor yang dikeluarkan antara 2 ke 3 biji.

3.Burung jantan dan betina bekerjasama membina sarang.





4.Burung jantan dan betina juga bekerjasama membawa makanan ke sarang untuk membesarkan anak-anaknya.

5.Tempoh anak burung berupaya terbang keluar dari sarang adalah lebih kurang selama 3 minggu.

6.Spesies ini bijak membina sarang pada kedudukan yang selamat, sempurna dan selesa.




7.Jenis makanan burung ini adalah dari jenis ulat dan serangga sahaja.

8.Paruhnya yang panjang dan runcing memberi kelebihan kepada mereka menjahit dan menyimpul benang sarang labah-labah semasa proses membina sarang.

Wasalam.

Thursday, 1 June 2017

Jasanya Kepada Avifauna


Rakyat Tempatan Yang Banyak Berjasa Memberi Pertolongan Kepada Burung Di Malaysia.


Imej Magpie Hijau~Cissa chinensis  dari dekat.

Sempena memperingati sambutan ulang tahun kelahiran  Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud  ke 59 tahun yang jatuh pada 2 Jun 2017 . Adalah tidak keterlaluan untuk saya menghebahkan sumbangan besarnya dalam bidang Avifauna di negara Malaysia khususnya di negeri Selangor. Adalah menjadi tidak bertanggungjawab jikalau segala maklumat sumbangan beliau ini tidak diwar-warkan kepada masyarakat umum.



Magpie Hijau~Cissa chinensis yang terperangkap ini bersedia untuk dilepaskan kembali dihabitat asalnya.

Maklumat bersifat fakta yang disiarkan ini adalah bertujuan untuk memberitahu kepada khalayak bahawasanya di negara Malaysia juga, memiliki seorang pencinta hidupan liar yang telah banyak berjasa kepada hidupan avifauna. Sumbangan dan jasanya itu sama besarnya sepertimana pencinta hidupan liar yang telah berjasa dari negara Eropah dan benua Asia yang lain. 



Bezanya disini, perkara perbuatan baik yang dilakukannya  selama ini tidak dipandang sebagai satu sumbangan besar kepada hidupan avifauna. Atau mungkin sumbangan beliau itu tidak diketahui oleh masyarakat umum. Kerana sumbangan yang  dilakukannya itu tidak dapat dilihat oleh khalayak manusia. Malah hidupan liar avifauna yang telah menerima jasa sumbangan beliau, sangat mustahil  dapat menghebahkan berita itu kepada dunia.



Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud merupakan seorang peneroka  FELDA yang menetap di Felda Tersang, Raub Pahang. Beliau bertugas sebagai Pengawal Keselamatan  di Stesen Radar Ulu Kali Selangor Darul Ehsan, sejak tahun 2006 sehingga sekarang.   Tempat beliau bertugas itu ( Stesen Radar Ulu Kali,Selangor Darul Ehsan  ) merupakan suatu kawasan penting bagi laluan burung-burung hijrah melintasi Semenanjung Malaysia pada setiap tahun. Biodiversiti kawasan tanah tinggi disitu begitu kaya dengan sumber makanan asli, yang menjadi tumpuan kepada burung-burung tempatan, burung Hijrah dan juga hidupan liar yang lain.


Sepanjang 12 tahun bertugas di situ, beliau telah banyak memberi perlindungan dan menyelamatkan nyawa burung-burung hijrah yang jatuh terdampar kepenatan diatas tanah semasa musim penghijrahan burung. Pada setiap tahun ada sahaja burung-burung terjatuh ke tanah dari pelbagai spesies. Tanpa bantuan beliau, burung yang terdampar kepenatan itu akan mati kesejukan atau menjadi mangsa makanan kepada Musang dan Tikus yang banyak disitu. 



Diwaktu larut malam ketika musim hijrah   , beliau sanggup bangun daripada tidurnya setelah terdengar bunyi burung terlanggar dinding cermin. Dengan tanpa pengetahuan dalam bidang sains veterina beliau berusaha memberi bantuan kepada burung yang kepeningan. Berkat usaha bersungguh-sungguh Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud itu banyak nyawa burung hijrah telah dapat diselamatkan dan dilepaskan setelah burung berupaya terbang kembali. Tidak kurang juga, ada burung yang tidak dapat diselamatkan kerana terlalu parah dan mati sertamerta.

Setiap hari disebelah pagi kerap berlaku burung-burung yang terperangkap didalam stor atau bilik pejabat ketika sedang leka mencari makanan disekitar Stesen Radar Ulu Kali. Usaha menyelamatkan burung-burung di sini seperti telah menjadi tugasan hakiki kepada beliau. Beliau secara peribadi melakukannya atas dasar kasih sayangnya kepada hidupan avifauna. Jasanya itu tidak berkehendakkan mendengar ucapan terima kasih atau apa-apa ganjaran. 


Spesimen burung yang diperolehi daripada Saudara Muhammad Muhir Haji Daud juga telah memberi sumbangan kepada ilmu pengetahuan serta maklumat secara tepat dan terperinci. Bukan mudah untuk memperolehi spesimen burung-burung hijrah untuk dibuat kajian. Hasil maklumat kajian spesimen burung yang diperolehi daripada beliau, telah memberi nilai tambah dan maklumat kepada penerbitan Buku Burung-burung di Semenanjung Malaysia. Hakmilik Kita Yang Terlepas Pandang... Jilid 1, 2 dan 3.

Apa yang menarik tentang Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud, ialah beliau memberi pertolongan tanpa mengira dan mengenal akan sesuatu spesies burung itu.  Walaupun  tidak mengetahui akan setiap nama-nama burung yang diselamatkannya itu, namun beliau amat kenal dengan burung tersebut. Keutamaan kepada beliau adalah memberi pertolongan secara bersungguh-sungguh dengan sebaik mungkin.



Dibawah ini adalah maklumat spesies burung-burung yang pernah diselamatkan oleh Saudara  Muhammad Muhir Bin Haji Daud sepanjang 12 tahun berkhidmat sebagai Pengawal Keselamatan di Stesen Radar Ulu Kali, Selangor Darul Ehsan.

1. Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus
2. Khukhu India~Cuculus micropterus
3.Walit Perut-bersisik~Apus pacificus
4. Lelayang berkilat~Collacalia esculenta
5. Sualo Jelapang~ Hirundo rustica
6.Sualo Pacifik~Hirundo tahitica
7.Burung Tukang kelabu ~ Caprimulgus indicus
8.Merbuk Zamrud~Chalcophaps indica
9.Berlau Sayap-biru~Pitta moluccensis
10.Berlau bertudung~Pitta sordid
11.Sambar Tongkeng-kuning~Ficedula zanthopygia
12.Sambar Mugimaki~Ficedula mugimaki
13.Sambar Besar Niltava~Niltava grandis
14.Tarum Kepala-oren~Zoothera citrine
15.Tarum Siberia~Zoothera sibirica
16.Murai Biru-Siberia~Luscinia cyane
17.Merbah Gunung~Hypsipetes mcclellandii
18.Cekup Daun Gunung~Phylloscopus trivirgatus
19.Kekicau Wren-corek~Napothera brevicaudata
20.Cincilai Riang Kupiah-badam~Garrulax mitratus
21.Cincilai Riang Melayu~Garrulax peninsulae
22.Minla Ekor-badam~Minla strigula
23.Fulveta Sayap-perang~Alcippe castaneceps
24.Sibia Ekor-panjang~Heterophasia picaoides
25.Mesia Telinga-perak~Leiothrix argentauris
26.Perit Kelabu~Motacilla cinerea
27.Magpie Hijau~Cissa chinensis




Beliau seronok memberi  pertolongan kepada makhluk tuhan yang bersayap untuk terus hidup bebas dan beranak pinak.  Namun begitu akan tiba suatu masa nanti apabila beliau  bersara kelak, maka pada ketika itu pasti burung-burung disitu tidak lagi akan mendapat bantuan sepertimana sekarang. Penggantinya nanti  sudah tentu tidak akan melakukan seperti itu lagi, dan besar  kemungkinan  jika berpeluang orang itu akan menangkap semua burung-burung disitu. Samada atas tujuan ekonomi atau pun untuk dijadikan lauk. Andaikata  perkara itu terjadi maka rugi dan malanglah negara Malaysia dari sudut Avifauna.

Allah akan memperkenankan doa  makhluknya yang teraniaya dengan seberapa segera, dan sudah tentu juga Allah  akan memperkenankan doa makhuknya yang telah terlepas daripada maut  setelah diselamatkan nyawanya. Tidak tahulah apa yang telah didoakan oleh burung  kepada Allah untuk diberikan kepada Saudara Muhammad Muhir Bin Haji Daud. ! Wasalam .

Saturday, 27 May 2017

Bintang Lagenda Squash Malaysia~Dato'Nicol David


Terima Kasih ~ Dato' Nicol David Permaisuri Dan Ratu Squash Malaysia. 
Dari Kaca Lensa....




Terlalu banyak kejohanan yang telah kecepinya, barangkali beliau sendiri tidak dapat mengingatinya semuanya. Mungkin beliau sendiri terpaksa mendapat bantuan dengan merujuk Nicol David -Wikipedia.



Tandatangan Dato Nicol David



Bintang Sukan Squash kelahiran negeri Pulau Pinang Dato' Nicol David kini sedang melalui zaman ketidak stabilan prestasinya sehingga beliau berkedudukan di tempat ke 6 dunia. Setelah mengungguli tempat pertama sejak Ogos 2006 sehingga tempat pertamanya dirampas oleh pemain Mesir Raneem El Weleily sekarang. 



Sudah tentu Jurulatihnya, Liz Irving sudah menghidu permasalahan yang sedang dihadapi oleh Dato' Nicol David dan beliau sedang mengatur langkah mengembalikan kecemerlangan beliau. Masalah ini memang lumrah kepada semua Juara yang telah terlalu lama menjadi Juara dalam bidang sukannya. Bayangkan 10 tahun memonopoli sukan Squash Dunia , ia satu jangka masa  yang terlalu lama untuk seseorang individu.



Dalam tempoh itu boleh diumpamakan beliau datang memunggut sahaja hadiah wang kejohanan. Walaupun pesaing-pesaingnya meningkatkan prestasinya namun tidak mampu menundukkan Dato' Nicol David. Ada diantara pesaingnya bersara tanpa menjuarai sebarang kejohanan sepanjang menjadi pemain profesional. Barangkali media masa dan negara pesaing telah berpakat secara terancang untuk menurunkan tahta yang disandang oleh Dato' Nicol David dipersada dunia kerana telah terlalu lama. 





Kita lihat Roger Federer, Rafael Nadal, Novak Djokovic, ~ Tennis.  Dato' Lee Chong Wei,  Lin Dan ~ Badminton.  Contoh ahli sukan yang dinyatakan itu semua telah melalui saat kekecewaan dan merudum tetapi mereka bangkit semula. Mereka mencari fomula dan teknik menjadi juara semula walaupun dalam keadaan usia tidak menyebelahi mereka. Pekara yang sama sedang dihadapi oleh Dato' Nicol David pada waktu sekarang ini. Beliau dan jurulatihnya Liz Ivring sedang   berusaha mencari formula dan teknik bagi mengembali kegemilangannya.



Dalam waktu yang sama, secara peribadi kita tidak boleh menolak akan kehendak hati kecilnya yang telah terahsia lama. Sampai bila beliau harus berkorban sebagai Pemain Squash Proffesional. Lagikan Serena William yang hebat, akhirnya juga membuat keputusan  menangguhkan kariernya buat sementara waktu untuk memberi tumpuan kepada proses melahirkan anaknya setelah dia berumah tangga. 




Pekara yang serupa itu, barangkali sedang dihadapi oleh Dato' Nicol David secara senyap. Tentunya sedikit sebanyak pasti tercetus dalam nalurinya ingin menjadi sepertimana wanita yang lain. Kerana  sejak dari remajanya beliau telah berkorban berlatih dengan berjauhan dengan ibubapa dan sanak saudara semata-mata mengejar impian menjadi juara dunia squash. Kemudian berkorban bertahun-tahun mengelilingi dunia membawa panji negara untuk mengemilangkan tanahairnya Malaysia didalam bidang sukan Squash. Beliaulah melakar peta Malaysia dengan gemilang dalam dunia sukan Squash.



Semenjak Dato' Nicol David mengungguli bidang Squash Dunia dulu, segenap lapisan rakyaat Malaysia akan menerima perasaan gembira bangga keatas setiap kemenangan beliau. Hanya dengan membaca berita didada akhbar rakyat Malaysia turut merasa seronok bangga atas kemenangannya. Dengan susuk tubuh yang kecil berupaya mematikan langkah pesaingnya yang mempunyai fizikal jauh lebih tegap dan sasa.




Boleh dikata sejak 2006 sehingga sekarang rakyaat Malaysia mendapat nikmat manis kemenangan. Rasa kemenangan sukan Squash mengubat rasa luka kecewa  bidang sukan Bolasepak yang merudum jatuh ditangga tercorot. Bayangkan jasa Dato' Nicol David yang telah memberi rasa seronok kepada puluhan juta rakyat Malaysia sejak 10 tahun yang lalu secara berturut-turut. Ini satu jasa yang sangat susah untuk dilupakan.




Kini  berlaku siri kekalahan Dato Nicol David kepada pemain-pemain hebat dari Mesir membuatkan segenap lapisan rakyat Malaysia turut merasa kecewa sepertimana kekecewaan pemain itu sendiri. Kepada rakyaat yang tidak matang maka mereka tentu akan mengata itu dan ini. Tetapi kepada peminat yang matang, kita ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepadanya kerana telah memberikan keseronokan kemenangan yang terlalu lama. 


Delia Arnold bukan pesiang Dato Nicol David.


Pada saya terpulang kepada Dato' Nicol David sendiri, beliau bebas tentukanlah tuju hala karier sukannya sendiri. Untuk berusaha bangkit kembali seperti Roger Federer tentunya akan membuatkan kita sangat gembira. Kerana dalam bidang  sukan kemenangan semata-mata, bukanlah satu keutamaan. Sukan itu pada saya ialah meneruskan persaingan ketahap yang setinggi boleh.




Kita lihat sahaja ahli sukan hebat dunia dalam bidang Bolasepak, pemain lagenda pasukan Roma Francesco Totti masih mampu bersaing pada usia 40 tahun. Pemain Bintang Legenda bolasepak Jepun, Kazuyoshi Miura  masih menjadi pemain bolasepak professional diusia 50 tahun dan masih bercita-cita untuk menyarung jersey pasukan kebangsaan. 








Merlene Ottey di usia 52 tahun masih mewakil negara Slovenia dalam acara berlari pecut 4 x 100 meter dalam kejohanan di Eropah. Contoh paling dekat dengan kita ialah Dato Lee Chong Wei masih mendatangkan rasa gerun kepada pemain-pemain Badminton hebat yang jauh lebih muda daripadanya. Dan beliau bercita-cita untuk mewakil Malaysia dalam sukan Olimpik yang akan datang.





Sikap sentiasa ingin memberi saingan ini merupakan sikap  mulia yang tertinggi dalam bidang sukan. Keutamaan untuk memberi persembahan dan tahap saingan paling tinggi. Menang-kalah, soal wang dan bayaran adalah soal yang ke 3 atau ke 4. 




Tidak pernah menghampakan peminatnya walaupun yang ke 37 ... sedangkan pada ketika itu beliau sedang makan.



Atau Dato' Nicol David sedang mencari penggantinya bagi menyambung batun monopoli dalam bidang Squash Dunia kepada bakat-bakat muda negara. Tugas ini sangat payah untuk atlit muda untuk mencontohi sikap Dato' Nicol David. Mungkin pelapis sediada akan berjaya merangkul banyak kejuaraan dimasa hadapan. Tetapi untuk mencontohi adab serta sikap Juara  Profesional Tulen yang merendah diri dan tidak hidung tinggi seperti Dato' Nicol David amatlah payah. 

















Ia mengikut rasmi padi, lagi berisi , lagilah tunduk ke lantai tanah. Ia mengikut bidalan " Ular berbisa yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Bayangkan sejak berbelas tahun yang dulu , setiap kejohanan yang dirangkul datang bersama dengan hadiah wang tunai. Ditambah dengan tajaan dari Syarikat Gergasi, menjadi Duta Prodak peralatan sukan dan lain-lain ikatan tajaan. Lagi banyak kejohanan yang dimenangi sedikti pun tidak menunjukkan sikap meninggikan diri, apatah lagi sikap angkuh, jauhlah sekali.


Walaupun lama menetap di luar negara tetapi beliau fasih bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.



Syabas dan tahniah kepada Ibubapa Dato' Nicol David dan jurulatihnya yang telah mendidik menjadikan beliau sepertimana beliau sekarang ini.  Berbahagia ibubapanya mempunyai anak seperti ini. Manakala setiap lapisan rakyat Malaysia merasa bertuah mempunyai seorang ahli sukan terulung yang pernah lahir di bumi Malaysia.Wasalam.