Friday, 1 June 2018

Keseronokan ... Menyelamatkan Satu Nyawa.



Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle




Mengikut rekod kejadian kemalangan jalanraya yang melibatkan spesies Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle dalam simpanan saya , cuma sekor sahaja. Kejadian itu direkodkan telah berlaku di jalanraya Bukit Tinggi ke Bentong (Pahang) pada tahun 2014.  Berbanding kekerapan kemalangan kepada spesis Kura-kura atau pun hidupan-hidupan liar yang lain. Ini menunjukan spesies Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle tersangat jarang untuk ia keluar dari kawasan hidupan semulajadinya tanpa sebab. Dari perangkaan itu membuktikan bahawa, untuk kita menjumpai Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle menjadi mangsa kemalangan adalah sangat jarang belaku. Inikan pula boleh dapat menjumpainya  hidup didepan mata. 






Pada 27 hb May 2018 antara jam 2:30 petang, ketika melalui sebatang jalanraya di Jalan Kolam Air Klang Gate Selangor, saya telah menjumpai sekor Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle betina sedang berjalan melintas jalan. Memandangkan keadaan warna dan anggota badannya sama warnanya dengan  permukaan jalanraya. Maka saya menjangkakan keselamatannya bakal terancam jika dibiarkan sahaja dia disitu. Ia terdedah kepada bahaya  menjadi mangsa dilanggar lari oleh kenderaan yang melalui disitu pada bila-bila masa nanti. Dengan segera  saya mengalihkan tumpuan dan menghalang ia meneruskan niat untuk melintas jalan. Menghadang perjalanan dan mengalih laluan supaya menghala kearah ketepi jalan demi keselamatannya.







Kesan dari itu , ia terpaksa menurut sahaja kehendak saya dengan menukar laluan, lalu ia pergi ke sebatang parit yang berada ditepi jalan. Memandangkan parit disitu terlalu sempit dan cetek untuk ia hidup mencari makanan. Maka membuat keputusan  membawanya ke sebatang sungai berhampiran untuk dibebaskan disana. Semasa proses menyelamat saya berpeluang membuat pemerhatian dari dekat akan bentuk anggota tubuh badan, dan serta serba sedikit kelakuan tingkah lakunya. Peluang keemasan seperti ini tidak berlaku hari-hari. Oleh yang demikian  seberapa banyak maklumat tentang Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle telah dicatit sebagai pelajaran ilmu pengetahuan kepada saya.




Dipercayai Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle tersesat ini datang dari anak sungai dikawasan air terjun berhampiran. Tidak pasti apa tujuannya berada diatas permukaan jalanraya. Samada untuk beralih tempat, melarikan diri daripada haiwan pemangsa atau di dalam anak sungai sudah kekurangan sumber makanan.

Bentuk susuk anggota badannya adalah sama seperti spesies Penyu, Kura-kura, Baning dan Tuntung tetapi terdapat kelainan yang cukup jelas diantara mereka. Gambaran yang mudah diperjelaskan kepada Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle ialah seperti seekor Kura-kura yang telah dibalut seluruh anggota tubuh badan dengan daging kulit tebal yang lembut.



Mempunyai cengkerang kulit lembut yang lembab, melekat diatas belakang badan dalam bentuk 4 segi bujur pipih, yang tidak berbucu tajam. Jenis dari kulit cengkerang berongga lembut yang boleh dilentur turun naik atau digerakkan ke kiri dan ke kanan. Terdapat dua bahagian rongga utama iaitu dihadapan dan dibelakang. Bahagian kiri-kanan hadapan terdapat 8 ruas  manakala bahagian belakangnya terdapat duri-duri yang tumpul seperti duri buah Durian Belanda~Annona muricata. Cengkerang berduri dibahagian belakang boleh di lentur turun dan naik, berfungsi sebagai kemudi semasa Lelabi mengubah arah ketika ia berenang.





Kulit tebal lembut berkedut-kedut pada bahagian anggota muka, leher, kaki serta sisi badan berwarna kelabu gelap pekat seperti warna sekor Belangkas~Limulidae. Manakala pada bahagian bawah perut kulitnya kelihatan lembut  berwarna putih sama seperti bahagian perut Ikan Patin~Pangasianodon hypophthalmus atau pun Ikan Baung~Mystus.





Mempunyai batang leher  sepanjang sejengkal yang boleh dijulur keluar dan masuk apabila ada keperluan. Ketika berada di atas darat sangat jarang ia menjulurkan keseluruhan batang tengkuk lehernya yang panjang itu, mungkin memerlukan tenaga. Pada kebiasaannya leher akan menjulur keluar  ketika berada didalam air  ketika bergerak berenang untuk mencari makanan. Ia berupaya menoleh ke kiri kanan, atas atau pun bawah, malah berupaya menoleh memandang dibahagian belakang.




Kekuatan otot yang ada pada batang leher yang panjangnya itu, berupaya membantu  membetulkan dirinya   pada kedudukan terlentang terbalik ke empat-empat kakinya tegak keatas kepada yang asal.  Keupayaan untuk menalangkupkan kembali kepada kedudukan asal badannya  dapat dilakukan untuk tempoh yang begitu singkat. 




Perbandingan  pada perbezaan ciri-ciri khas  diantara Lelabi dengan Penyu, Tuntung, Kura-kura,  dan Baning adalah  pada bentuk hidung serompong kapal dan bentuk kakinya .  Di bahagian mukanya dengan jelas kelihatan terjulur muncung hidung yang panjang seperti  Ikan Tilan~Mastacembelus erythrotaenia sp. atau seperti hidung Tapir~Acrocodia indica. Selain daripada itu spesies Lelabi  hanya dapat ditemui hidup didalam kawasan air sungai tawar , tasik dan kolam sahaja.



Memiliki sepasang kaki pada bahagian hadapan dan sepasang dibahagian belakang. Kaki-kaki tersebut mempunyai 5 jari  bersama kuku tajam. Diantara celah ke lima lima sisi  jarinya itu terdapat pula selaput kulit sama seperti yang ada pada jari kaki Itik dan Angsa sebagai kulit pendayung membantu ia berenang." Selain membantu ia berjalan seperti gaya merangkak diatas permukaan tanah, berenang dan mengorek tanah. Kaki-kakinya itu berupaya memanjat halangan yang rendah.





Kaedah ia menyelamatkan diri daripada haiwan pemangsa atau musuh adalah dengan cara mengorek tanah pasir dan menimbuskan dirinya sehingga hilang dari pandangan. Ia berupaya menimbuskan seluruh anggota badannya dalam tempoh yang sangat singkat pada kedalaman tanah pasir lebih kurang 2 ke 3 inci.




Sepanjang tempoh membuat pemerhatian saya tidak dengar pun akan suara Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle. Apakah ia tidak mengeluarkan suara, sama seperti ikan. Kalau begitu timbul tanda tanya bagaimanakah ia berhubung diantara sesama mereka. Lebih-lebih lagi ketika mencari pasangan untuk membiak ketika tiba musim mengawan. Apakah mereka memang hidup secara berpasangan sepanjang hayat atau mereka akan mencari pasangannya apabila musim mengawan tiba.






Penemuan secara tidak sengaja ini sedikit sebanyak telah menambah ilmu pengetahuan kepada saya tentang spesies ini. Saya sedar masih  banyak maklumat yang belum diketahui tentang kehidupan  Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle  untuk dipelajari dan dikaji. 

Memandangkan kesukaran  menjumpai spesies ini, diharap masyarakat dari kalangan para Nelayan Air Tawar dan Pemancing disaran hendaklah lebih bertimbang rasa terhadap spesies ini. Andaikata  Lelabi Melayu ~ Dogania subplana ~ Malayan Soft shelled Turtle ini  tersangkut pada jaring atau ia termakan mata kail berumpan. Tumpahkah lah rasa simpati dan kasihan kepadanya. Berusaha bebaskan lah ia kembali kepada kehidupan semulajadi mereka. Wasalam.


Friday, 18 May 2018

Maklumat Tepat Tetapi Tidak Begitu Penting...



Pekaka Perang~Halcyon coromanda~Ruddy Kingfisher


Di Semenanjung Malaysia spesies Pekaka Perang~Halcyon coromanda telah dikatogerikan sebagai Burung Tempatan dan Burung Hijrah.  Dari maklumat yang diketahui , burung ini boleh dilihat sepanjang tahun di Air Hitam Dalam Education Forest di Pulau Pinang. Tetapi tidak di negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun ia dikatogerikan sebagai burung tempatan, namun begitu sehingga ke hari ini saya masih belum bernasib baik menjumpainya samada di negeri Selangor atau Kuala Lumpur. Mungkin spesies burung ini mempunyai sifat pandai menyembunyikan dirinya sehingga orang ramai tidak berupaya melihatnya. Rekod lama yang dicatat didalam buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells ada menyatakan  sekor burung juvana Pekaka Perang~Halcyon coromanda  telah ditangkap dan digelangkan kakinya di kawasan hutan bakau di Selangor diluar musim hijrah. Ada juga maklumat penemuan burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda di sekitar kawasan kampus Universiti Malaya Hutan Simpan Hulu Gombak, semasa musim hijrah. 





Saya fikir  burung tempatan Pekaka Perang~Halcyon coromanda ini sudah pupus di negeri Selangor. Oleh yang demikian kita harus menerima hakikat bahawa kita tidak boleh lagi menjumpai burung tempatan itu di sini. (Negeri Selangor) . Semua itu adalah maklumat yang dipetik daripada buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells. Maklumat didalam buku itu telah lama dan sudah tidak boleh digunakan lagi. Ianya telah menjadi maklumat sejarah kepada kehadiran Pekaka Perang~Halcyon coromanda spesies tempatan di Selangor.






Pada 13 April 2018 antara jam 10:40  malam sekor burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda secara tidak sengaja telah melanggar tingkap kaca cermin di bangunan pejabat di Ulu Kali, Selangor. Pelanggaran telah mengakibatkan burung hijrah yang malang itu terhumban lebih kurang 1 meter daripada dinding kaca itu. Kesan pelanggaran itu disedari oleh pegawai bertugas Saudara Mohammad Muhir Bin Haji Daud setelah beliau mendengar bunyi dentuman dari dalam biliknya. Sejurus daripada itu beliau telah membuat pemeriksaan dan mendapati sekor burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda telah tergelempang diatas lantai. Percubaan memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut juga tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Berdasarkan hentakan dikepala dengan bunyi dentuman  yang agak kuat, mangsa telah mati sertamerta.






Pada hari yang sama juga, saya telah menjumpai sepasang spesies burung Berlau Bertudung~Pitta sordid  yang telah mati tergelempang diatas permukaan jalan berdekatan dengan Genting Highland Pagoda. Kemalangan seperti ini sering berlaku disekitar sini tidak kira samada dimusim penghijahan burung atau pun diluar musim hijrah. Mengikut simpanan data peribadi kawasan Ulu Kali Selangor dan Genting Highland Pahang adalah merupakan laluan penerbangan utama burung semasa musim hijrah. 







Pada waktu siang burung-burung pemangsa( Raptor) akan melintas diruang angkasa Ulu Kali & Genting Highland. Manakala pada waktu malam burung-burung dari jenis bukan Raptor pula akan melakukan penerbangan penghijrahan. Mereka menjadikan cahaya terang lampu lempah "spot light " yang dipasang pada bangunan-bangunan dikawasan sini sebagai tuju hala arah pedoman penerbangan mereka. Setiap malam kawasan pergunungan diselaputi oleh kabus tebal bersama tiupan angin kencang.Kemalangan dipercayai disebabkan burung telah tersalah conggak dalam menentukan antara dinding bangunan warna putih yang diselaputi oleh kabus tebal pada waktu malam. 





Beberapa bukti kejadian kemalangan lepas adalah seperti berikut :-

Bangunan Pencawang Telekom

1.Khukhu Jambul Sayap-berangan~Clamator coromandus

Bangunan Radar Ulu Kali

1.Khukhu India ~Cuculus micropterus
2.Berlau Sayap-biru ~Pitta moluccensis
3.Berlau Bertudung~Pitta sordid
4.Sambar Tongkeng-kuning~ Ficedula zanthopygia
5.Sambar Belakang-hijau~ Ficedula elisae
6.Sambar Mugimaki ~ Ficedula mugimaki
7.Tarum Kepala-Oren~Zoothera citrine
8.Tarum Siberia ~Zoothera sibirica
9.Murai Biru-Siberia~Luscinia cyane 

Beberapa spesies burung yang tidak dikenali oleh sipemberi maklumat yang diterima daripada pekerja buruh pembinaan bangunan sedang pembinaan.




Kemalangan yang menimpa burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda  di Ulu Kali ini secara tidak langsung telah mencatit satu rekod penemuan baharu kepada spesies ini. Rekod ketinggian pada penemuan burung yang dicatitkan dalam buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells ialah pada ketinggian 460 meter.





Manakala didalam buku The Field Guide Birds of South East Asia~ Craig Robson menyatakan burung ini boleh dijumpai dikawasan hutan berhampiran sungai pada ketinggian  900 meter. Maka penemuan burung  Pekaka Perang~Halcyon coromanda  di Stesen Radar Ulu Kali pada ketinggian 1,774 meter merupakan satu maklumat rekod baharu kepadanya. Memang diketahui umum pada musim penghijrahan burung , spesies burung tanah rendah berupaya terbang ke kawasan tanah tinggi. Tetapi bukan pada ketinggian 1,774 meter seperti di Stesen Radar Ulu Kali Selangor. Keadaan seperti ini sangat jarang kita ketemui.  






Pada hemat saya banyak ilmu yang boleh dicongkil untuk memperkayakan ilmu dalam bidang ini. Walaupun hasil penemuan itu buat masa kini , dilihat tidaklah begitu penting. Tetapi maklumat hasil penemuan seperti ini adalah tepat dan mutlak.  Sebagai contoh dari sudut pembelajaran , kematian seperti ini harus dimanafaatkan sepenuhnya oleh para pengkaji dan pelajar universiti dalam bidang Ornitology/Zoology . Selain mereka mengetahui perincian ciri-ciri luaran burung secara lebih dekat , penemuan seperti ini berupaya mengetahui banyak maklumat tentang burung itu. Mungkin dari pelbagai jenis diet permakanan , morfologi dan anatomi spesies burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda. 









Memandangkan saya bukannya mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi , hanya berbekal dengan rasa minat dan sifat ingin tahu maka kajian secara ala kadar telah dilakukan. Sebenarnya semua maklumat terhadap spesies ini telah dilakukan oleh pakar dan ianya telah dicatit sepertimana yang ada didalam buku The Birds of Thai ~ Malay Peninsula oleh David Wells. Maka tidak banyak maklumat yang boleh saya kongsikan, cuma maklumat yang tidak penting seperti burung ini mempunyai sepasang sayap yang terdiri daripada 23 bilah pelepah sayap di sebelah kanan dan  23 bilah pelepah sayap kiri. Daripada 23 pelapah itu 11 bilah adalah dari jenis sayap primer dan 12 bilah sayap sekunder. Bermakna burung ini berupaya terbang dengan bantuan daripada  46 bilah pelepah sayap. Manakala bahagian ekor pula, terdiri daripada  12 bilah pelepah ekor.





Dari sudut warna buluhias burung matang, 70% warna buluhias adalah dari warna perang. Calitan kecil secara bertompok bewarna biji kundang cair dibahagian belakang badan serta sayap. Warna putih dan sedikit warna biru cair dibahagian buluhias tongkeng. Dan warna hitam tersembunyi dibawah warna perang pada buluhias dibahagian dada dan perut burung.




Keseluruhan paruh atas dan paruh bawah berwarna oren terang menyamai warna kakinya. Memiliki sepasang keting kaki dengan 4 jari berserta kuku tajam bercangkuk seperti kerambit. Permukaan tapak jari kakinya sama seperti permukaan sesunggut tentacles  sotong. Membantu dirinya bertenggek teguh pada berbagai jenis permukaan ranting walaupun dalam keadaan basah. 
































Maklumat dan imej burung Pekaka Perang~Halcyon coromanda yang dikongsi ini dilakukan atas dasar seronok sendiri, suka-suka dan kurang nilai ilmiah. Walaupun terdapat sedikit maklumat baharu yang dinyatakan tentang burung itu tepat. Tetapi ia tidak begitu penting kepada peminat dan pengemar burung, kerana sebagai besar maklumat telah pun dicatit didalam buku besar tulisan David Wells, Allen J & Craig Robson. Ia sekadar sebagai ulangan dari buku-buku mereka sahaja.




Walaupun begitu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Saudara Mohammad Muhir Bin Haji Daud dan Saudara Pak Long. Mereka  tidak jemu-jemu memberi sumbangan maklumat terhadap kehadiran burung-burung hijrah. Samada  burung-burung yang mendapat kemalangan atau pun tentang kehadiran burung baharu  di sekitar Ulu Kali Selangor.  Wasalam.

Monday, 14 May 2018

Raut Wajah Penghabis Derita...


Raut Wajah Penghabis Derita...



Spesies          : Lotong Chenekah~Presbytis melalophos (Raffles) Banded Leaf-monkey
Individu         : 2 ekor
Tarikh            : 7 Mei 2018
Masa              : 11:00 pagi
Lokasi            : Jalan Ampang ~ Ulu Langat
IUCN red list : Terancam ~ Endangered




Sejak 5 tahun kebelakangan ini  rekod simpanan peribadi berhubung dengan kemalangan jalanraya untuk keluarga spesies Lotong Chenekah~Presbytis melalophos (Raffles) Banded Leaf-monkey menunjukkan kekerapan telah berlaku kepada spesies ini. Semakin hari kawasan hutan telah dibangunkan menjadi jalanraya dan kawasan perladangan. Sumber makanan asli kepada semua penduduk hutan telah terjejas dan berkurangan atas sebab itu. Hendak atau tidak hidupan liar terpaksa menyesuaikan diri mereka dengan seberapa cepat untuk meneruskan kehidupan.



Mereka begerak secara berkumpulan secara bergilir-gilir pada waktu yang sama. Diet ruji mereka adalah lebih tertumpu kepada pucuk-pucuk daun dan buah-buah hutan. Demi kelangsungan hidup  kumpulan Lotong Chenekah~Presbytis melalophos (Raffles) Banded Leaf-monkey akan memanjat , bergayut dan melompat dari satu dahan ke satu dahan. Sekiranya dikawasan tersebut kebetulan ada wayar elektrik dan wayar  telepon, mereka akan menggunakan kebolehan meniti pada wayer untuk menyeberangi jalanraya.




Sekiranya tidak ada , maka mereka terpaksa pula mengambil risiko dengan cara berlari menerpa  tanpa menoleh kiri atau kanan untuk menyeberangi jalanraya. Naah ! pada waktu inilah banyak nyawa haiwan melayang secara percuma. Spesies Lotong Chenekah~Presbytis melalophos (Raffles) Banded Leaf-monkey yang malang ini adalah contoh  kejadian langgar lari yang telah banyak berlaku pada setiap hari dan tidak dilaporkan.



Apa yang menjadi tanda tanya kepada saya ialah spesies ini mempunyai pancaindera seperti mata untuk melihat , telinga untuk mendengar , anggota kaki dan tangan yang berkebolehan mengagak jarak lompatan dari satu dahan ke satu dahan yang lain. Tetapi mereka tidak dapat membuat agakkan tentang laju, dekat atau jauh jarak sesebuah objek yang boleh  memberi bahaya kepada haiwan ini. 






Laporan Bersifat Andaian Berdasarkan Siasatan Ditempat Kejadian.




Pada 7 Mei 2018 antara pukul 12:00 tengahari semasa menunggang motosikal melalui jalan  Ulu Langat ~ Ampang, 500 meter selepas menurun dari menara peninjau Ampang saya terlihat 2 ekor mangsa (Langar Lari) Lotong Chenekah~Presbytis melalophos (Raffles) Banded Leaf-monkey yang telah mati tergelempang ditepi jalan. Seekor bangkai tergelempang dibahagian gigi jalan disebelah kanan jalanraya. Manakala seekor lagi mangsa berada di atas jalanraya di sebelah kiri jalan. Berdasarkan keadaan mangsa , dipercayai kemalangan yang meragut nyawa haiwan ini telah berlaku antara jam 11:00 ~ 11:30 pagi. Andaian ini disokong, berdasarkan darah masih menitik keluar dari mulut mangsa . Dalam pada itu dipermukaan atas jalan keadaan darah masih basah lagi dibeberapa tempat permukaan jalan itu.



Sebagai timbangrasa dan peri kemanusiaan kepada mangsa, saya telah mengalih mangsa dan meletakkannya ditempat yang saya fikirkan sesuai, iaitu dibawah sebatang pokok yang rendang dan tersorok dari pandangan orang ramai. Mangsa pertama beratnya dianggarkan seberat 5 kilogram manakala sekor mangsa lagi dianggarkan beratnya lebih kurang 4 kilogram.


Faktor Kemalangan Hidupan Liar Di jalanraya.

Pembukaan hutan untuk membuat jalanraya merentas didalam hutan dan membangunkan ladang kelapa sawit adalah punca utama, maka ia tidak perlu dihuraikan lagi. Kita cuba melihat faktor manusia merupakan punca utama kejadian itu terjadi.


1.Pemandu kenderaan memandu sambil menggunakan talipon pintar berinteraksi dan pengaruh talipon pintar mereka.

2.Ketika sedang memandu,  diminda pemandu tidak ada bayangan atau sikap kewaspadaan bahawa hidupan liar akan melintas dijalanraya. 

3.Memandu kenderaan terlalu laju dikawasan hutan , ladang kelapa sawit , sungai, paya atau kebun.

4.Pemandu tidak sabar menunggu hidupan melintas jalan.


Tabiat Hidupan Liar Melintas Jalanraya.



Sedikit maklumat kajian peribadi  yang pernah diperhatikan berkenaan perangai dan tabiat hidupan liar melintas jalan terhadap beberapa kelakuan spesies, diharap sedikit sebanyak dapat menghindarkan jumlah kemalangan hidupan liar dimasa akan datang.

1.Spesies Lotong  akan menerepa  keluar dari semak atau rimbunan tumbuhan ditepi jalan berlari melintas secara tiba-tiba untuk menyeberangi jalanraya. Kebiasaannya pada waktu siang dan jarang berlaku pada waktu malam.

2.Spesies Tupai akan berlari sambil melompat kemudian berhenti sejenak dan mengulangi pekara yang sama sehingga sampai keseberang jalan. Kadang-kadang ia akan berhenti kemudian berpatah balik ketempat asal. Kebiasaannya pada waktu pagi dan pertengahan waktu petang.


3.Spesies Biawak akan berjalan perlahan-lahan ketika melintas jalan sehingga sampai diseberang jalan. Kebiasaan pada waktu siang dan jarang melintas jalan pada waktu malam.

4.Spesies mamalia kebiasaan akan melintas jalan pada waktu malam. Ketika melintas atau berada diatas jalanraya mereka akan berjalan seperti biasa dan akan berhenti untuk satu ketika apabila pantulan cahaya lampu kenderaan mengenai mata mereka.

5.Spesies Ular: Mereka melintas jalan tidak ikut waktu, samada pada waktu siang atau pun malam. Mereka akan menjalar pada arah yang lurus untuk melintas keseberang jalan.

6.Spesies Burung Tukang akan duduk diam diatas jalanraya yang sunyi dari kenderaan pada waktu malam. Ia juga sering dijumpai berterbangan rendah disekitar lampu jalan untuk menyambar serangga.  

Spesies Burung Pungguk akan terbang melintas jalan pada waktu malam dikawasan ladang kelapa sawit dan hutan.



Cadangan Cubaan Usaha Untuk Menurunkan Kadar Kemalangan Langgar Lari Hidupan Liar.

Selain menjaga keselamatan diri dan pengguna jalanraya yang lain, setiap pemandu haruslah juga memikirkan tentang hidupan liar. Setiap pemandu hendaklah mengambil tahu akan habitat kehidupan hidupan liar. Sebagai contoh sekiranya mereka memandu kenderaan melalui jalanraya dikawasan lombong, tasik, sungai atau parit hendaklah bersiap siaga akan kemungkinan kemunculan hidupan secara tiba-tiba seperti Kura-kura, Biawak, Ular, Memerang, Cepelai, dan Burung. Manakala memandu dikawasan Hutan dan Ladang Kelapa Sawit hendaklah pula bersiap siaga akan kemunculan berbagai spesies Musang, Kucing , Tenggiling, Babi Hutan, Tapir, Gajah, Burung Pungguk, Kelawar dan sebagainya. Sekiranya kita memberi tumpuan kepada pemanduan dan sentiasa bersiap siaga nescaya kita sempat memperlahankan  atau memberhentikan kenderaan dari melanggar hidupan liar.  Jikalau usaha ini tidak dimulakan daripada sekarang maka setiap hari akan ada sahaja kemalangan langgar lari berlaku kepada hidupan liar kita. Wasalam.