Wednesday 9 September 2015

Membiayai Diri Sendiri Dengan.....



Merbah Telinga-merah~Pycnonotus jocusus


Semasa saya memburung di Taman Rimba Ampang baru-baru ini, saya dapati salah seorang daripada 3 pekerja kontrak yang membersihkan kawasan sekitar tempat tersebut sedang membawa 3 ekor burung spesies Merbah Telinga-merah~Pycnonotus jocusus yang diletaknya didalam bag pelastik. Manakala seorang lagi membawa sangkar berjejari yang telah rosak. Hasil pemerhatian dari jauh, saya dapati mereka sedang berusaha membetulkan sangkar yang rosak, bertujuan mengurung burung yang baru ditangkap oleh mereka dikawasan Taman Rimba Ampang.


Maklumat perbualan saya dengan mereka, burung-burung yang ditangkap itu akan dijual sekiranya ada orang berminat untuk membelinya. Malangnya pada ketika itu , kedudukan kewangan saya tidak mengizinkan bagi mendapatkan burung-burung untuk tujuan melepaskannya. Sebelum ini salah seorang daripada mereka pernah menjual Labi-labi yang ditangkap di dalam sungai. Ini adalah sumber pendapatan sampingan mereka, yang dapat membantu membiayai keperluan harian diri mereka.


Dalam ertikata lain, selain mengerjakan kerja-kerja pembersihan kawasan Taman Rimba Ampang, mereka juga menjadikan hidupan liar yang tidak bernasib baik sebagai sumber mata pencarian sampingan mereka secara sembunyi-sembunyi. Setiap pagi mereka menjalankan tugas menyapu sampah dengan tekun, sambil mata mereka  memerhatikan hidupan liar di sepanjang jalanraya untuk dijadikan tambahan sumber pendapatan mereka. Boleh dikatakan apa sahaja yang dapat dijadikan duit, mereka akan menjualnya. Usaha ini adalah lebih baik daripada mencuri hak milik orang lain.



Disini ada 2 hal keadaan yang berbeza tetapi sama-sama penting kepada kehidupan. Pertama pekerja-pekerja ini sudah tidak lagi menjalankan kerja-kerja yang memberi rugi kepada manusia disekeliling mereka. Tetapi dalam waktu yang sama pekerja seperti ini telah memberi ancaman dan kerugian kepada hidupan liar di kawasan ini.



Memang keadaan sebegini sudah dimaklumi oleh khalayak bahawa ia sememangnya tidak baik untuk Hidupan Liar yang telah dilindungi sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Namun begitu ia tidak akan mendatangkan apa-apa makna sekiranya perlaksanaan untuk menzahirkan undang-undang tidak terlaksana.


Kini barulah saya tahu puncanya mengapa burung amat sukar sekali untuk ditemui di Taman Rimba Ampang dewasa ini. Kalau ada pun, burung-burung sangat takut dengan kehadiran manusia.Wasalam.

No comments:

Post a Comment