Monday, 21 March 2016

Krabu Sare & Pentas Awan @ Pok Eeek ~ Juru Pandu Taman Negeri Gunung Stong, Kelantan.




Siri Ketinggian Akal Budi & Kehebatan Krabu Sare & Pentas Awan @ Pok Eeek.

Saya mengenali beliau sejak tahun 2010 lagi, ketika sama-sama melakukan Survey Hidupan Liar di kawasan hutan daerah Besul dan Jengai Terengganu. Perkenalan dan silaturahim itu dipanjangkan lagi hasil dari jemputan Saudara Krabu Sare kepada saya untuk  mendaki Gunung Stong dan berkayak di sepanjang Sungai Nenggeri Kelantan.


Regu-regu hebat Taman Negeri Gunung Stong , Kelantan.

Sikap , pengalaman , kemahiran hutan dan rasa tanggungjawab yang cukup tinggi membuatkan saya berhasrat mempelawa beliau menjadi teman kepada kumpulan XPDC kajian Burung ke kemuncak Gunung Tahan anjuran Red Door To Hunt. Pelawaan itu telah dimaklumkan 3, 4 bulan lebih awal kepadanya kerana khuatir  beliau tidak mempunyai kelapangan.


Saudara Krabu Sare
Rancangan XPDC ke Gunung Tahan ini telah dirancang pada awal tahun 2015 lagi, untuk memberi masa yang mencukupi kepada semua peserta mempersiapkan diri dari sudut kewangan , tahap stamina dan tahap kesihatan terbaik. Pada ketika itu juga saya dan peserta lain sudah bersedia menerima hakikat bahawa spesis burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis yang dikatakan berada dikawasan kemuncak Gunung Tahan boleh jadi, berjaya dijumpai dan boleh jadi tidak berjaya dijumpai. 


Pentas Awan dari dekat...

Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek

Pentas Awan @ Pok Eeek


Itu semua adalah ketentuan Allah sahaja, apa yang ada pada saya dan peserta lain hanyalah bersiap sedia berusaha bersungguh-sungguh, berdoa untuk kejayaan dan bertawakal sepenuh hati sahaja. Keyakinan saya bertambah tinggi apabila Saudara Krabu Sare menerima pelawaan saya untuk menemankan kumpulan XPDC. Kumpulan ini disertai oleh warga berusia dalam lingkungan 41 hingga 58 tahun.

Sepatu Ajaib Saudara Kerabu Sare

Peserta dikalangan warga emas hanya perlu membawa pakaian , peralatan peribadi masing-masing dan peralatan bantuan kajian mereka sahaja. Selebihnya adalah dibawah tanggungjawab Saudara Krabu Sare dan regunya Saudara Pentas Awan @Pok Eeek.

Kemegahan Khazanah Gunung Stong Kelantan merupakan punca rezeki kepada penduduk setempat yang harus dijaga.
Sepanjang pendakian selama 6 hari , kebiasaannya Saudara Krabu Sare pasti akan sampai terlebih dahulu dengan beban yang dipikulnya 1 jam lebih awal  ditapak lokasi perkemahan. Sesampai ditapak perkemahan beliau akan memasang khemah, mengambil air disungai seterusnya menjerang air untuk peserta menghilangkan dahaga serta kepenatan tanpa peserta tertunggu-tunggu.


Menikmati keindahan alam sambil berehat sebentar.....


Selepas itu beliau akan menanak nasi dan memasak lauk pauk kepada semua peserta untuk makan malam. Entah bila Saudara Krabu Sare dan Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek mencuri waktu berehat saya sendiri tidak tahu. Dari mana datangnya tenaga yang tidak putus-putus sukar untuk dijawab dengan benak akal.
 
 



Sepanjang 6 hari XPDC berlaku beberapa peristiwa yang membuat hati saya teruja hiba dan sebak, diatas sikap mereka berdua. Peristiwa kejadian berlaku di Perkhemahan Botak, dimana seorang peserta XPDC masih belum tiba lagi , walaupun jam ketika itu menunjukkan 7.00 malam. Belum sempat saya menyatakan hasrat kepada Saudara Krabu Sare supaya menjenguk dimana lokasi dan keadaan peserta tersebut.

Krabu Sare berdiri segak megah gagah berlatar belakangkan Air Terjun Jelawang Gunung Stong.

Beliau telah pun siap bergegas turun dengan lampu dikepala untuk mencari peserta yang kelewatan itu didalam kegelapan malam yang sejuk. Apa yang membanggakan, beliau meninggalkan khemah dalam keadaan Khemah telah siap dipasang, makanan dan minum malam telah tersedia.
 


Setelah selesai menyediakan sarapan pagi beliau menemankan kami naik ke kemuncak Gunung Tahan untuk meninjau spesis burung-burung , hidupan liar dan tumbuh- tumbuhan.

Sebelum Krabu Sare turun beliau meyakinkan kepada saya,  bahawa Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek tidak sesekali akan meninggalkan orang dibawah jagaannya dalam apa jua keadaan sekali pun. Kenyataan ini memperlihatkan betapa tinggi harga diri dan tanggung jawab terhadap khidmat seseorang itu. Antara jam 8.00 malam Saudara Krabu Sare tiba dengan mengendung bag peserta XPDC , yang pada ketika itu begitu keletihan sambil diiring oleh Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek, dengan wajah tersenyum.




Semasa di tapak Perkhemahan Kubang, salah seorang peserta XPDC telah kelewatan lagi, dimana peserta lain sudah tiba seawal jam 3 petang. Kali ini, saya pula pergi menjejak peserta XPDC dengan niat menemaninya berjalan menuju ke khemah. Ketika dalam pertengahan trek , saya telah berselisih dengan Saudara Krabu Sare yang terlebih dahulu menjejak peserta yang kelewatan itu. Saudara Krabu Sare sedang turun menuju ke Khemah untuk mengambil Lampu Kepala. Katanya  tidak mahu berjalan didalam gelap ketika memberi bantuan kepada peserta XPDC yang terlewat.


Menunggu peserta lain yang jauh ketinggalan dibelakang

Selang setengah jam berjalan didalam hutan untuk menjejak lokasi peserta yang kelewatan itu, Saudara Krabu Sare telah memintas saya terus menuju kehadapan mendahului saya untuk mencari peserta itu . Setelah berjaya menjejaknya, sekali lagi Saudara Krabu Sare telah mengendung bag peserta yang keletihan berjalan turun  ke tapak perkhemahan sebelum hari menjadi gelap didalam hutan.




Memikul beban yang teramat berat untuk keselesaan kumpulan xpdc, sehingga membuat hati saya sebak dan hiba.



Dihari yang ke 6 perjalanan untuk keluar dari rintis Gunung Tahan, Saudara Krabu Sare telah bersungguh-sungguh menawarkan diri untuk membawa bag salah seorang peserta XPDC bagi melancarkan perjalanan serta memudahkan semua peserta.


Setelah tamat mendengar taklimat daripada Malim Gunung Tahan, Saudara Krabu Sare tidak melinggah-lengahkan masa dan terus memulakan perjalanan turun bermula pada jam 7.30 pagi. Selepas itu saya tidak langsung bertemu dengannya disepanjang perjalanan turun ke tapak perkhemahan Kuala Juram. Saudara Krabu Sare telah sampai ditapak perkhemahan Kuala Juram tepat pada jam 1:00 tengahari, 4 jam awal daripada saya.







Sejurus sampai ditapak perkhemahan Saudara Krabu Sare dan Saudara Pentas Awan@ Pok Eeek bingkas memasang khemah untuk keselesaan peserta.


Dalam kepenatan dan kegelapan malam Saudara Krabu Sare menyediakan lauk makan malam.





Lauk ikan masin bawal yang dimasak oleh Krabu Sare membuatkan saya menjadi tamak secara sembunyi. Mengharapkan peserta lain tidak mengambil lauk ikan masin itu dengan banyak.



Penyediakan ransum makanan yang dilakukan pada awal pagi sebelum  peserta memulakan perjalanan pendakian.

Memasang , membuka dan mengemas sebelum membawa ke tapak lokasi perkhemahan yang lain.
 Setiap kali sebelum meninggalkan tapak perkhemahan Saudara Krabu Sare & Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek akan sentiasa melaksana kerja-kerja pembersihan dengan mengutip semua plastik dan tin dikumpulkan untuk  dibawa turun dari kawasan pergunungan.

Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek walaupun tidak banyak bercakap tetapi beliau mesra apabila diajak berbual.
 Pada hemat saya sejak dahulu lagi, ketika mengenali Saudara Krabu Sare dan Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek Juru Pandu Taman Negeri Gunung Stong Kelantan, telah meletakkan satu tahap Penanda Aras Perkhidmatan  tertinggi yang patut diikuti dan dicontohi. Penanda Aras seperti yang ditunjukkan ini akan sentiasa dihargai dan dikenang. Keadaan sebegini sudah tentu akan meningkatkan lagi industri perlancongan dalam negeri.


Semua kenyataan yang diceritakan ini adalah hasil daripada peristiwa yang benar-benar telah berlaku dan dirasakan didalam hati sepanjang 24 jam/ 6 hari bersama dengan mereka. Ianya juga tidak ditokok tambah atas tujuan-tujuan lain.


Semasa pulang kerumah , baru saya mengetahui bahawa Saudara Krabu Sare menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke 7 tahun didalam Hutan pada 15 March 2016 dengan tidak bersama-sama Isteri dan anak-anak tersayangnya.




Dengan hasil bantuan dan kemudahan yang diberikan oleh Saudara Krabu Sare dan Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek  kepada peserta XPDC , shukur Alhamdulliah peserta telah bernasib baik diberi peluang berjaya melihat dan merakam imej burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis sepertimana yang dirancangkan dahulu. 


Sepanjang pengetahuan ilmu pemburungan burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis~Hill Prinia, hanya boleh dijumpai dikawasan puncak Gunung Tahan  ditanahair kita Malaysia. Ia tidak terdapat dimana-mana kawasan lain di tanahair kita Malaysia.
Yang mana sebelum ini, sepanjang pengetahuan saya belum ada lagi Pemburung Tanahair atau Jurufoto Burung Tempatan yang telah berjaya merakam imej burung dalam keadaan burung bebas liar didalam habitat asalnya.


Dengan rendah hati serta suci hati, sekiranya ada perkataan-perkataan lain yang lebih tinggi maknanya serta lebih baik ucapannya daripada perkataan Terima Kasih, akan saya tuju dan sampaikan kepada Saudara Krabu Sare & Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek. Semoga Saudara Krabu Sare dan Saudara Pentas Awan @ Pok Eeek sentiasa dibawah jagaan dan lindungi dari segala mara bahaya.Wasalam.

No comments:

Post a Comment