Thursday, 31 March 2016

Mencipta Sejarah Peribadi~Burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti- Hill Prinia


Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti~ Hill Prinia



Sebelum imej burung ini dirakam, Guru saya mendakwa belum ada penulis buku atau pun jurufoto burung telah berjaya merakam imej spesis ini dalam keadaan liar dihabitatnya. Imej burung ini merupakan imej julung kalinya telah berjaya dirakam di Malaysia oleh anak tempatan. Saya tidak pasti adakah dakwaan itu benar atau pun tidak.


Tetapi berdasarkan kajian sendiri didalam internet, saya dapati dakwaan Saudara Mike Chong ini memang hampir benar. Kerana tidak ada satu pun imej spesies Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti , cuma imej-imej Cericap Bukit ~ Prinia atrogularis erythropleura, Prinia atrogularis khasiana, dan Prinia atrogularis superciliaris dari sub spesies yang lain. Sekiranya benar, maka saya boleh bersenang hati buat sementara waktu kerana telah berjaya menempa sejarah merakam imej burung ini buat julang kalinya  untuk negara saya Malaysia.



Saya tahu bagaimana perasaan penulis-penulis terdahulu seperti  Herbert Christoper Robinson~ The Birds Of Malay Peninsular ; dan  Guy. Charles Madoc~ An Introduction of Malayan Birds  yang mempunyai keterujaan dan kesungguhan untuk melihat sendiri burung-burung dikawasan sekitar Gunung Tahan.  Saya juga tidak terkecuali, merasakan keterujaan itu sepertimana yang mereka rasakan dahulu.



Usaha dan cita-cita ini telah dipendamkan buat seketika, kerana terpaksa mengumpul dana sendiri dan merancang kesesuai masa untuk mencari burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti di puncak gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.





Rupa-rupanya setelah berpengalaman melihat tuan kepada nama spesies burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti  dan berjaya pula merakam imejnya, barulah saya tahu akan rahsianya. Rahsia berpengalaman melihat dengan mata kepala adalah satu nikmat yang tidak dapat dijelaskan dan dihuraikan dalam bentuk bahasa serta tulisan. Seolah-olah  telah terpilih mendahului Penulis & Jurufoto Burung yang lain untuk melihat burung ini.



Perasaan selesa , seronok dan gembira telah melenyapkan segala kepenatan mendaki dan beban keperitan kehabisan wang ringgit yang banyak.  Walaupun saya gagal  melihat spesies Perincat Coklat~Pyrrhula nipalinsis ~ Brown Bullfinch pada kali ini  tetapi  tidak mengapa. Saya yakin dimasa akan datang akan berjumpa juga  burung Perincat Coklat~Pyrrhula nipalinsis ~ Brown Bullfinch ditempat lain.


Detik Peristiwa Bersejarah.

Setelah 2 hari mendaki  saya hanya diberi tempoh  kurang 48 jam sahaja untuk mendapatnya, jikalau tidak berjumpa salah satu burung tersebut maka XPDC ini akan dianggap gagal. Sesampai sahaja di Kem Botak antara jam 5.00 petang , dalam keadaan keletihan dengan tidak berlengah-lengahkan masa, terus mencarinya disekitar kawasan.


Malangnya ia tidak muncul , keadaan ketika itu hening dan tiada langsung kedengaran akan apa-apa suara kicauan burung. Mungkin  pada waktu petang burung-burung dikawasan ini tidak begitu aktif untuk mencari makan. Cuma apa yang terlihat, beberapa kumpulan burung dari keluarga Walit, dan Suola berterbangan diruang angkasa Gunung Tahan.  Keadaan berbukit-bukit, pada ketika waktu petang sangatlah sejuk dengan angin bertiup kencang.  



Keesokkan hari, pada awal pagi antara jam 7.00 pagi setelah matahari telah mula mengeluarkan cahayanya, tanpa membuang masa terus mencari burung itu ditempat yang sama. Berkeliaran dan memasuki kawasan rimbunan tumbuhan renek, bertujuan mengejutkan burung supaya keluar daripada tempat persembunyian. Suasana hening tiba-tiba dihidupkan dengan suara panggilan burung yang dicari. Sahut menyahut antara satu dengan yang lain.


Buat seketika saya hanya berupaya mendengar sahaja panggilan kicauan suaranya yang datang dari berbagai arah pohonan reba tumbuhan Bonsai. Bunyi panggilan dari arah rimbunan tumbuhan itu bergerak dari satu arah ke satu arah yang lain. Pada ketika itu telinga, belajar dan merakam dengar untuk disimpan kedalam otak akan bunyi kicauan. Sambil  mengekori sahaja bunyi kicauan burung dengan harapan burung terkeluar daripada rimbunan pokok. Berdasarkan suara kicauan , dipercayai ada 3 ekor burung berada dikawasan ini, yang mana antara satu sama lain mereka saling balas membalas sahutan kicauan.


Bunyi kicauannya hampir menyerupai burung Cericap Tembakau-Jawa~Prinia rufescens. Kelakuannya  juga boleh dianggap hampir sama tetapi mempunyai pergerakan yang lebih pantas daripada Cericap Tembakau-Jawa~Prinia rufescens dan Cericap Perut-kuning~Prinia flaviventris.



Saya percaya, akan ada satu ketika burung ini akan keluar juga dari rimbunan tumbuhan dan hinggap diatas pucuk dahan yang agak tinggi untuk memanggil pasangan. Kelakuan seperti ini adalah sama dengan 2 spesiesnya yang lain. Setelah agak lama mengekori suara kicauan, akhirnya seekor burung keluar lalu hinggap pada puncak rimbunan tumbuhan dan berkicau-kicau sambil memandang dipelbagai arah. Bertujuan memanggil-manggil pasangan atau burung bawah jagaannya mengekorinya mencari makanan. Jangkaan saya tepat cuma kita perlu bertenang dan bersabar sehingga detik itu sampai.






Untuk mengelakkan berputih mata disaat  paling berharga yang tidak pasti akan bertemu lagi, maka saya telah membuat persediaan formula pada kamera berdasarkan  keadaan cahaya persekitaran yang menunggu hanya untuk ditekan punatnya sahaja. Akhirnya saat yang dinanti-nantikan itu tiba juga pada jarak yang agak hampir tempat saya menanti. Pada ketika itu debaran jantung berdenyut laju, dengan  serta merta muncung lens terus dihalakan tepat pada arah burung dan.....sejarah peribadi tercipta.


Rakaman untuk mendapat lesen telah diperolehi, namun begitu rakaman imej terdapat gangguan helaian lalang yang sedikit menjejaskan permandangan imej. Pada saya itu adalah adat resam rakaman gaya semulajadi yang harus diterima. Burung itu cuma membenarkan saya menekan hanya 3 rakaman sahaja, kemudian masuk kembali didalam rimbunan pohon.



Disaat itu saya membuat pertimbangan dengan memperjudikan nasib,  untuk mendapatkan rakaman terlebih dulu, walaupun terdapat helaian lalang. Daripada saya beralih lokasi dengan harapan burung masih bertenggek dilokasi yang sama tanpa helaian lalang. Keputusan yang diambil adalah tepat, kerana burung bingkas terbang masuk dibawah rimbunan pokok renek dan tidak keluar buat sekian waktu.


Setelah mendapat imej "Keselamatan " yang juga dianggap sebagai " Lesen ", maka keyakinan saya mula bertambah. Berlandaskan pengalaman yang diketahui terhadap kelakuan dan perangai keluarga burung Cericap. Yang lebih kurang serupa dengan 2 spesies keluarganya yang lain. Maka usaha giat digandakan dengan mencari dan mendengar arah kicauan burung. Dengan tidak semena-menanya terlihat gerakan dari bawah dahan pokok renek. Penglihatan terhad cuma didalam lobang yang terbuka diantara pohon-pohon renek. Jelas kelihatan sebahagian badan burung idaman yang sedang menyisir dan membetulkan bulu hiasnya.


Kelakuan menyisir dan memperkemaskan buluhias dilakukan lebih kurang 3 ke 4 minit. Burung tidak perasan bahawa saya sedang memerhatikan kelakuannya dicelah lubang rimbunan pokok sambil membuat seberapa banyak rakaman yang boleh. Walaupun imej tidak menampakkan keseluruhan bentuk badan, tetapi apa yang penting ialah kelakuan burung ini dapat didokumentasikan.


Dalam pada itu, saya bersiap siaga dan dengan yakin selepas ini pasti ia akan keluar daripada tempat penyisiran buluhiasnya. Peluang keemasan ini harus ditunggu sambil menjangkakan arah mana bakal burung itu akan keluar dan hinggap. Setelah beberapa ketika, jangkaan saya sekali lagi tepat dengan burung terbang lalu hinggap diatas ranting pokok yang berhampiran dengan tempat saya menunggunya. Sistem Formula Kamera telah tepat, cahaya mencukupi, tiada halangan oleh ranting dan daun pada subjek , subjek berada hampir pada saya.


Ketika berada diatas ranting ia berkicau-kicau menghalakan suaranya itu kebahagian hadapan kemudian ia melompat beralih kebelakang seperti memanggil rakan-rakannya. Selepas itu ia terus terbang jauh ditengah-tengah kawasan padang. Dari jauh masih kedengaran kicauannya buat seketika, sehinggalah hilang perlahan-lahan suaranya kerana terlalu jauh. Setelah itu bermulalah episod pencarian dan menunggu  yang membawa perasaan tertekan dan kecewa sehingga membawa ke petang.


Persoalan mengapa nama burung ini ialah Cericap Bukit tetapi tidak Cericap Gunung? Sedangkan ia hanya boleh ditemui dikawasan pergunungan. Pada hemat saya pakar Burung Orang Putih merujuk kepada kawasan lapang yang berbukit-bukit dikawasan tanah tinggi pergunungan. Yang mana kawasan tersebut memang banyak terdapat di negara India, Thailand dan Kepulauan Sumatera tetapi kurang di Semenanjung Malaysia. 
 

Mereka bukannya merujuk kepada kawasan habitat pergunungan berhutan sepertimana burung Perincit Gunung~Ortholomus cuculatus ( Mountain Tailorbird ), Merbah Gunung~Hypsipetes mcclellandii ( Mountain Bulbul ) dan Cekup Daun-Gunung~Phylloscopus trivirgatus ( Mountain Leaf Warbler ) boleh dijumpai. Tetapi mereka merujuk kepada kawasan lapang yang berbukit-bukau dikawasan tanah tinggi pergunungan, seperti di Kem Botak dan kawasan lapang di Kemuncak Gunung Tahan.  


Maka pada hemat saya, sebab itu mereka namakan Hill Prinia bersesuaian dengan habitat ia boleh dijumpai. Saya pernah mencari Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti di Bukit Broga  Semenyih dan Bukit Panorama  Sungai Lembing Pahang, tetapi hanya menjumpai Cericap perut kuning~Prinia flaviventris sahaja. 


Kejayaan peribadi ini dikecapi hasil bantuan dan sokongan daripada Saudara Mike Chong, Saudara Muhammad Muhir Haji Daud, Puan Nor Hibbah Hassan, Saudara Wan Abdullah Bin Yakub @Krabu Sare , Saudara Shafiee Bin Sidek @ Pok Eek dan Saudara Shofee Aki . Diucapkan Terima Kasih.
 
Hadiah kejayaan melihat dan merakam sendiri imej burung spesis Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti adalah suatu kepuasan perbadi yang memerlukan pengorbanan modal wang ringgit yang besar, masa yang panjang ,kudrat stamina yang banyak dan nasib yang baik . Alhamdulliah. Wasalam.

3 comments: