Friday 24 June 2016

Cadangan Sub-Spesies Baharu Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur


Cadangan Sub-Spesies Baharu
Burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur
Nama Inggeris: Olive Backed Sunbird.
Lokasi: Pulau Aur. Mersing Johor Malaysia.
Tarikh: 28 Mei 2016



Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis mempunyai banyak sub spesies yang taburannya agak meluas di kawasan Asia Tenggara & Benua India. Di dalam Buku berjudul The Birds of Thai & Malay Peninsula Vol: 2 tulisan En. David R.Wells ada memaklumkan tentang taburannya di Semenanjung Malaysia. Taburannya meliputi di bahagian kepulauan-kepulauan seperti Pulau Tioman, Pulau Aur, Pulau Langkawi dan beberapa pulau yang lain. En.David R.Wells menggunakan nama saintifik Cinnyris merujuk kepada burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun, manakala buku Bird of South East Asia tulisan En.Craig Robson pula menggunakan nama saintifik Nectarina.



Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur


Saya yakin kedua-duanya betul dan boleh sahaja memilih antara satu. Siapa dan  bila masanya nama saintifik ini ditukar, saya kurang pasti. Atas dasar ilmiah apa, perbezaan pangkal nama saintifik digunakan, juga tidak  saya  ketahui, kerana penggunaan  bahasa Latin. Apa yang penting kedua-duanya adalah merujuk kepada burung yang sama dan saya hanya mengikut sahaja.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ornatus Jantan
Kajian terhadap burung ini telah saya lakukan sejak tahun 2009 lagi dimana data dan imej diperolehi dimerata tempat di Malaysia. Samada di Tanah Besar Semenanjung, Kepulauan Borneo, Pulau Langkawi, Pulau Tuba , Pulau Indah dan akhir sekali di Pulau Aur.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Hasil rujukan dan kajian peribadi  mendapati burung ini mempunyai banyak sub spesiesnya. Antara yang sempat dirujuk ialah Cinnyris jugularis jugularis, Cinnyris jugularis ornatus, Cinnyris jugularis klossi, Cinnyris jugularis plateni, Cinnyris jugularis franatus, Cinnyris jugularis sammaxillaris, Cinnyris jugularis andamanicus, Cinnyris jugularis aurora, Cinnyris jugularis infrenatus, Cinnyris jugularis rhizophorae, Cinnyris jugularis obscurior, Cinnyris jugularis kelansis, Cinnyris jugularis polyclystus, Cinnyris jugularis woodi, Cinnyris jugularis ornata, Cinnyris jugularis prosellus dan Cinnyris jugularis buruensis. 

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Sebelum ini, terdapat maklumat penemuan perbezaan burung sub-spesies  Perincit Leher-gelap~Ortholomus atrogularis atrogularis yang terdapat di Pulau Tioman, Pahang dan tanah besar Semenanjung Malaysia. Penemuan itu  membuktikan pernah ada pengkaji dan peminat burung menjalankan ekspedisi saintifik di Pulau Tioman. Maka hasil penemuan perbezaan  sub-spesies burung itu sehingga ke hari ini telah diiktiraf dan menjadi  ilmu pemburungan kepada  peminat burung tanahair.



Nectarina jugularis ornatus Jantan yang dijumpai di Pantai Jeram Selangor.
Peminat burung juga sedia maklum bahawa burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis juga mempunyai sub-spesiesnya yang tersendiri. Burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis supersiliaris yang berada di Kepulauan Sumatera, Indonesia di sebelah Selat Melaka adalah sedikit berlainan daripada burung Cericap Bukit~Prinia atrogularis waterstradti di Gunung Tahan, Pahang Malaysia.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Kandungan buku tulisan Mr. David R.Wells ada menyatakan tentang taburan burung ini di Pulau Aur, Mersing namun tiada sebarang maklumat tentangnya. Saya beranggapan pengkaji telah sampai ke sana hanya untuk membuat penyelidikan tentang taburannya tetapi terlepas pandang akan perbezaan ciri-cirinya. Mr. David R.Wells tidak menyatakan akan apa-apa perbezaan burung ini sepertimana beliau menyatakan perbezaan burung Perincit Leher-gelap ~ Ortholomus atrogularis annambensis; atau saya yang kurang menyelidik dan tidak tahu akan keputusan penyelidikan mereka.


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur

Pada 28 Mei 2016 yang lalu, saya telah membuat ekspidisi memburung di Pulau Aur Negeri Johor selama 3 hari. Ekspedisi memburung di kawasan persekitaran kepulauan yang paling jauh dengan tanah besar Semenanjung di sebelah Laut China Selatan. Ekspedisi memburung ini menemukan saya dengan spesies burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis  yang berlainan penampilan buluhiasnya. Namun begitu kelakuan dan perangainya serta bunyinya adalah seperti biasa yang kita lihat di Tanah Besar Semenanjung. Saya juga berpeluang melihat burung betina dan anaknya sepanjang kunjungan disana.

Spesies Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ini pada kebiasaan sangat mudah dijumpai, berdasarkan ia mudah dijumpailah maka ia tidak diberi tumpuan sangat terhadapnya. Andaikata saya bersikap sambil lewa dan hanya meneropong sahaja pada ketika itu, maka tidak dapatlah saya menunjukkan bukti perbezaan burung  yang berada di Pulau Aur dengan spesies di Tanah Semenanjung Malaysia.

Hasil bandingan satu persatu  kepada semua sub spesies dengan teliti itu, burung ini tidak menunjukkan persamaan dengan semua sub spesies yang tertera diatas. Setelah puas membuat penelitian berulang-ulang kali, saya dengan yakin mencadangkan terdapat 2 ciri-ciri perbezaan yang ada pada burung yang dijumpai di Pulau Aur. 

Ciri Khas:

1. Dibahagian Kening Burung.

Pertama pada buluhias dibahagian atas mata yang menyerupai seperti, ciri-ciri kening yang lengkap yang  berwarna hitam. Ia bukanlah warna hitam yang bersambungan dengan warna buluhias pada bahagian bawah leher dan bahagian muka burung, tetapi ia adalah memang corak kening yang asal dan sempurna.  

Kening Burung yang jelas kelihatan berwarna hitam.
2. Terdapat warna hijau gelap berkilat pada pelepah ekor burung.

Sebahagian warna pelepah ekor burung mempunyai warna yang hampir serupa dengan warna buluhias dibahagian leher burung jantan. Ciri khas ini adalah ciri yang menyokong kuat kepada cadangan saya bahawa ia adalah sub spesies yang tersendiri yang belum direkodkan lagi.

Warna hijau gelap  berkilat pada  yang boleh dilihat pada sisi pelepah ekor burung.
Saya pasti tentunya akan ada cabaran-cabaran seperti " apakah boleh diambil kira juga jika sedikit perbezaan dibahagian kening yang ada pada burung boleh ia  dianggap sebagai sub spesies ? Jawapan kepada soalan itu saya ajukan kembali kepada cabaran ini dengan jawaban seperti berikut; Bagaimana kita boleh menerima bulat-bulat ilmu dan penetapan yang telah dibuat didalam buku Bird of South East Asia~Craig Robson dan The Birds of Thai & Malay Peninsula Vol: 2 tulisan David R.Wells kepada keluarga spesies burung Pipit [ Pipit ] dan Cekup [ Warbler ].
Burung Betina Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur yang ditemui bersama-sama burung jantan di Pulau Aur.
Dimana perbezaan antara Pipit Richard~Anthus richardi ~ { Richard Pipit }, Pipit Blyth ~Anthus godlewskii~{ Blyth Pipit } dan Pipit Padi~Anthus rufulus { Paddyfield Pipit } sangat sedikit malah hampir tidak dapat dikesan perbezaannya, sekiranya melihatnya dilapangan menggunakan teropong.


Imej burung betina yang dirakam di Taman Melawati Kuala Lumpur.

Walaubagaimana pun masih terlalu awal serta agak keterlaluan untuk saya mencadangkan pengisytiharan bahawa burung yang dijumpai di Pulau Aur merupakan sub spesies Jerijit Suria Belakang-Hijau zaiton  baharu , yang belum direkodkan lagi. 

Imej Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis betina   yang dirakam di Sabah

Pada waktu yang sama saya bercadang akan menggunakan nama saintifik Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~ Nectarina jugularis aur  bagi merujuk kepada burung yang dijumpai di Pulau Aur ini. Menambah perkataan " aur " sempena tempat burung ini dijumpai.


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris di Pulau Langkawi, Kedah.
Cadangan kepada penemuan sub spesies burung yang baharu  ini sebenarnya adalah untuk membuka ruang kepada peminat burung yang lebih berpengalaman luas , untuk menyangkal dengan hujah ilmiah  atau bersetuju dengan cadangan saya ini berserta bukti.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris betina yang dirakam  di Pulau Tuba, Kedah.

Perkara ini pada hemat saya amat baik , untuk kita bersama-sama mempelbagaikan hujah-hujah ilmiah dan mencari bukti demi ilmu pengetahuan bidang pemburungan tanahair. Serta memperkasakan bidang pemburungan tanahair , supaya dapat kita perturunkannya pula  kepada peminat burung yang akan datang.



Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris, Juvana~ Rakaman dibuat di Pulau Langkawi

Dengan cadangan penemuan sub spesies baharu untuk burung Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis aur  ini, maka negara kita terbukti mempunyai kekayaan pelbagai spesies burung. Cuma kita sahaja yang tidak rajin dan berminat seperti orang putih untuk meneroka khazanah alam yang tersedia ada dari pelbagai macam spesies yang ada.


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris Jantan~Rakaman dibuat di Pulau Langkawi
Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis flammaxillaris, Jantan~Rakaman dibuat di Pulau Langkawi


Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ornatus Jantan~Rakaman dibuat di Taman Melawati Kuala Lumpur.

Banyak Khazanah alam telah lenyap tanpa dapat dikesan setelah beribu-ribu hektar hutan yang dihuni oleh hidupan-hidupan kecil dan besar, yang masih belum kita pelajari telah lenyap. Setelah ia ditebang musnahkan oleh " Penganas-Penganas Alam Sekitar " dan digantikan dengan ladang-ladang pertanian dan pembangunan lain.

Jerijit Suria Belakang-Hijau zaitun~Nectarina jugularis ornatus Jantan
Dulunya terlalu luas dan banyak tetapi kini semakin hari semakin berkurangan disebabkan kedungguan sesetengah rakyat sendiri  mengikuti segala telunjuk pembuat dasar yang mempunyai gerak fikir yang cenderung kepada mengutamakan keuntungan yang banyak dan cepat.Sebelum malang yang bertimpa-timpa terjadi lagi kepada khazanah alam tanahair eloklah saya dokumenkan apa yang sempat dikongsikan.  Wasalam.

No comments:

Post a Comment