Wednesday 9 August 2017

Sentausa Ketahtaan Selangor 1898 ~ 1937


Sentausa Ketahtaan Selangor 1898 ~ 1937~ Inilah Ikatan  Kejadian Perzamanan.



Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku Sir Sultan Alauddin Sulaiman Shah ~ Yang Dipertuan Negeri Selangor



Mukadimah

Shukur Alhamdulliah, secara tidak disangka pada 23 Julai 2017 telah mendapat kepercayaan daripada seorang sahabat  yang memiliki buku lama. Dan secara tidak semena-mena telah membenarkan naskah buku lama miliknya itu dibawa pulang untuk dibaca. Keadaan naskah buku itu agak uzur dimana benang pada semua helaian kertas telah tercabut dari tulang buku , halaman kertas terkoyak dan berkelemot. Untuk tidak menambah kerosakan keatas buku tersebut, telah mendapat izin untuk merakam buku tersebut bagi tujuan memudahkan pembacaan. Genap 10 hari iaitu pada 4 Ogos 2017 buku ini telah habis dibaca dan diterjemahkan dalam bentuk tulisan rumi bahasa Malaysia.


Judul Dan Perihal Buku.
Naskah buku ini berjudul Sentausa Ketahtaan Selangor 1898 ~ 1937~ Inilah Ikatan Kejadian  Perzamanan. Ejaan rumi bahasa Melayu untuk perkataan Sentausa yang digunakan pada judul buku ini memberi maksud Sentosa, kerana ejaan huruf jawi melayu memberi bunyi Sentosa. Oleh kerana pada masa itu ejaan huruf rumi dalam bahasa Melayu sangat kurang digunakan dan ianya hanya digunakan untuk ejaan didalam bahasa Inggeris. Maka nahu pada ejaannya  dicetak Sentausa.

Telah dicetak pada tahun September 1937 oleh sebuah Syarikat percetakan The United Press, Penang. Harga jualan yang tercetak pada Buku ini ialah sebanyak $ 1.75 sen senaskah. Mempunyai kulit buku dari jenis tebal, mengandungi 152 halaman muka surat, ia bersaiz 6 x 9 dan dicetak menggunakan tulisan jawi ejaan lama bahasa melayu dicampur sedikit tulisan rumi ejaan Bahasa Inggeris. Pengarang buku ini ialah Tengku Daeng Abdul Hamid Bin Tengku Haji Muhammad Salleh. (Waris Datuk Orang Selangor )



Sinopsis Buku

Ia mengesahkan secara ringkas  Sultan Selangor yang ke 5 iaitu Duli Yang Maha Mulia Paduka Tuanku Sir Sultan Alauddin Sulaiman Shah memberi kemakmuran, kemajuan dan  kebajikan kepada negeri Selangor Darul Ehsan sepanjang 40 tahun pemerintahannya sejak dari tahun 1898 hingga 1937.  Juga matlumat tentang ahli keluarga Sultan, pembantu-pembantu dan Resident British di negeri Selangor. Turut menyelitkan suasana kesedihan , para waris, kenalan dan kepiluan rakyat Selangor diatas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Tuanku Sir Sultan Alauddin Sulaiman Shah


Beberapa Halaman Terjemahan Kandungan Buku Dari Tulisan Jawi Melayu Lama Kepada Tulisan Rumi Bahasa Melayu.


Kulit buku bahagian hadapan Sentausa Ketahtaan Selangor 1898 ~ 1937~ Inilah Ikatan  Kejadian Perzamanan.



Kulit Buku bahagian belakang Sentausa Ketahtaan Selangor 1898 ~ 1937~ Inilah Ikatan Kejadian Kejadian Perzamanan Duli Yang Maha Mulia Paduka Tuanku Sir Sultan Alauddin Sulaiman Shah 40 tahun bersemayam diatas singgahsana tahta Kerajaan Selangor Darul Ehsan.





Muka Surat 5.

Riwayat Perjalanan Hayat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Alauddin Sulaiman Shah Yang DiPertuan Selangor Darul Ehsan.



Sebermula adapun Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Sultan Alauddin Sulaiman Shah Ibni Al Marhum Raja Muda Musa G.C.M.G & K.C.Y.O Sultan dan Yang Dipertua Negeri Selangor Darul Ehsan ini telah diputerakan pada hari Isnin 19 Rabiul Akhir 1272 bersamaan 11 Sept 1865 di Kampong Tengah, Kuala Selangor.

Sanya dari masa kecil Duli Yang Maha Mulia telah tahu berkata-kata, diadakan Maha Mulia Paduka Ayahandanya seorang guru di Rongnya sendiri mengajar Yang Maha Mulia pelajaran Bahasa Melayu sehingga pandailah Baginda disitu. Maka Paduka ayahanda yang Mulia sekarang pun beralih tinggal ke Singapura. Sementara padam api yang bernyala didalam Selangor pada masa itu. Lalu disuruhkan pula Paduka Ayahandanya yang  Maha Mulia ini mengaji Bahasa Inggeris ke sekolah Raffles di Singapura.

Pada masa Yang Mulia Tengku Musa Paduka ayahanda Duli Yang Maha Mulia berkedudukan di Singapura itu, barulah bantuan pula daripada kerajaan Singapura sebanyak $ 500.00 persantapan tiap-tiap bulan. Dengan hal ini menambah-nambah keadaan al marhum itu dengan mendapat pula sebidang tanah luasnya 50 ekar iaitu di Kandang Kerbau. 

Dijadikan oleh Yang Maha Mulia itu ladang bercucuk tanam, ialah ditempat perlumbaan kuda di Singapura yang dahulu itu. Tetapi sayanglah rasanya tanah yang sebegitu luas lagi tempat kedudukannya ditengah-tengah negeri Singapura itu telah dijualkan masa dahulu. Sekiranya kalau ada lagi hingga sekarang alangkah beruntung anak cucu al marhum itu ke masa ini.

Maka didalam masa Yang Maha Mulia ini mengaji di Singapura itu tidaklah dipadakan oleh Paduka Ayahandanya yang dikasihi itu kadar sekolahnya itu sahaja. Sesungguhnya dihantarkan juga Yang Maha Mulia ini belajar perihal membuat gula daripada tebu, dan segala pengurusan bercucuk tanam, aturan membuat ladangnya Kekali Dunia Estet di Selangor. Demikian lagi berlajar bersawah atau berhuma padi serta bertanam kelapa jua kerana semasa itu Yang Maha Mulia sekedudukan dengan Paduka Ayahandanya di Singapura sambil mengaji dan belajar jua akan apa-apa pekerjaan yang difikirkan oleh Paduka Ayahandanya yang mendatangkan kebajikan pada masa yang akan datang kelak.

Ada beberapa tahun lamanya Duli Yang Maha Mulia di Singapura pergi melawat ke Kerian, Negeri Perak kerana melihat keadaan orang-orang Melayu persawahan yang dijajahan itu pulang dari Kerian Perak. Pergi pula Duli Yang Maha Mulia melawat Kekali Dunia Estet. Kerana hendak memuaskan penglihatannya perihal membuat gula itu.

Hatas pada tahun masihi 1875 datanglah surat jemputan dari bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad Selangor kepada Yang Maha Mulia Tengku Musa ialah Ayahanda kepada Yang Maha Mulia sekarang iaitu menyilakan dia datang ke Selangor. Setelah itu berangkatlah Yang Maha Mulia Tengku Musa bersama dengan anakandanya Yang Maha Mulia sekarang pulang ke Selangor. Telah datang ke Selangor, lalu dikurniai oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad akan Yang Maha Mulia ini Yang Dipertua Majlis Masyuarat atau Presiden State Council Negeri Selangor menggantikan jawatan Yang Mulia Tengku Siya'uddin yang telah bersara pulang ke Pulau Pinang. Dahulu itu dan digelarkan lagi menjadi Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor.

Apabila tetaplah jawatan Yang Teramat Mulia Paduka Ayahanda Yang Maha Mulia ini didalam Selangor maka mengambil Tengku Sulaiman ( Yang Maha Mulia Sekarang )


 Mukasurat 6

pun pulanglah ke Singapuraa kerana melanjutkan pelajarannya di Sekolah Raffles di Singapura, tetapi berulang alik juga yang Maha Mulia dari Singapura ke Selangor mengunjungi tapak hadrat Paduka Ayahandanya yang sangat dihormati itu. Ada kadar 6 tahun lamanya Yang maha Mulia dengan hal yang demikaian. Pada suatu hari datanglah sepucuk surat dengan utusan memanggil Yang Maha Mulia supaya pulang ke Selangor dengan seberapa segeranya kerana kegeringan Paduka Ayahandanya yang dikasihinya itu. Apabila Yang Maha Mulia menerima perkhabaran itu, baginda pun bersiaplah dengan segera belayar pulang ke Selangor pada tahun 1884.

Syahdan apabila Yang Amat Mulia datang ke Jugra, Selangor tiada berapa hari lamanya Paduka Ayahanda yang dikasihi itu iaitu Yang Teramat Mulia Raja Muda dan Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri Selangor mangkatlah dia yang " Fa'ien, Innalilah wainna iilahi rajioen pada hari Isnin 13 Ramadan sunat hijrah 1302 berbetulan tahun masihi 1884 pada 7 hari bulan Julai. Lalulah dimakamkan jenazah Yang Teramat Mulia itu di Bukit Jugra, Bandar Langat Selangor adanya.

Setelah Ayahanda Baginda telah mangkat itu tersangatlah Duli Yang Maha Mulia menanggung duka percintaan mengingatkan kehilangan Seri Paduka Ayahandanya yang sangat-sangat dikasihi itu. Oleh yang demikian yang Maha Mulia pun mencari jalan menghiburkan hatinya mudah-mudahan lupalah kesunggulannya itu. Maka Yang Maha Mulia pun berhentilah daripada mengaji disekolah Raffles Singapura, lalu membuka ladang tebu beberapa ekar luasnya di Bandar Langat serta bertanam kelapa lagi. Bersawah padi juga hingga ke masa ini pun masih ada lagi kelapa yang diladangkan oleh Duli Yang Maha Mulia itu di Bandar Langat. Kemudian dibangunkan pula oleh Baginda sebuah jelapang berserta dengan kilang tebunya akan membuat gula itu.

Arakian adalah kadar 3 tahun cakranya Duli Yang Maha Mulia melayankan dari hal ladang tebu dan kelapa serta sawah padi itu. Dengan rajin usahanya boleh dikatakankan sangat majunya. Sad zaman itu Baginda sangat berlebih-lebih saksamanya bagi menjalankan sebarang kerjanya sedangkan lukis melukis dan jahit menjahit serta tekad menekad dengan sulam menyulam pun diusahakan jua oleh Duli Yang Maha Mulia. Pendek kata kepandaian yang didalam rumah serba sedikti dituntutnya.
Balik sila perhatikan segala aun dan ukiran dengan subik menyubiknya, pertama Istana Bandar Langat dengan Masjidnya. Kedua Peranginan ( Tandiat ) Yang Maha Mulia di Morib Langat. Ketiga Istana Mahkota Puri Kelang dan Istana Kota Negara di Padang Jawa. Semuanya itu dengan lukisan Duli Yang Maha Mulia, balak dan agaknya segala bangunan kerajaan yang terbaladoh-ladoh besarnya tiap-tiap sebuah di bandar Kuala Lumpur itu pun entahkan dilukiskan oleh Duli Yang Maha Mulia jua.

Sekurang-kurangnya dengan tadbirnya, oleh yang demikian gerangan segala pekerjaan yang dilayani oleh Duli Yang Maha Mulia itu semata-mata didalam pemerhatian nindanya Seri Paduka Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad. Tegal nampaknya berkemajuan belaka tidak sia-sia hingga tertariklah hati nindanya Yang Maha Mulia itu. Kasih dan harap akan Yang Maha Mulia sekarang boleh memegang jawatan dan boleh diharapi menjalankan sebarang pekerjaan dengan majunya pula. Maka naiklah cita-cita dan perasaan Baginda Yang Maha Mulia sekarang akan jadi Raja Muda menggantikan Paduka Ayahandanya al marhum Raja Muda yang telah mangkat itu.

Bahawasanya kepada 4 likur Rabiul Awal 1305 bersamaan 10 Disember 1887 iaitu hari sabtu dilantik Baginda ini menjadi Raja Muda Selangor oleh Seri Paduka nindanya Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad dengan segala adat istiadat di Istana Jugra, mengantikan Ayahandanya Almarhum Raja Muda Musa itu. 

Sesungguhnya dari tatkala Baginda telah dilantikkan menjadi Raja Muda semua pekerjaan negeri Selangor ini disuruhkan oleh Paduka nindanya Almarhum Sultan Abdul Samad dengan sebulat kuasa supaya boleh Baginda menjalankan sebarang apa pekerjaan dengan tiada... 





 Mukasurat 7

sesuatu gelangan lagi asalkan menjadi kebajikan kepada negeri dan isinya.

Setelah baginda mendapat kuasa memegang segala teraju negeri dan kerajaan Selangor ini, pada masa itulah Baginda mengubah peraturan orang-orang nikah kahwin dan bercerai berai dengan memakai daftar ( Registar ) surat resitnya juga. Demikian lagi diadakan surat-surat saman, sepina dan sebagainya supaya senang segala pegawai Syariah menjalankan kerja masing-masing.Maka tiap-tiap daerah itu jajahan diadakannya pula Qadi serta dengan Qadi Besarnya. Ada pun Qadi Besarnya pada masa itu ialah Tuan Haji Muhammad Yusof orang Semarang Tanah jawa. Tuan inilah yang pertamanya Qadi Besar Selangor dari semenjak diadakan peraturan ini.

Syahdan Baginda jualah yang mula-mula membuka Sekolah Perempuan di Bandar Langat dengan tanggungan belanjanya Baginda sendiri pada awalnya. Setelah maju perjalanannya sekolah itu barulah ditanggungi oleh Kerajaan belanjanya itu. Dengan sebab kemajuan sekolah perempuan yang dibuka oleh Baginda di Bandar Langat itu, barulah diikuti oleh Kerajaan dibuka pula beberapa Sekolah Melayu merata-rata kampong didalam Negeri Selangor ini. Maka siapa pula yang telah membuka Sekolah Lelaki di Bandar Langat atau dalam Negeri Selangor ?

Maka pada tahun 1891 Baginda pun berkahwin dengan Puteri Yang Maha Mulia Tengku Dia"uddin yang bernama Tengku Mahrum ialah binda Yang Teramat Mulia Tengku Musa Alauddin sekarang bergelar Tengku kelana Jaya Putra Selangor inilah putra Baginda yang sulong lagi gaharu dengan empat orang saudaranya yang perempuan.

Sekelipur satu pada tahun masihi 1895 Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Salahuddin Bin Sulaiman Shah tatkala Baginda didalam gelaran Raja Muda lagi telah dititahkan oleh Seri Paduka nindanya Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abdul Samad supaya yang Maha Mulia sekarang pergi ke Riau kerana meminjam Nobat Kerajaan Lingga Daik hendak dipergunakan bagi kemangkatan Almarhum Yang Maha Mulia Sultan Abu Bakar, Johor.

Hati kepada hari Ahad Ramadan senat 1315 bersamaan dengan 6 haribulan Febuari tahun 1898 cakra pukul 11:00 tengahari maka berlakulah kudrat tuhan rabul'alamin keatas hambanya Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad pun mangkat meninggalkan negeri yang fana ke negeri yang baqa' kembali ke rahmatullah ta'alla koola inna lillah wa'inna ialaa hi roojieon. Maka berkabunglah sekelian hamba rakyaat serta segala Orang Besar-Orang Besar dan Raja-Raja, para Putra dan para Putri didalam istana dan negeri Selangor. Menurut adat istiadat Raja-Raja Melayu yang besar-besar mangkat.

Setelah genap masanya iaitu pada 5 likur Ramadan sunah 1315 berbetulan masihi 17 Febuari 1898 lepas dari menyerukan gelaran kepada Yang Teramat Mulia Raja Muda Sulaiman menggantikan Paduka nindanya al Marhum Sultan Abdul Samad itu dilantikkan gelarannya Yang Maha Mulia Seri Paduka Sultan Alauddin Sulaiman Shah dilakukan peraturan ini seperti istiadat Raja-Raja yang sedaulat mengelar Yam Tuan pada tiap-tiap negeri Melayu ini kerana menurut wasiat Almarhum Sultan Abdul Samad Paduka Raja Muda S ulaiman hendaklah dijadikan gantinya Yang Di Pertuan Negeri Selangor Darul Ehsan ini dengan segala daerah jajahan takluknya.

Telah selesai daripada mengerjakan itu jenazah Almarhum Sultan Abdul Samad itu pun dikebumikanlah dikawasan makam Bukit Jugra itu. Bahawa sesungguhnya dari semenjak dilantikkan Baginda menjadi Sultan Negeri Selangor ini bertambah=tambahlah elok peraturan negeri ini seerta dengan majunya segala perniagaan dan perusahaan. Istimewa pula hasil negeri Selangor ini pun makin bertambah-tambah makmur dengan sekiannya terlebih daripada masa Almarhum Paduka ninda Baginda dahulu itu. Maka dengan sebab tinggi daulat Yang Maha Mulia ditakdirkan Tuhan, negeri Selangor pun makinlah menjadi-jadi isi buminya dengan bijih...




 Mukasurat 8

timah dan arang batu demikian juga beberapa tempat dijadikan bandar dan pekan merata-rata negeri Selangor hingga sekarang. Dari masa tahun milad 1898 didapati hasil cukai negeri Selangor ini Tiga juta ( $ 3,000,000.00 ), hingga sekarang tahun 1938 makin bertambah-tambah kenaikannya lebih kurang empat puloh delapan juta ringgit setahun. ( $ 48,000,000.00 )

Adapun kejadian bendera Negeri Selangor dan bendera tubuh Sultannya , baginda Sultan Alauddin Sulaiman Shah lah yang menukarkan warnanya seperti yang ada sekarang. Padahal dahulunya bendera Sultan Selangor ini berwarna kuning semata-mata. Maka sebab pun diubah oleh Baginda bendera Negeri Selangor ini ialah pada masa Baginda naik kerajaan Selangor. Negeri ini dalam keadaan sentuasa tidak lah seperti zaman Almarhum Paduka nindanya dahulu itu. Lagi pun keadaan bendera yang ada sekarang ini membawa makna dan tujuan serta kehendak yang amat besar kepada sekelian hamba rakyat Melayu khasnya dan Islam amnya.

Syahdan maka adalah 4 Jamadil Akhir 1312 bersamaan 20 haribulan Oktober tahun masihi 1899 maka sehingganya tatkala itulah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Seri Paduka Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan mengatakan..........






Mukasurat 11 

Putera Abdul Halim Shah melanjutkan pelajaran Inggrisnya lagi disana tidaklah ianya kembali bersama-sama Baginda ke Tanah Melayu ini pada masa itu. Maka pada 11 Zulkaedah 1355 bersamaaan 23 januari 1937 masihi Duli Yang Maha Mulia mengurniakan gelaran kepada para puteranya dan kerabat-kerabat serta kehormat Mahkota Puri, Kelang.

Demikianlah perihal yang telah berlaku dimasukkan kedalam ikatan " Sentausa Ketahtaan" Selangor ini yang terdapat oleh penarihnya daripada karangnya dan carta 12 mereka yang lebih-lebih mengetahuinya. Sekiranya kalau ada pula tuan-tuan yang mempunyai ketahuan yang tersangat terang dengan nyatanya haraplah penarih supaya tolong maafkan penarih yang menyambut-nyambut modal orang sahaja. Wallahu 'a'lam.


Lepas bertabal Yang Teramat Mulia Raja Muda Sulaiman menjadi Sultan Selangor pada tahun 1898 di Istana Jugra, yang duduk berkerusi dari kanan ke kiri Almarhum Tengku Tohar, Almarhum Tengku Jumaat, Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Haji Bot dan Almarhum Tengku Abdul Murad ( Tengku Panglima Besar )

Dewasa ini Yang Teramat Mulia Tengku Sulaiman masih dalam jawatan Raja Muda Selangor lagi pada tahun 1898.


Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah K.C.M.G 1927


Duli Yang Maha Mulia bersama Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Zubaidah Selangor

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bersama dengan Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Fatimah Selangor


Y.M.M Tuanku Ampuan Fatimah Paduka Suri, Selangor


Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Fatimah Selangor dikapit oleh 2 orang dayang


Duli Yang Maha Mulia Almarhumah Tuanku Ampuan Zabedah Selangor

Duli Yang Maha Mulia " seberhana " pakaian cara Melayu tatkala mengelar Datuk-Datuk pada tahun 1928.

Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah

Yang Dipertuan Negeri Selangor

Duli Yang Maha Mulia sedang bersemayam

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah masa di England pada tahun 1936



Istana Mahkota Puri Kelang Selangor dibangunkan pada 1899



Masjid Alauddin, Bandar Langat Selangor

Masjid Jamek Bandar Kuala Lumpur Selangor

Sahab Alfadlilah Raja Haji Mahmud Bin Tengku Abdul Rahman Shaikhul Islam Setia DiRaja Selangor

Mula-mula membuka Masjid Alauddin Bandar Langat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah bersama-sama dengan Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah Perak



Baharu-baharu sudah Astana Kota Negara.



Astana Kota Negara





Pejabat Jajahan Kelang Selangor

Sekolah Pertenunan Kelang Selangor tanggungan Duli Yang Maha Mulia.

Pejabat Kerja Raya di Kuala Lumpur Selangor

Pemandangan bandar Kuala Lumpur hampir separuh yang nampak.

Persatuan Sultan Sulaiman Kuala Lumpur Selangor.

Bandar Kuala Lumpur pada tahun 1882 diantara padang dengan Dewan Khas dan penjuru Jalan Pasar lama

Bandar Kuala Lumpur pada tahun 1882 tentang simpang Batu Road dengan Jawa Street sekarang.

Jalan Ampang Kuala Lumpur~Pada masa dahulu termahsyur dengan nama Jalan Emas


Permandangan dari Selangor Kelab kelihatan ketiga-tiga buah bangunan kerajaan. Dari kanan Pejabat Kerja Raya, ditengah Pejabat Kiriman dan Dewan Khas.

Keramaian menyambut hari Jubli Perak Mendiang King George yang ke 5 pada tahun 1935 di Kuala Lumpur


Bukit Frasers~Kayangan Semenanjung Tanah Melayu, Selangor.

Bukit Frasers Selangor

Rumah Pangkah Merah, Bukit Fraser Selangor.



Sekolah Agama bagi perempuan di Bandar Langat dibuka oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Alauddin Sulaim Shah tatkala Yang Maha Mulia lagi menjadi Raja Muda dan bergambar pada tahun 1905. The 1st Malay Girls School in Selangor 1898.


Inilah kumpulan Guru dan murid Sekolah Kelang serta dengan Pasukan Pancaragam dan Pengangkap~ Sekolah Melayu Laki-Laki Kelang


Kumpulan Pancaragam Murid-murid Sekolah Melayu Kelang bersama-sama Guru-gurunya. Telah mengambil bahagian pada hari menyambut " Sentausa Ketahtaan " pada 11 September 1937.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Alauddin Sulaiman Shah bersama Puteranya Tengku Abdul Aziz ~Tengku Indera Setia DiRaja

Duli Yang Maha Mulia Sultan Alauddin Sulaiman Shah bersama dengan 19 para puteranya di Istana Mahkota Puri Kelang

Duli Yang Maha Mulia Sultan Alauddin Sulaiman Shah masanya berangkat melawat Masjid Working di London pada sehari Ramadan 1355. Bersamaan 16 November 1936 yang duduk dari kanan ke kiri Tuan Syarifah Mastura Isteri Imam Masjid Working, Yang di Muliakan Encik Anjung Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor, yang dikunjungi Tuan Imam Masjid Working, Yang Maha Mulia Tuanku Suri Langat, Yang Mulia Tengku Muhammad, yang berdiri dibelakang kanan ke kiri Alsahab alfadlilah Shekh Al Islam Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Pahlawan DiRaja, Yang Dihormati Khatib Masjid Working, Yang Amat Mulia Tengku Seri Andika DiRaja dan Yang Amat Mulia Tengku Kelana Jaya Putera Selangor.



Yang Amat Setiawan Datuk Suliwatang Diraja Selangor, Serhasia Sulit Duli Yang Maha Mulia F. W Douglas

Yang Berhormat S.W Jones, Resident British Selangor

Tuan Resident Oliver Marks Selangor British Residen

Lawatan Laksamana ( Admiral ) British ke Selangor

Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor bersama-sama dengan bekas Gabenor Jajahan Selat Sir Frank Swettenham bergambar di bandar London pada tahun 1936


Memakai perkabungan tatkala Yang Maha Agong Lagi Yang Maha Mulia Baginda King George ke 5 pada 1936



Masa lepas bertabal Tuanku menjadi Sultan pada tahun 1898 di Istana Jugra, yang duduk dari kanan ke kiri Allayarham Tengku Tohar, Tuan Dickson Penolong Pegawai Jajahan Langat, Yang Maha Mulia Tuanku Selangor, Tuan Deff Pegawai Jajahan Langat, dan Allayarham Tengku Bot

Lawatan Pemangku Persuruhjaya Tinggi Sir Andrew  serta mesyuarat Persatuan di Kuala Lumpur pada tahun 1934 diterkhaskan dihadapan dewan khas.


Taukeh Low Liong Gan Datuk Kurnia Jaya Selangor



Yang Teramat Mulia Tengku Musa-uddin Raja Muda Selangor tatkala mengelar Datuk-Datuk dan Orang Besar-Orang Besar Selangor pada tahun 1928

Tengku Musa-uddin Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Yang Maha Mulia Tengku Putra Mahkota Selangor 1903 hingga 1920

Tengku Musa-uddin Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dengan persalinan Ketua Tenteraban M.V.I
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Hishamuddin Alam Shah Ibni Almarhum A'tiqallah Alauddin Sulaiman Shah Yang Dipertuan Negeri Selangor yang bergelar pada hari Isnin 3 Safar 1358 bersamaan 4 April 1938



Tuanku Musa-uddin Yang Teramat Mulia Tuanku Kelana Jaya Putra, Selangor







Mukasurat 149

Innaa liliah waa inahilaa hi rojieon


Kepada hari jumaat petang kira-kira pukul 5:20 iaitu tepat pada sembilan likur Muharam sunah hijrah 1358 bersamaan dengan 13 March 1938 berlakulah kudrat Tuhan Yang Maha berkuasa itu keatas hambanya yang fana' ini ialah Tuanku Alauddin Sulaiman Shah, tuan kami lagi junjungan kami sekelian hamba rakyat Selangor Darul Ehsan.

Sesungguhnya pada saat yang sempurna ini  bertukar suka dengan duka, bergantilah riang keramaian dengan sunyi kesepian dan yang ditakuti kerana telah dipalui oleh kudrat yang tak dapat ditahani atau dilindungi oleh sekelian alat senjata dan bala tentera walau sedunia sekalipun ramainya tidakkan terlawan olehnya demikianlah kuasanya Tuhan Rabul 'alamin yang memiliki alam dunia melainkan yang harus diucapkan ialah koola; Khow la waalla khoowata illa hil aziim juga.

Sanya dengan beberapa sedih dan berganda-ganda kepiluan yang tak dapat dirawikan rasanya bagi kami sekelian hamba rakyat negeri Selangor Darul Ehsan ini. Betapa pula bagi pihak para putera dan para puteri dan isteri-isteri serta waris walak dan Datuk-Datuk, Orang Besar-Orang Besar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Oleh penceraian yang akhir sekali dianatar hamba dengan Tuannya  dan antara putera puteri dengan ayahandanya dan sekelian isinya istana.

Aduuhai ! Apatah hendak dikatakan lagi penanam datang mencabutnya yang mengasih lagi penyayang datang menjemput betapakah tidak diturutkan dia. Maka siuh rendah lah bunyi Hiii ! Huaayaa..! Ratap tangis didalam dan diluar istana, sebagaikan terangkatlah Istana Kota Negara fari senjakala hingga malamnya. Masing-masing dengan bijik buaknya merayu-rayu dengan sedih dan kepiluannya.

Didalam hal yang demikian pun dikerjakan jugalah aturan cara kemangkatan Sultan-Sultan Selangor menurut yang difardukan oleh syaraq agama Islam yang termahsyor akan mayat Almarhum itu kira-kira sebelum tengah malam, lalulah diangkat jenazahnya dibawa ke Istana Mahkota Puri Kelang. ( Istana Besar ) disemayamkan diatas tahta kerajaan Selangor. Disanalah berjaga segala Tuan Alim bergilir-gilir membaca Quran Al Azim yang tiada putus-putus masanya iaitu dari malam jumaat 30 Muharam hingga hari Isnin 3 Safar 1358. Suntuk pada masa diserukan Gelaran gantinya barulah berhenti.

Sanya tatkala jam lebih kurang 4 petang hari Isnin 3 Safar 1358 bersamaan 4 April 1938 , naiklah Tuan Yang Terutama Persuruhjaya Tinggi memimpin tangan yang Teramat Mulia Tengku Alam Shah Raja Muda Selangor bersama-sama dengan yang berhormat Tuan Residen Negeri Selangor.


Mukasurat  150

Kedua mengapit Yang Teramat Mulia itu iaitu Tuan Yang Terutama disebelah kanan dan Tuan Residen Selangor disebelah kirinya. Maka sekelian mereka yang mengadap disinggah sana itu pun bangkitlah memberi hormat dan Tuan Yang Terutama Mulia itu menjadi Yang Maha Mulia Tengku Indera Setia DiRaja ke bahasa Melayu dan seruan daulat pun menderulah bunyinya 3 kali disambutlah oleh tembak meriam bilangan umur Allayarham itu sebanyak 74 das. Jenazah Almarhum pun diangkat masukkan keatas usungan Raja Di Raja ( Seri Raja ) lalulah berjalan angkatan ini menuju ke makam yang disediakan disisi Masjid Jamek Al Rahmat, Kelang. 

Aduh ! Apabila terpandang dan mendengarkan bahawa Tuanku Yang Terutama yang menyerukan gelaran Duli Yang Maha Mulia ini berasa ser rasa semangat kerana tersebut pada lidah orang tua-tua dan tersebut pula didalam buku momorial tatkala Yang Teramat Mulia Tengku Bendahara menuntut jawatan Raja Muda Selangor.  Adapun  yang mempunyai kuasa bagi menyerukan tiap-tiap gelaran Sultan itu Raja Muda dan Orang Besar-Orang Besar Selangor ialah Datuk Aru tidak siapa lain.

Tetapi apalah hendak dikatakan adat sudah terpadat dan resamsudah menjadi belukar, entah kemana haruslah agaknya menjadi charang rimba, langsung kata orang tua-tua Selangor, adapun kebesaran Datuk Aru Selangor ini ialah Orang Besar yang boleh berpayung didalam istana raja , lagi pun Datuk Aru boleh memangku Raja 7 hari bila-bila kemangkatan Yam Tuan Selangor, sehingga ditabalkan ganti yang baharu dan lagi kalau putus nasib atau pancaran Sultan-Sultan Selangor bolehlah Datuk Aru menggantikannya. Apa hendak dikatakan, bak kata Melayu; Pawang memecah timba apatah hal anak belatnya ( Kelong ).

Mudah-mudahan harap diperbaikilah kiranya oleh yang memegang teraju Negeri Selangor ini pada masa yang akan datang supaya jangan jadi seperti Tanduk diberkas sepanjang masanya kelak.



Kemalangan Tidak Disangka-sangka.

Bahawa dengan perkataan yang sebenarnya tidaklah difikir dan dicita-cita sekali yang "Sentausa Ketahtaan" ini hendak mengandungi perihal kemangkatannya dan gelaran yang baharu pula tetapi apalah hendak dikatakan sudah dengan kudrat Tuhan Yang Maha berkuasa lagi sabda dengan perintah sinda junjunganlah sekadar yang terkerjakan. Diharap kepada tuan-tuan pembaca dan pendengarnya menimbang rasa kepada sinda dengan membanyak maaf juga. Wasalam.


Mukasurat 152

Pendahuluan Kata


Alhamdulilah wadah beribu-ribu shukur sinda ucapkan ke hadrat Tuhan rabul'alaamin setelah siaplah kiranya sekelian susunan " Sentausa Ketahtaan " ditarikh pada yang terdapati pada sinda dengan taufik dan hidayah Tuhan yang mempunyai kamalah. Sungguhpun demikian tidaklah jua didapati memuaskan hati, usahkan bagi pihak tuan-tuan pembaca, padahal bagi hati sinda sendiri pun tergamam-gamam rasanya, seumpama berjalan diatas sampan yang terolang alik digodai oleh gelora was-was didalamnya menyangkai ketiadaan hasil dengan sepertinya bagi pihak tuan-tuan pembaca dan penatapnya.

Almaktasar, sungguhpun demikian bersama-samalah menadahkan tangan ke hadrat rabul alaamin memohon doa Al Khir fii koola waktaa wahai naa yang tiada berkala masanya dari dunia datang ke akhirat.

Tengku Daeng Abdul Hamid Bin Tengku Haji Muhammad Salleh
~ Waris Datuk Orang Selangor


Dahulu menjadi penolong Sir Richard Windstedt D.Lt.C.M.G & K.C.B pada memaju dan menjayakan segala keadaan dan perihal pelajaran Sekolah Melayu yang dahulu seumpama lorong-lorong dengan rintisan sahaja, padahal sekarang telah menjadi jalan raya iaitu bagi Semenanjung Tanah Melayu, Brunei dan Sarawak dari tahun masihi 1917.


Rumusan Peribadi Buku.

Buku yang diterbitkan pada tahun 1937/1938 ini adalah antara buku dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi yang jarang boleh ditemui lagi ditahun 2017 ini. Saya tidak pasti berapa orang di Malaysia masih memiliki naskah tersebut. Ketika dipasarkan dahulu dengan harga $ 1.75 berapa ramai yang mampu memiliknya pada ketika itu. Ia terbatas hanya kepada pihak bangsawan atau pun perpustakaan Jabatan-jabatan kerajaan Negeri. Atau pun dijadikan sebagai cendera hati kepada pembesar-pembesar.
 
Buku " Sentausa Ketahtaan" Selangor 1898 ~ 1937 terbitan September 1937 menceritakan sejarah Negeri Selangor maju dan gemilang dibawah pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah selama hampir 40 tahun. Penerangan maklumat disampaikan secara ringkas dan di sokong dengan banyak gambar-gambar lama. Berbeza dengan buku berjudul A Souvenier Bygone Selangor terbitan tahun 1922 yang juga menceritakan sejarah kemajuan dan kegemilangan negeri Selangor. Dimana penerangan maklumat didalam buku tersebut disampaikan kepada pembaca secara terperinci.

1. Gaya Bahasa Penulisan pada ketika tahun 1937 masih mengekalkan cara penceritaan kitab Hikayat lama. Dimana setiap kali dipermulaan perenggan penulis menggunakan ayat seperti Sebermula, Sanya, Shahdan, Arakian, Sesungguhnya, al Maktasar atau Adapun.

2. Penulis menggunakan bahasa Melayu yang sangat asing digunakan pada waktu sekarang. Contoh seperti Sentausa , Sinda, Penarih, Lancaran, subik-menyubik, Lancaran, Tandiat, Terbaladoh-ladoh, cakra, likur.

3.Penggunaan Gelaran dan Pangkat Sultan yang terlalu panjang diulang-ulang  secara kerap. Contoh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah. Perkataan merujuk kepada gelaran & pangkat adalah lebih banyak daripada perkataan merujuk kepada perincian maklumat. Jikalau dibuat pengiraan perkataan jumlahnya adalah sama banyaknya dengan patah perkataan yang menceritakan hal ehwal maklumat sejarah.

4. Menggunakan  Bulan/Tahun Hijrah dan Masihi dalam mencatit  masa & tarikh sejarah. Sebagai contoh; Pada 2 Saaban 1321 bersamaan 21 haribulan Oktober 1921 cakra pukul 4:45 petang

Maklumat yang berlaku semasa  Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku Sultan Alauddin Sulaiman Shah mentadbir Negeri Selangor yang diambil dalam Buku " Sentausa Ketahtaan" Selangor 1898 ~ 1937.

1.Memperkenalkan bendera negeri Selangor yang baharu.

2.Negeri Selangor telah mula memiliki Sekolah Melayu Perempuan sejak 1898 lagi.

3.Memperkenalkan dokumen hal ehwal nikah kahwin cerai berai untuk memudahkan Qadi dan pembantu menjalankan tugas dengan teratur.

4.Memperkenalkan jawatan Qadi Besar /Mufti dalam menjalankan urusan kerja secara tersusun.

5.Kayangan Semenanjung Tanah Melayu ~ Bukit Frasers adalah dalam jajahan kuasa negeri Selangor.

6.Kawasan Jelapang Tebu dan Padi didaerah Kuala Langat .

7.Negeri Selangor sudah ada Sekolah Pertenunan Kain dan mereka memiliki ramai tenaga pakar dan  pengajar dalam menghasilkan tenunan kain seni berkemahiran tinggi. 

8.Cukai Pendapatan Tahunan yang dikutip oleh kerajaan Negeri Selangor disekitar tahun 1920an ~ 1937 menjangkau $ 48.000,000.00 setahun. Satu jumlah yang tersangat besar dizaman itu.

9.Negeri Selangor telah memiliki komplek bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor di Kuala Lumpur , dimana yang kemudiannya Kerajaan Pusat Malaysia telah mencontohinya konsep yang ada dengan membangunkan kompeks pentadbiran kerajaan di Putra Jaya.

10.Istana Duli Yang Maha Mulia Paduka Tuanku Sir Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang menjadi Kemegahan Kesultanan Selangor iaitu  Astana Mahkota Puri  mempunyai  seni rekabentuk & sinabinanya sungguh cantik dan setaraf dengan Taj Mahal di India.


Tetapi telah dirobohkan untuk membangunkan Istana yang baharu oleh penggantinya Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Hishamuddin Alam Shah Ibni Almarhum A'tiqallah Alauddin Sulaiman Shah Yang Dipertuan Negeri Selangor . Wasallam....

2 comments:

  1. saya sgt tertarik dgn artikal ini kerana bapa mertua saya adalah cucu kpd Almarhum Tengku Daeng Abdul Hamid pengarang buku ini. beliau meminta saya menghubungi tuan untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku karangan datuk beliau

    ReplyDelete
  2. Email saya syamiza3520@yahoo.com

    ReplyDelete